Isnin, 18 Januari 2021 | 10:10pm
Norlia bersama pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi. Foto IG Norlia Ramli
Norlia bersama pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi. Foto IG Norlia Ramli

Mama tak ambil 'pot'

KUALA LUMPUR: Tiba-tiba nama Norlia Ghani, 72, trending di Twitter gara-gara ciapan rawak individu yang menyindir bintang veteran itu ketika memperkatakan mengenai kejelitaan aktres dan model tinggi lampai, Kavita Kaur Sidhu.

Dalam insiden itu, seorang pemilik akaun Twitter memuat naik ciapan membandingkan kejelitaan Kavita yang berusia 49 tahun dengan wanita berusia 30 tahun yang dipersenda memiliki penampilan seperti Norlia.

Menghubungi pelakon yang terkenal dengan watak Joyah dalam drama bersiri Opah terbitan 1980-an itu, Norlia mengaku terperanjat dirinya trending di Twitter.

"Cucu Mama menunjukkan paparan skrin dan akaun Twitter menyebut nama Mama yang trending hari ini.

"Tidak sangka, selama ini hanya artis muda dan popular yang tular di laman sosial.

"Sekarang Mama pula jadi perhatian. Namun, Mama tidak ambil serius atau ambil 'pot'. Banyak lagi perkara lain yang perlu kita kita fikirkan ketika berdepan pandemik COVID-19.

Norlia tidak ambil hati apabila dirinya dipersendakan di laman Twitter. Foto IG Norlia Ramli
Norlia tidak ambil hati apabila dirinya dipersendakan di laman Twitter. Foto IG Norlia Ramli

"Tak jadi kudis pun... Mama tahu ada yang mempertahankan Mama sebagai artis senior," katanya kepada BH Online.

Meraih sokongan peminat, netizen kesal ciapan itu seolah-olah tidak menghormati Norlia sebagai bintang veteran yang memberi banyak sumbangan kepada industri seni.

Norlia yang pernah meraih trofi Pelakon Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2002 mengaku tidak aktif di laman Twitter.

"Mama lebih kerap guna akaun Facebook dan Instagram," katanya.

Dalam perkembangan lain, Norlia sempat melunaskan penggambaran drama 13 episod, Bujang Haji untuk siaran TV Alhijrah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Jika diikutkan, Mama ada tawaran penggambaran lain. Namun, disebabkan PKP, semuanya ditangguhkan," katanya.

Dalam drama Bujang Haji arahan Isqandar Jebat, Norlia berlakon bersama artis senior lain seperti Rosnah Mat Aris, Kartina Aziz dan Jalil Hamid.

Berita Harian X