Rabu, 7 April 2021 | 6:00pm
Akim Ahmad terkejut apabila namanya dipilih Search menggantikan bekas vokalis, Amy untuk tampil dalam Konsert Rockology Malaysian Tour 2021.
Akim Ahmad terkejut apabila namanya dipilih Search menggantikan bekas vokalis, Amy untuk tampil dalam Konsert Rockology Malaysian Tour 2021.

Akim ganti Amy

KUALA LUMPUR: Penyanyi Akim Ahmad bertuah menjadi pilihan kumpulan rock legenda, Search beraksi dalam Rockology Malaysian Tour 2021, Search X Akim.

Konsert yang bakal berlangsung di Waronk Avenue, Melaka, jam 9 malam, Sabtu ini akan menjadi persembahan terbuka pertama selepas fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejak tahun lalu.

Akim yang juga vokalis Akim & The Majistret berkata, dia terharu anggota Search mencadangkan namanya untuk terbabit dalam projek berkenaan.

"Jujurnya, saya terkejut dengan pemilihan, rasa kerdil berada di sisi mereka. Search, nama yang sangat gah dan mencetuskan fenomena. Apabila dipilih, ini adalah penghargaan paling besar sepanjang kerjaya saya.

"Search sangat hebat, jadi saya memikul tanggungjawab besar untuk membawakan lagu dan melodi untuk disampaikan kepada generasi hari ini.

"Saya tahu tidak mampu menandingi kehebatan vokalis asalnya, Amy. Beliau, seorang legenda dan menjadi ikon dalam kalangan pencinta muzik rock.

"Jadi, saya yakin pasti ada yang akan membandingkan persembahan kami. Namun, saya akan berusaha melakukan yang terbaik. Saya akan mengekalkan karakter yang sudah lama dibina kumpulan legenda ini," katanya kepada BH Online.

Pemain gitar Search, Din berkata, walaupun bekas vokalis, Amy membuat keputusan nekad mengundurkan diri, tahun lalu, namun ia tidak mematahkan semangat anggota lain meneruskan perjuangan seni.

Biarpun tanpa kehadiran Amy yang dianggap menjadi tunjang utama, namun nama dan legasi Search tidak akan mati.

"Muzik menjadi kerjaya dan minat anggota Search. Kami mahukan pengakhiran yang baik. Meskipun tanpa kehadiran Amy, kami akan terus menggerakkan kerana kami amat menyayangi Search. Sudah lebih 40 tahun Search bertapak dan membina nama. Ke mana pergi pun, peminat pasti akan bertanya mengenai perkembangan Search.

"Jadi, konsert Rockology Malaysian Tour 2021, Search X Akim ini umpama mengubat kerinduan peminat. Ia sangat penting, kerana ini permulaan untuk Search kembali.

"Bagaimanapun, kami berharap peminat boleh menerima walaupun tanpa Amy dan Nasir yang tidak dapat ikut serta kerana urusan perniagaan. Cuma, kami perlu 'move on' bagi meneruskan legasi Search," kata Din.

Din dan anggota Search memilih Akim Ahmad bergabung dalam Konsert Rockology Malaysian Tour 2021 kerana memiliki karisma dan berbakat dunia penciptaan lagu.
Din dan anggota Search memilih Akim Ahmad bergabung dalam Konsert Rockology Malaysian Tour 2021 kerana memiliki karisma dan berbakat dunia penciptaan lagu.

Ditanya pemilihan Akim yang juga vokalis kumpulan Akim & The Majistret, Din berkata pemilihan dibuat bersama pasukan produksi.

"Kami terlebih dahulu membuat perbincangan dengan pasukan produksi. Ada beberapa nama yang disenarai pendek. Selepas membuat penilaian, kami sebulat suara memilih Akim.

"Secara peribadi, saya akui pilihan pertama saya adalah Akim. Bagi saya, Akim memiliki karisma dan berbakat menulis lagu. Dia mempunyai pakej, jadi kami ingin memberinya peluang membuat persembahan bersama kami. Cuma, kami berharap jangan membandingkan Akim dengan Amy," katanya.

Tiket menyaksikan Rockology Malaysian Tour 2021, Search X Akim anjuran Playmad Sdn Bhd dijual pada harga RM100. Pembeli tiket turut berpeluang menghadiri sesi bertemu Akim dan Search.

Bagaimanapun, bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP), hanya 100 penonton sahaja dibenarkan menyaksikan konsert berdurasi sejam itu.

Selain Akim dan Din, ia bakal menampilkan Kid (gitar), Pae (dram) dan Galang (bass).

Rockology Malaysian Tour 2021 dijangka bakal diteruskan ke beberapa lokasi lain seperti Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang, Johor Bahru dan beberapa lokasi lain bermula Jun ini.

Berita Harian X