Selasa, 23 Februari 2021 | 1:00pm
Mohd Ghazali berharap kerajaan memberi pertimbangan serius bagi membenarkan pengusaha pawagam yang menanggung kerugian besar, menyambung operasi sepanjang PKP. Foto Ihsan MAFE
Mohd Ghazali berharap kerajaan memberi pertimbangan serius bagi membenarkan pengusaha pawagam yang menanggung kerugian besar, menyambung operasi sepanjang PKP. Foto Ihsan MAFE

'Kami macam anak tiri'

KUALA LUMPUR: Dengan pendapatan merosot 90 peratus, malah kerugian terkumpul lebih RM500 juta sebaik operasi pawagam ditutup akibat penularan COVID-19, sejak tahun lalu, pengusaha panggung wayang di seluruh negara tidak mampu bertahan lagi.

Demi meneruskan survival perniagaan dan masa depan penggiat filem tempatan, Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) menggesa kerajaan menimbang semula pembukaan panggung wayang di seluruh negara.

Pengerusi MAFE, Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Seth, berkata arahan menutup pawagam sejak hampir setahun lalu melumpuhkan industri panggung wayang yang terus mencatatkan kerugian.

"Kerugian lebih besar ditanggung tahun lalu melebihi RM500 juta. Ini menyebabkan banyak panggung wayang terpaksa gulung tikar dan mengecilkan operasi mereka.

"Situasi ini jauh berbeza jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya. Ketika itu, industri panggung wayang menyumbang lebih RM1 bilion pendapatan dengan lebih RM250 juta duti cukai hiburan kepada negara.

"MAFE rasa seperti dianaktirikan apabila sektor yang bukan keperluan utama seperti spa, gimnasium, kasino, pusat memancing dan padang golf sudah kembali beroperasi.

Pengusaha pawagam mencatat kerugian lebih RM500 juta tahun lalu berikutan penutupan premis akibat penularan COVID-19. Foto NSTP/Eizairi Samsudin
Pengusaha pawagam mencatat kerugian lebih RM500 juta tahun lalu berikutan penutupan premis akibat penularan COVID-19. Foto NSTP/Eizairi Samsudin

"Sebaliknya, pawagam di seluruh negara masih diarahkan ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bersambung sehingga 4 Mac depan," katanya.

Mohd Ghazali berkata, industri pawagam tidak mampu lagi menanggung penutupan operasi lebih lama yang akan mengakibatkan sektor itu lumpuh selain menjejaskan rantaian bekalan.

"Kami berharap kerajaan dapat menimbang semula secara serius keputusan untuk membenarkan kami kembali beroperasi.

"Ini kerana ada beberapa industri keperluan utama dibenarkan untuk beroperasi semula dalam tempoh beberapa minggu lalu.

"Penutupan panggung wayang sejak setahun lalu memberi impak yang besar kepada industri kami sehingga menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan.

"Banyak pawagam terpaksa gulung tikar atau mengecilkan operasi mereka. Malah, ada kakitangan terpaksa menerima potongan gaji sehingga 70 peratus.

"Kerugian paling besar adalah pengunduran pengendali pawagam ketiga terbesar negara, MBO Cinemas yang terpaksa melakukan pelupusan secara sukarela," katanya.

Mohd Ghazali berkata, MAFE sudah membuat rayuan untuk mendapatkan pengecualian atau pengurangan cukai hiburan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kewangan (MOF) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Kerajaan memperuntukkan dana RM225 juta bagi membiayai dan menyokong aktiviti kesenian, kebudayaan dan hiburan, Jun lalu.

"Namun, peruntukan itu tidak termasuk pawagam," katanya.

Mohd Ghazali berkata, Belanjawan 2021 yang dibentangkan, November lalu, memperuntukkan RM100 juta sebagai suntikan industri kreatif.

Namun, katanya, pengendali pawagam sekali lagi 'dianaktirikan' daripada menerima bantuan.

"Sehingga hari ini, pengendali pawagam masih belum menerima sebarang bantuan kewangan atau pakej rangsangan daripada jumlah yang diperuntukkan untuk industri kreatif oleh kerajaan," katanya.

Mohd Ghazali berkata, biarpun ditutup, pengendali pawagam masih melakukan kerja penyelenggaraan setiap hari ke atas kelengkapan.

"Kos perbelanjaan sangat besar untuk ditanggung lebih-lebih dalam keadaan tiada pendapatan masuk.

"Biarpun pengendali pawagam melakukan semua yang terbaik, namun mereka masih tidak dibenarkan untuk beroperasi meskipun tiada kluster pernah direkodkan sebelum ini," katanya.

Mohd Ghazali berkata, negara lain seperti Singapura, Thailand, Indonesia, Korea, Jepun dan India sudah membenarkan pawagam beroperasi sepenuhnya.

"Pawagam adalah suatu bentuk hiburan luar rumah yang paling selamat.

"Sejak bermulanya penularan pandemik, pengendali pawagam mematuhi setiap garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan pihak berkuasa.

"Ini termasuk penjejakan kontak, pemeriksaan suhu badan dan penjarakan fizikal yang diwajibkan," katanya.

Moh Ghazali berkata, pengendali pawagam juga banyak melabur bagi melaksanakan proses sanitasi secara menyeluruh dan kerap selepas setiap tayangan, menyediakan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kakitangan serta bahan sanitasi tangan untuk pelanggan.

Berita Harian X