Khamis, 8 April 2021 | 11:00am
Faizul Hafiz Hashim berkongsi berita sedih pemergian ibu, Allahyarham Noryati Taib melalui hantaran di Instagram (IG) dan Facebook (FB), pagi semalam. - Foto IG Faizul Hafiz Hashim
Faizul Hafiz Hashim berkongsi berita sedih pemergian ibu, Allahyarham Noryati Taib melalui hantaran di Instagram (IG) dan Facebook (FB), pagi semalam. - Foto IG Faizul Hafiz Hashim

'Niat kumpul adik-beradik tak tertunai'

KUALA LUMPUR: Niat Allahyarham Noryati Taib, 63, berbuka puasa dengan adik-beradik pada hari pertama Ramadan, tidak kesampaian apabila pelakon drama yang lebih dikenali sebagai 'Makcik Petir' itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 63 tahun, awal pagi semalam.

Noryati meninggal dunia kira-kira jam 1.45 pagi akibat komplikasi buah pinggang.

Anak arwah, Faizul Hafiz Hashim, 36, reda pemergian ibu dan percaya Allah lebih menyayanginya.

Faizul memberitahu, ibu meluahkan hasrat berbuka puasa dengan adik-beradiknya pada hari pertama Ramadan, ketika menjalani rawatan komplikasi buah pinggang di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital, akhir Februari lalu,

Faizul berkata, arwah ibunya adalah seorang yang sering berpesan kepada anak dan gemar 'berleter'.

"Arwah Mama memang suka berpesan, dia punya 'leteran' memang kita rindu. Setiap hari dia berpesan supaya jangan sakitkan hati orang, jangan menipu dan berbaik dengan masyarakat.

"Mama ada cakap juga puasa pertama nanti nak ajak adik-beradiknya supaya berbuka bersama di kediaman di Taman Air Biru, Pasir Gudang.

"Biasanya, sebelum ini, kami berbuka di rumah pusaka keluarga di Kampung Datuk Sulaiman Menteri di Johor Bahru.

"Namun, disebabkan Mama susah hendak bergerak sejak kaki dipotong pada 2017 akibat diabetes, dia mahu berbuka bersama di rumahnya," katanya kepada BH Online.

Arwah Noryati Taib memiliki sifat penyayang dan menjadi ibu angkat kepada ramai artis seperti Sharnaaz Ahmad dan Along Cham. Foto IG Noryati Taib
Arwah Noryati Taib memiliki sifat penyayang dan menjadi ibu angkat kepada ramai artis seperti Sharnaaz Ahmad dan Along Cham. Foto IG Noryati Taib

Awal pagi semalam, Faizul berkongsi berita sedih pemergian ibu melalui hantaran di Facebook (FB) dan Instagram (IG).

Anak saudara Allahyarham, iaitu penerbit dan pengarah, Shahrulezad Mohameddin turut memaklumkan pemergian pelakon itu melalui hantaran di Instagram (IG).

Berita pemergian Allahyarham turut dikongsi teman artis seperti penyanyi dan penyampai radio, Haiza Hanafi yang mendoakan semoga arwah ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.

Faizul berkata, kali terakhir ibunya dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) pada 27 Februari lalu akibat komplikasi buah pinggang.

"Sejak itu, Mama tidak berlakon lagi," katanya sambil menahan sebak ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh di Johor Bahru, semalam.

Faizul yang juga anak ketiga dari empat beradik, berkata sejak dibenarkan keluar dari HSI pada akhir Februari lalu, selera makan ibunya bertambah.

Tambahnya, beberapa rakan artis yang juga anak angkat ibunya menghubungi bagi mendapatkan perkhabaran kesihatan beliau.

"Mama cakap dia nak sihat, lepas keluar hospital selera makannya bertambah. Mama cakap beri sahaja apa yang mahu dimakan. Kami akur tetapi tetap pantau diet Mama.

"Mama ramai anak angkat dalam industri, antara yang kerap menghubungi Mama adalah pelakon Sharnaaz Ahmad, Mamat Sepahtu, Joey Daud dan Along Cham.

"Malah, ketika dalam rawatan, Mama selalu dapat panggilan mereka yang bertanya khabar," katanya.

Allahyarham Noryati Taib atau Makcik Petir bersama suami, anak dan cucunya. - Foto IG Noryati Taib
Allahyarham Noryati Taib atau Makcik Petir bersama suami, anak dan cucunya. - Foto IG Noryati Taib

Allahyarham terkenal dengan gelaran Makcik Petir, Makcik Isabella dan Makcik Mary dalam drama seperti Sindarela, SyurgaMu Ramadan, Dotty dan Tari Tirana.

Allahyarham yang menetap di Johor Bahru bersama keluarganya, dilaporkan mula berlakon dalam drama Abang Mak Panggil Balik dan kerap beraksi dalam drama terbitan Radiusone Sdn Bhd.

Jenazah Noryati selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, pada jam 11.30 pagi semalam.

Solat jenazah disempurnakan di Masjid Al-iltihad Perjiranan 9, Taman Air Biru, Pasir Gudang.

Berita Harian X