Isnin, 18 Januari 2021 | 11:00am
Mia Sara lebih rela tidak berlakon daripada membuka tudung demi memenuhi permintaan syarikat produksi. - Foto IG Mia Sara
Mia Sara lebih rela tidak berlakon daripada membuka tudung demi memenuhi permintaan syarikat produksi. - Foto IG Mia Sara

'Buka tudung, no way!' - Mia Sara

KUALA LUMPUR: Pelakon remaja, Mia Sara Nasuha, 16, mendedahkan masih ada syarikat produksi memintanya membuka tudung, sedangkan dirinya sudah berhijab sejak lima tahun lalu.

Atas faktor berkenaan, Mia Sara berkata, dia terpaksa menolak banyak tawaran lakonan hingga menyebabkan ramai beranggapan dirinya sudah tidak aktif dalam lakonan.

"Nak suruh saya buka tudung, tak mungkin akan berlaku. Saya lebih rela tidak berlakon daripada membuka tudung demi memenuhi permintaan mereka.

"Saya akui, tawaran lakonan semakin berkurangan sejak mula mengenakan hijab. Ia tidak lebat seperti suatu ketika dahulu. Baru-baru ini pun masih ada tawaran yang meminta saya membuka tudung selepas diberitahu mengenai watak yang ditawarkan.

"Bukan sekali, ia berlaku berkali-kali, lebih lagi pada peringkat awal saya bertudung. Sebab itu jugalah saya banyak tolak tawaran lakonan. Ia bukan sebab saya tak mahu berlakon," katanya kepada BH Online.

Mia Sara minta pihak produksi menghormati pendiriannya sudah bertudung, apatah lagi berhijrah bukan atas paksaan sesiapa. Foto IG Mia Sara
Mia Sara minta pihak produksi menghormati pendiriannya sudah bertudung, apatah lagi berhijrah bukan atas paksaan sesiapa. Foto IG Mia Sara

Dedah Mia, memberikan watak tidak bertudung kepadanya umpama memintanya menanggalkan hijab.

"Oleh sebab terima banyak tawaran watak tidak bertudung, jadi saya jarang kelihatan di kaca televisyen (TV) sekarang ini. Apabila kurang berlakon, timbul pula andaian saya sudah tidak berminat berlakon lagi dan mahu fokus pada pelajaran.

"Saya minta sangat pihak luar menghormati pendirian saya yang sudah bertudung. Saya pakai tudung bukan atas paksaan sesiapa, ia hadir atas kerelaan hati," katanya.

Mia berkata, perkara itu juga membuatkannya hilang keyakinan diri untuk kembali aktif berlakon. Bagaimanapun, tetap bersyukur tawaran masih ada dalam industri lakonan.

"Saya mula berlakon semula, tahun lalu. Disebabkan itu, saya cuba mendapatkan kehidupan lama. Bagaimanapun, apabila ditawarkan watak tidak bertudung, jujurnya saya mula hilang keyakinan diri.

"Saya reda dan tak pernah ralat dengan keputusan berhijrah ini. Saya bersyukur walaupun kurang tawaran lakonan, tetapi sentiasa ada rezeki lain yang datang," katanya.

Berita Harian X