Khamis, 12 Ogos 2021 | 5:54pm
Syatilla menjelaskan kekeliruan pendedahan Shuib menyatakan menerima tawaran Syatilla yang mahu menjadi ibu susuan kepada Ayash.
Syatilla menjelaskan kekeliruan pendedahan Shuib menyatakan menerima tawaran Syatilla yang mahu menjadi ibu susuan kepada Ayash.

'Bukan saya nak jadi ibu tumpang' - Syatilla

KUALA LUMPUR: Pelakon Syatilla Melvin menafikan dirinya mahu menjadi ibu susuan anak keempat pasangan Shuib Sepahtu dan Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, sebaliknya menyampaikan hasrat seorang rakan.

Isteri kepada aktor Shaheizy Sam itu menjelaskan kekeliruan berikutan pendedahan Shuib menyatakan menerima tawaran rakan selebriti termasuk Syatilla yang mahu menjadi ibu susuan kepada Ayash Affan.

Syatilla berkata, dia enggan mendapatkan pujian percuma kerana susu yang mahu diberikan bukan daripadanya.

"Jujurnya, saya tertanya-tanya keadaan Ayash selepas mendapat tahu arwah Siti Sarah melahirkan bayi pramatang. Saya pernah dua kali melalui pengalaman bersalin secara pembedahan.

"Saya terfikir bagaimana keadaan bayi pramatang yang perlu duduk dalam inkubator. Sudah tentu pihak hospital memberikan susu formula. Mustahil mencari susu badan melainkan ibunya berupaya memberikannya.

"Secara kebetulan, seorang rakan menghantar mesej dan minta disampaikan kepada Shuib sekiranya bayi pramatang memerlukan susu badan.

"Saya fikir ada betulnya, bayi pramatang memerlukan susu ibu. Susu terbaik adalah susu ibu. Jadi, saya sampaikan kepada Shuib sehari sebelum arwah Siti Sarah meninggal dunia. Jadi, susu ini bukanlah daripada saya, hanya menjadi perantaraan sahaja," katanya kepada BH Online.

Tambah Syatilla lagi, kawannya itu baru sahaja selesai tempoh berpantang dan memiliki banyak stok susu.

Oleh itu, Syatilla menegaskan, dia hanya perantara bagi membantu mempermudahkan urusan Shuib dan arwah.

Terdahulu, Shuib berkongsi pada majlis tahlil dan bacaan Yassin untuk Allahyarham Siti Sarah mengenai Syatilla ada menawarkan diri menjadi ibu susuan Ayash, semalam.

Syatilla memuat naik mesej yang dihantar kepada Shuib membantunya mendapatkan susu badan untuk diberikan kepada bayi pramatang. - Foto IG Syatilla Melvin
Syatilla memuat naik mesej yang dihantar kepada Shuib membantunya mendapatkan susu badan untuk diberikan kepada bayi pramatang. - Foto IG Syatilla Melvin

Dalam pada itu, Syatilla tidak menafikan, dia cukup terkesan atas pemergian penyanyi kesayangan ramai itu.

"Kehilangan boleh diibaratkan hilang separuh nyawa, tiada galang ganti. Pergilah ke hujung dunia sekalipun, memang tidak menemui penggantinya.

"Kita terpaksa menahan keperitan menanggung kerinduan daripada kenangan yang datang. Namun, Alhamdulillah, bahagian arwah sudah lepas.

"Insya-Allah, moga arwah sedang berlari-lari di taman syurga dengan apa yang sudah dilakukan di dunia.

"Kita pula masih menunggu bahagian masing-masing. Boleh diibaratkan seperti bom jangka, bila-bila masa sahaja boleh meletup," katanya.

Justeru, dalam kesempatan itu, Syatilla menasihatkan orang ramai kembali mendekatkan diri pada Allah.

"Masih belum terlambat untuk berubah menjadi orang lebih baik dan memberi manfaat. Sebaik-baik manusia adalah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain.

"Jadi, gunakan masa dan kesempatan ini untuk mengejar kebaikan seperti arwah sudah tunjukkan. Arwah memang sangat baik, tak pernah lupa saya setiap kali mengeluarkan produk baharu.

"Cuma, saya tidak sempat merakamkan jubah terakhir diberikan saya. Terkilan pun ada, tetapi tak mengapa, saya akan buat

untuk menyokong perniagaannya," katanya.

Terdahulu, Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat COVID-19 pada jam 5.13 pagi pada Isnin lalu.

Jenazah penyanyi lagu Kesetiaan dan Semakin itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, jam 1.20 tengah hari.

Beliau meninggalkan suami dan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang dilahirkan pada Jumaat lalu.

Berita Harian X