Rabu, 3 March 2021 | 1:41pm
Allahyarham Rina Gunawan meninggal dunia akibat COVID-19 selepas seminggu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pertamina Simprug, Jakarta, Indonesia. - Foto AGENSI
Allahyarham Rina Gunawan meninggal dunia akibat COVID-19 selepas seminggu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pertamina Simprug, Jakarta, Indonesia. - Foto AGENSI

COVID-19: Rina Gunawan meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Penyanyi, pengacara dan pelakon sinetron, Rina Gunawan, 47, menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pertamina Simprug, Jakarta, Indonesia, semalam, selepas positif COVID-19.

Mengikut laporan CNN Indonesia, berita kematian Rina disahkan oleh suaminya, Teddy Syach.

"Arwah meninggal dunia selepas sesak nafas, kira-kira jam 6.45 petang (waktu Indonesia), semalam. Dia sudah dimasukkan ke ICU sejak seminggu lalu.

"Beliau dirawat di hospital kerana dijangkiti virus COVID-19, sebelum meninggal dunia. Sebelum ini, arwah memiliki penyakit asma dan radang paru-paru," katanya.

Mengikut laporan terkini Tribun News.com, tangisan Teddy memecah kesunyian ketika pengebumian arwah isterinya kira-kira jam 9.30 pagi, hari ini.

Allahyarham Rina dikebumikan satu liang lahad dengan arwah bapanya, TB Atik Junaedi yang meninggal dunia kira-kira lima tahun lalu.

Teddy mengakui, sudah mengikhlaskan kepergian arwah Rina untuk selama-lamanya.

"Aku ikhlas, aku sudah ikhlas," ucap Teddy sambil menangis di tanah perkuburan, TPU Tanah Kusir, Jakarta Selatan.

Teddy yang lengkap mengenakan pakaian perlindungan peribadi (PPE) dilihat tidak dapat menahan tangisan saat melantunkan azan di depan pusara arwah isterinya.

Suaranya bergetar dan terhenti seketika ketika melaungkan azan, sebelum jenazah arwah isteri ditutup oleh tanah.

Sejak tiba di TPU Tanah Kusir, Teddy tidak henti menangis, meskipun memakai pelitup muka, tetapi masih terlihat wajahnya kemerahan dan matanya berair.

Pengebumian bintang sinetron Erte Erwe, Pat Pat Gulipat dan Mat Angin itu dilakukan mengikut prosedur COVID-19 apabila hanya beberapa petugas hospital dan TPU Tanah Kusir berpakaian PPE lengkap mengebumikan arwah. Jenazah juga dimakamkan menggunakan peti yang dibungkus plastik.

Hanya petugas pengebumian sahaja dibenarkan berada berdekatan dengan makam arwah.

Suami, Teddy Syach bersama anak lelakinya, Aqshal Ilham Syafatullah menabur bunga di pusara Allahyarham Rina Gunawan. - Foto AGENSI
Suami, Teddy Syach bersama anak lelakinya, Aqshal Ilham Syafatullah menabur bunga di pusara Allahyarham Rina Gunawan. - Foto AGENSI

Teddy berkata, dia sempat melakukan panggilan video beberapa hari sebelum arwah isterinya menghembuskan nafas terakhir.

"Saya sempat membuat panggilan video, itupun dibantu oleh doktor dan jururawat beberapa hari lalu.

"Arwah isteri sudah dua minggu sakit disebabkan penyakit asma dan radang paru-paru. Sempat menjalani rawatan di rumah, tetapi arwah dikejarkan ke hospital dan berada ICU selama 10 hari, sebelum meninggal dunia," kata Teddy dalam laporan Tribun News.com.

Berita arwah Rina atau nama sebenarnya, Rina Mustikana Gumilang Gunawan positif COVID-19 disampaikan penyanyi, Ashanty yang sempat berbual dengan arwah, beberapa hari sebelum pemergiannya.

Menerusi laman IG, Ashanty mengungkapkan rasa kehilangan, selain memuat naik perbualan terakhirnya dengan arwah, semalam.

Ashanty nyata terkejut apabila menerima berita duka pemergian rakan baiknya itu.

Sebelum ini, arwah Rina dilihat memberikan sokongan kepada Ashanty yang sedang berjuang melawan pandemik, selain mengesahkan dirinya juga positif COVID-19. Arwah mengirimkan gambarnya sedang dirawat.

"Tehhhhhh, ya Allah sakit barengan, kritis barengan, janji mau berjuang bareng, janji mau urus nikahan Loly, janji mau ketemu, telefon setelah sekian lama.

"Dulu semua nikahan aku dari awal sampe akhir teteh yg urus. Janji mau sama2 berjuang ngelawan ini Tehhhhhh @rinagunawan_woandeo. Teteh pergi duluan," tulis Ashanty.

Tujuh potret Allahyarham Rina Gunawan diletakkan di atas pusaranya. - Foto AGENSI
Tujuh potret Allahyarham Rina Gunawan diletakkan di atas pusaranya. - Foto AGENSI

Penyanyi dan komposer, Melly Goeslaw juga memuat naik status mengenang kebaikan arwah ketika hidupnya dalam laman IG, semalam.

"Orang yang paling rajin ngingetin aku soal ibadah, orang yang paling mendorong aku untuk umrah, orang yang paling rajin ngajak ngaji, sedekah dan apapun kebaikan," tulis Melly.

Melly juga berterima kasih kepada arwah Rina kerana selalu mengajaknya untuk menjalani hidup dengan menabur kebaikan.

"Orang baik seperti kamu pasti sudah disiapkan Surga terindah oleh Allah SWT, nanti ketemu deui diditunya Rin.

"Teman-teman mohon dimaafkan segala kesalahan Rina, sudi kiranya memanjatkan Al-Fatihah untuk Almarhum Rina Mustikana Gumilang," tulis Melly.

Arwah Rina menyerlah sebagai pengacara televisyen dan ahli perniagaan, biarpun memulakan kerjaya seni sebagai penyanyi. Pada 1995, artis serba boleh kelahiran, Bandung Indonesia itu pernah merakamkan album Yudi.

Arwah Rina pernah mengacarakan program bual bicara seperti Campur-Campur, On Air, Ruming dan banyak lagi.

Disebabkan kesibukan dalam bidang perancang perkahwinan dan penganjur acara yang diusahakan sejak lebih 20 tahun lalu, arwah Rina agak lama tidak muncul di kaca TV. Sebelum meninggal dunia, beliau aktif menerusi program diet, Sehat Bareng Teh Rina.

Allahyarham mendirikan rumah tangga dengan aktor, Teddy pada 11 April 1999. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Aqshal Ilham Syafatullah dan Karnisya Rahmasyach. - AGENSI

Berita Harian X