Jumaat, 5 March 2021 | 1:00pm
Pelakon, Datuk Jalaluddin Hassan berjanji mahu mendaftar mendapatkan suntikan vaksin selepas menyudahkan penggambaran drama Marry Me Senorita di Ipoh, Perak. - Foto NSTP
Pelakon, Datuk Jalaluddin Hassan berjanji mahu mendaftar mendapatkan suntikan vaksin selepas menyudahkan penggambaran drama Marry Me Senorita di Ipoh, Perak. - Foto NSTP

'Usah dengar cakap-cakap negatif'

KUALA LUMPUR: Menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, artis veteran terutama mereka yang masih aktif dalam dunia seni, mula mendaftar untuk menerima suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera sejak 24 Februari lalu.

Enggan bertangguh, apatah lagi melihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sihat selepas menerima suntikan vaksin kumpulan pertama diterima daripada Pfizer-BioNTech pada 23 Februari lalu, artis veteran akur gesaan mendapatkan imunisasi, demi kesihatan dan kelangsungan hidup.

Artis veteran secara sukarela menyokong program imunisasi kerana penerimaan suntikan vaksin diperlukan sekurang-kurangnya 70 hingga 80 peratus penduduk untuk mencapai imunisasi kelompok.

Pelakon Tawil atau nama sebenar, Abu Bakar Ahmad, 68, mendaftar sebaik Muhyiddin mengumumkan rakyat boleh menyerahkan nama melalui aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan vaksin.

"Jika ditanya soal kesediaan, saya menunggu untuk mendapatkan suntikan vaksin kerana ini untuk kebaikan kita.

"Tiada sebab mengapa kita tidak mahu mengambil vaksin. Kita tidak boleh dengar cakap orang yang berfikiran negatif.

"Bagi saya, tidak kisah untuk keluar rumah menerima vaksin demi mematuhi saranan Kementerian Kesihatan. Apa yang kita lakukan ini adalah atas perasaan sayang terhadap rakyat Malaysia," katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan fasa pertama penerimaan vaksin adalah untuk petugas barisan hadapan; fasa kedua untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas dan individu berisiko tinggi dan fasa ketiga bagi penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

Tawil berkata, tidak wajar mana-mana pihak mementingkan diri sendiri ketika negara diancam pandemik berbahaya.

"Semua ini untuk kebaikan masa hadapan kita," katanya yang pernah membintangi filem Prebet Lapok pada era 1980-an.

Pelakon filem Prebet Lapok, Tawil menunggu mendapatkan suntikan vaksin untuk kebaikan. - Foto NSTP
Pelakon filem Prebet Lapok, Tawil menunggu mendapatkan suntikan vaksin untuk kebaikan. - Foto NSTP

Pelakon, Datuk Jalaluddin Hassan berjanji mahu mendaftar mendapatkan suntikan vaksin selepas menyudahkan penggambaran drama Marry Me Senorita di Ipoh, Perak.

"Saya akan mendaftar dengan segera kerana sebelum ini, saya terikat dengan penggambaran. Sekarang, baru ada kelapangan untuk fokus kepada kesihatan," katanya.

Tambah pelakon berusia 67 tahun ini, beliau antara rakyat yang menyokong usaha pengambilan vaksin dan mengajak orang ramai melakukannya.

"Seperti kita lihat, Perdana Menteri sudah mengambil vaksin. Ini suatu contoh yang baik untuk kita semua ikut.

"Vaksin ini diberi untuk mencegah jangkitan COVID-19. Jadi, ini menjadi tanggungjawab kita melakukannya seperti apa yang dibuat Perdana Menteri.

"Kita perlu mendengar nasihat dan saranan pihak berwajib tanpa ragu-ragu," katanya.

Bintang air mata, Wan Maimunah belum mendaftar kerana kurang mahir melakukannya melalui aplikasi MySejahtera, masih menunggu anak menguruskannya. - Foto NSTP
Bintang air mata, Wan Maimunah belum mendaftar kerana kurang mahir melakukannya melalui aplikasi MySejahtera, masih menunggu anak menguruskannya. - Foto NSTP

Bintang air mata, Wan Maimunah, 67, mengaku belum mendaftar kerana kurang mahir melakukannya melalui aplikasi MySejahtera.

Mengaku 'buta' teknologi, Wan Maimunah menunggu anaknya menguruskan pendaftarannya itu.

"Buat masa ini, anak sedang sibuk. Insya-Allah anak saya akan mendaftarkan saya untuk mendapat suntikan vaksin, tidak lama lagi.

"Namun, itu bukan bermaksud saya tidak bersedia mengambil vaksin. Saya sudah lama menanti dan mengikuti perkembangan berita semasa. Kalau saya petugas barisan hadapan, saya akan pergi dahulu mendapatkan suntikan vaksin," katanya.

Wan Maimunah bersyukur selepas lama menanti, akhirnya rakyat Malaysia akan menerima suntikan vaksin secara berperingkat.

"Alhamdulillah... Vaksin ini penting dan patut diambil. Usah risau mengenai perkara yang akan berlaku kemudian.

"Bagi saya, ajal dan maut sudah ditentukan oleh Allah. Takkanlah Perdana Menteri kita mahu memberikan sesuatu yang memudaratkan. Jika itu berlaku, ia pasti akan menyusahkan dirinya," katanya.

Pelakon yang selesa dengan panggilan ibu ini tidak menafikan dia banyak menerima mesej berantai yang menyatakan mengenai keburukan vaksin.

Namun, beliau enggan membacanya atau ambil peduli.

"Saya lebih selesa tidak membaca mesej merepek. Itu mesej berantai yang kita tidak tahu sumber dan kesahihannya," katanya.

Pelakon veteran, Mak Jah gusar menerima suntikan vaksin berikutan usia mencecah 73 tahun. - Foto NSTP
Pelakon veteran, Mak Jah gusar menerima suntikan vaksin berikutan usia mencecah 73 tahun. - Foto NSTP

Sementara itu, pelakon Mak Jah atau nama penuh, Maimunah Ahmad gusar untuk menerima suntikan vaksin berikutan usia yang mencecah 73 tahun.

"Saya fikir mungkin diri ini berisiko untuk mengambil suntikan itu. Bukan apa, risau jika ada kesan sampingan. Jadi, saya belum mendaftar untuk menerima suntikan vaksin. Bolehkah jika saya tidak ambil suntikan?

"Saya tidaklah takut disuntik, cuma bimbang jika ada kesan buruk kerana faktor usia saya," katanya.

Selama ini, Mak Jah tidak takut melakukan ujian calitan kerana hanya hidung dan tekak dijolok.

Selain aplikasi MySejahtera, satu lagi kaedah pendaftaran secara dalam talian ialah melalui laman web khas www.vaksincovid.gov.my.

Orang ramai turut boleh melakukan pendaftaran dengan menghubungi talian hotline atau hadir di fasiliti klinik kesihatan awam serta swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Berita Harian X