Ahad, 17 Januari 2021 | 12:59am
Trofi ATA 25 dimenangi Bront ditujukan kepada isterinya, Rozi dan anak tunggal mereka, Adeena. Foto IG Bront Palarae
Trofi ATA 25 dimenangi Bront ditujukan kepada isterinya, Rozi dan anak tunggal mereka, Adeena. Foto IG Bront Palarae

Bront aktor terbaik Asia

KUALA LUMPUR: Pelakon Bront Palarae, 43, meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik (Digital), Anugerah Televisyen Asia (ATA) Ke-25 di Singapura, malam tadi.

Bront menambat hati juri melalui penampilannya dalam drama bersiri The Bridge 2 yang disiarkan platform Viu.

Bront menewaskan calon lain termasuk dari Vietnam, Thailand, Singapura dan India.

Bront turut dicalonkan dalam satu lagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik (bukan digital). Namun, trofi itu dibolot aktor Hong Kong, Anthony Wong.

Penampilan Bront dalam drama bersiri The Bridge 2 menambat hati juri ATA 25. Foto IG Bront Palarae
Penampilan Bront dalam drama bersiri The Bridge 2 menambat hati juri ATA 25. Foto IG Bront Palarae

Memberitahu BH Online, Bront gembira dengan pengiktirafan diterima.

"Saya mewakili tenaga produksi menerima pengiktirafan ini. Tahniah Min Lim dan pasukannya yang hebat di Double Vision kerana bekerja keras untuk merealisasikan projek ini.

"Chi-Ren Chong dan kumpulan penulis yang memberikan kami naskhah hebat untuk berkarya. Kepada Thean-jeen Lee, Jason Chong dan Zahir Omar, saya seronok setiap kali datang ke set.

"Kepada pelakon lain, kehadiran, semangat dan tenaga anda membawa musim kedua ini ke tahap berbeza.

"Kepada insan hebat di Viu, tanpa kepercayaan dan keyakinan diberikan, malam ini tentu tidak akan menjadi kenyataan," katanya yang tidak menghadiri acara itu berikutan penularan COVID-19.

Pelakon yang bakal muncul dalam filem terbaru berjudul Rajah ini turut berterima kasih kepada isteri, Rozi dan anak tunggal mereka, Adeena.

Selain dua kategori membabitkan Bront, The Bridge 2 arahan TJ Lee, Jason Chong dan Zahir Omar, meraih 11 pencalonan di ATA 25.

Antaranya Siri Terbaik, Adaptasi Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik iaitu Wan Hanafi Su dan Miller Khan.

Berita Harian X