Rabu, 27 Januari 2021 | 6:00pm
Fauziah Ahmad Daud berusaha menjelaskan hutang tertunggak membabitkan pelakon dan kru teater Korupsi Dewan Semandung biarpun belum habis sepenuhnya. - Foto NSTP
Fauziah Ahmad Daud berusaha menjelaskan hutang tertunggak membabitkan pelakon dan kru teater Korupsi Dewan Semandung biarpun belum habis sepenuhnya. - Foto NSTP

'Ogy langsai hutang 30 kru'

KUALA LUMPUR: Hampir setahun berlalu, namun isu bayaran yang masih tertunggak membabitkan penerbit teater Korupsi Dewan Semandung, Fauziah Ahmad Daud dengan pelakon dan kru masih belum berpenghujung. Soal hutang belum diselesaikan masih terus menjadi bahan ungkit mengungkit.

Terbaharu, penulis skrip teater, Aloy Paradoks pula meluahkan kekecewaannya dalam media sosial apabila hingga kini, baki bayaran atas hasil titik peluhnya belum dilangsaikan.

Mac tahun lalu, isu hutang pernah mencetuskan kekecohan apabila pengarah teater, Khir Rahman dan beberapa pelakon meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kegagalan syarikat produksi milik Fauziah atau Ogy, Ventures & Network melunaskan bayaran penuh hingga ada antara mereka membuat laporan polis.

Tidak pernah terfikir lari daripada membayar hutang, Ogy berkata, terbaca luahan Aloy termasuk komen ditulis netizen yang rata-rata menghentam tanpa mengetahui cerita sebenar.

"Saya memang tak muat naik apa-apa mengenai isu bayaran tertunggak sejak isu ini kecoh. Jika buat bayaran, saya lebih suka membuat secara senyap-senyap. Tak perlu nak hebahkan dalam media sosial, lagi pun, itu bukan cara saya.

"Sejujurnya, saya tak pernah rasa takut, tergugat atau jatuh reputasi hanya kerana luahan dan komen ditulis netizen. Ini kerana saya sudah mengotakan janjikan, sebelum ini. Saya tak pernah lepas tangan.

"Bagi saya, hutang wajib dibayar dan saya berusaha menjelaskannya walaupun belum habis sepenuhnya," katanya kepada BH Online.

Ogy berkata, dia mengambil pendekatan untuk memaafkan sahaja mereka, biarpun ada yang cuba menjatuhkan reputasinya.

"Tak perlu nak memperbesarkan kerana tidak membawa sebarang manfaat. Mungkin Aloy selesa dengan cara sebegitu iaitu dengan menyerang saya dalam media sosial. Terpulanglah pada mereka nak buat apapun. Saya tetap dengan cara saya, malas bersoal jawab dalam media sosial.

"Saya akui berhutang dengan 34 orang. Daripada jumlah itu, bayaran untuk 30 orang sudah dilangsaikan sepenuhnya. Jadi, hanya tinggal empat sahaja lagi yang saya masih berhutang. Itu pun jumlahnya tidaklah banyak. Macam Aloy, saya sudah menjelaskan bayaran sebanyak 80 peratus. Ada baki 20 peratus sahaja lagi.

"Seperti ditegaskan sebelum ini, saya bukanlah seorang yang suka nak hebahkan soal bayaran dalam media sosial. Cuma, saya ada menyalurkan maklumat mengenai pembayaran kepada peguam untuk direkodkan," katanya.

Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH pada 1987 itu berkata, dia sanggup menggunakan wang hasil lakonan dan pendapatan diperoleh daripada bisnes untuk membayar hutang yang tertunggak.

"Saya berusaha keras dan mencari pembekal untuk memasarkan produk makanan. Apabila dapat duit hasil lakonan, selepas ketepikan untuk menampung perbelanjaan harian, selain anak yang masih bersekolah. Bakinya saya gunakan untuk membayar hutang," katanya.

Fauziah Ahmad Daud bersama pengarah, Khir Rahman dan barisan pelakon teater Korupsi Dewan Semandung. - Foto NSTP
Fauziah Ahmad Daud bersama pengarah, Khir Rahman dan barisan pelakon teater Korupsi Dewan Semandung. - Foto NSTP

Mengulas pengajaran yang diperoleh selepas apa yang berlaku, Ogy berpendapat, perlu ada penaja sekiranya mahu melakukan apa-apa persembahan.

"Penajaan sangat penting. Lagi satu ilmu yang dipelajari adalah kena ada pengurus projek yang mantap dan bertanggungjawab. Jika boleh saya tak mahu bekerja dengan mereka yang jenis lepas tangan apabila timbul masalah.

"Dalam hal ini, saya anggap apa yang berlaku adalah ujian Allah SWT. Namun, saya melihat ujian ini sebagai sesuatu yang positif. Untuk menjadi usahawan yang berjaya, jiwa kena kental," katanya.

Menyentuh Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia yang tertangguh, Ogy berkata, pihaknya mahu menganjurkannya secara dalam talian.

"Dalam situasi sekarang yang kita tidak pasti bilakah pandemik COVID-19 akan berakhir, penganjuran konsert secara virtual adalah antara jalan penyelesaian. Saya sudah berbincang dengan Khai dan pengurusannya. Mereka juga sudah bersetuju.

"Sekarang, saya hanya menunggu lampu hijau dari Airasiaredtix untuk berbincang lebih lanjut mengenai perancangan itu. Saya juga akan mendapatkan persetujuan peminat yang sudah membeli tiket, apakah mahu menonton secara dalam talian atau mahu wang dikembalikan.

"Jika kata sepakat dicapai, barulah kita meneruskan fasa selanjutnya iaitu publisiti dan promosi kerana ia sangat penting untuk penganjuran konsert," katanya.

Berita Harian X