Selasa, 19 Januari 2021 | 2:02pm
Leez Rosli bersama suami, Aepul Roza dan anak, Nur Saffiya Alisha yang disahkan positif COVID-19, minggu lalu. - Foto IG Leez Rosli
Leez Rosli bersama suami, Aepul Roza dan anak, Nur Saffiya Alisha yang disahkan positif COVID-19, minggu lalu. - Foto IG Leez Rosli

Leez tak keruan suami, anak positif COVID-19

KUALA LUMPUR: Hati penyanyi dan pelakon, Leez Rosli, 34, bagaikan tidak keruan apabila suami, Aepul Roza, 33, serta anaknya, Nur Saffiya Alisha, 5, positif COVID-19, minggu lalu.

Aepul yang juga vokalis Drama Band disahkan positif pada Rabu lalu, manakala anaknya pula pada Jumaat. Lebih mengganggu fikiran, Leez kini sedang hamil anak kedua dalam usia kandungan enam bulan.

"Hanya saya negatif melakukan ujian saringan COVID-19 oleh sebuah klinik yang datang ke rumah, minggu lalu. Awalnya suami disahkan positif, diikuti anak pula dua hari kemudian.

"Pada mulanya, Aepul tiada mengalami apa-apa simptom, namun, kini sudah mula hilang deria rasa dan bau. Ketika ini, suami dan anak menjalani proses kuarantin di rumah. Mereka tinggal di bahagian atas rumah, saya pula di bawah.

"Saya kena uruskan makanan dan ubat-ubatan mereka di rumah. Jika makan ubat menyebabkan mengantuk, jadi waktu tidur suami tidak menentu. Selalunya, saya akan cuba menyiapkan makanan untuknya jika suami terjaga tengah malam," katanya kepada BH Online.

Berat ujian yang dihadapi Leez Rosli yang sedang hamil enam bulan apabila menguruskan suami, anak positif COVID-19 dan menjalani tempoh kuarantin di rumah. - Foto IG Leez Rosli
Berat ujian yang dihadapi Leez Rosli yang sedang hamil enam bulan apabila menguruskan suami, anak positif COVID-19 dan menjalani tempoh kuarantin di rumah. - Foto IG Leez Rosli

Selain menunggu tindakan lanjut Kementerian Kesihatan (KKM), Leez berkata, dia cuba memainkan peranan penting dalam memastikan suami dan anak berada dalam keadaan stabil.

"Doktor menasihatkan saya mengekalkan proses kuarantin di rumah selama 14 hari. Apa yang diberitahu, virus ini akan lemah pada hari ke sembilan ke atas, jadi kurang sedikit risiko jangkitan.

"Saya ada juga bertanya rakan yang pernah dijangkiti virus ini. Ada yang beritahu, ubat akan diberikan mengikut simptom pesakit jika dirawat di hospital yang dihantar KKM. Jika pesakit demam, ubat berkaitan diberikan.

"Sekarang saya memang kena jadi jururawat menguruskan keperluan suami dan anak. Saya mencuba pelbagai petua tradisional seperti memberi minum air kelapa dan lemon suam," katanya.

Secara jujur, Leez berkata, dia terkejut apabila jumlah kes positif COVID-19 semakin meningkat, sejak akhir ini. Malah ada sahaja rakan artis disahkan positif sepanjang minggu lalu.

"Dugaan ini agak berat untuk dipikul dalam keadaan saya berbadan dua. Sebelum ini, saya tawakal sahaja jika menerima nasib sama seperti suami dan anak. Alhamdulillah, saya negatif.

"Nak tak nak, saya kena kuat untuk bayi dalam kandungan ini. Semoga Tuhan melindungi dan mempermudahkan urusan saya berdepan dengan ujian ini," katanya.

Berita Harian X