Sabtu, 16 Januari 2021 | 11:00am
Intan Ladyana tidak melihat usia menjadi ukuran dalam perhubungan, sebaliknya tertarik dengan kematangan Harris Alif. - Foto IG Harris Alif
Intan Ladyana tidak melihat usia menjadi ukuran dalam perhubungan, sebaliknya tertarik dengan kematangan Harris Alif. - Foto IG Harris Alif

'Lelaki tua tak semestinya matang'

KUALA LUMPUR: Menyelak helaian kisah cinta pelakon, Intan Ladyana, 38, bukan tiada lelaki sebaya yang pernah menjadi penghuni hatinya. Namun sebagai manusia, apalah dayanya untuk melawan ketentuan takdir. Bagaimanapun, cinta yang pernah mekar layu di tengah jalan.

Justeru, apabila kembali berpacaran dan memilih penyanyi dan pengacara, Harris Alif yang muda 17 tahun daripadanya untuk dijadikan teman hidup, Intan mengharapkan keputusannya tidak dipersoalkan.

Baginya, bukan usia menjadi ukuran dalam satu perhubungan. Sebaliknya, apa yang dilihat, sifat matang yang ada pada lelaki pilihan hatinya itu.

"Lelaki tua atau muda bukan satu masalah. Jika sudah ditetapkan itulah adalah jodoh, siapalah saya untuk menolak kehendak takdir. Lagipun, pandangan saya lebih kepada kematangan seseorang.

"Jika usia 40 tahun, tetapi tak matang, tak guna juga. Macam mana nak kahwin? Tak kisahlah lebih muda kerana usia bukan ukuran kematangan seseorang.

"Bagi saya, Harris seorang yang matang berdasarkan cara berkomunikasi. Setakat ini, Harris memahami apa yang saya sampaikan," katanya kepada BH Online.

Diusik pertanyaan tidakkah risau bersuamikan lelaki muda dan kebarangkalian bakal menarik perhatian wanita lain cukup tinggi, pelakon filem Jangan Pandang Belakang itu percaya, jalan cerita setiap pasangan yang sudah berumah tangga adalah berbeza.

"Kisah hidup seseorang berbeza. Tak bolehlah nak pukul rata mengatakan kalau bersuami muda, orang akan ganggu rumah tangga. Mungkin itu pengalaman orang lain dan tak semestinya saya mengalami nasib yang sama.

"Bagaimanapun, dalam hal ini, terserah pada lelaki itu sendiri. Jika tak layan, takkan akan menjadi juga," ujarnya pada sidang media pengumuman majlis perkahwinan yang diadakan secara virtual, baru-baru ini.

Bercerita mengenai persiapan hari bersejarah, Intan berkata, persediaan sudah mula dilakukan selepas majlis merisik pada Julai, tahun lalu.

"Persiapan sudah dibuat sebanyak 95 peratus selepas majlis merisik. Cuma, apa yang merisaukan, situasi semasa memandangkan masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Kami bimbang sekiranya berlaku perubahan dari segi prosedur operasi standard (SOP), macam-macam boleh berlaku.

"Kami hanya mampu berserah sahaja. Apapun, semua majlis kami diadakan dalam mematuhi SOP yang ditetapkan dengan mengehadkan bilangan tetamu, pemeriksaan suhu, penjarakan fizikal di meja makan dan langkah keselamatan lain," katanya.

Intan Ladyana dan Harris Alif akan disatukan dalam ikatan sebagai suami isteri pada 6 Februari ini. - Foto IG Harris Alif
Intan Ladyana dan Harris Alif akan disatukan dalam ikatan sebagai suami isteri pada 6 Februari ini. - Foto IG Harris Alif

Selepas hampir setahun menyulam cinta, pasangan itu sepakat untuk memilih tarikh 6 Februari ini untuk diijabkabulkan.

Walaupun usianya baru mencecah 21 tahun dan ramai menyifatkan usia terlalu awal untuknya menamatkan zaman bujang, namun Harris mempunyai pandangan berbeza.

"Jika nak cakap soal jodoh, kita sendiri tak tahu urusan Tuhan. Tetapi, jika nak mempersoalkan kahwin muda, bukan kali pertama lelaki berusia 21 tahun berkahwin. Budak sekolah pun ada yang sudah berkahwin.

"Sebagai lelaki, saya sudah mempersiapkan diri untuk menjadi ketua keluarga dan membuat persediaan ke arah itu. Saya banyak bercampur dengan golongan dewasa. Bila keluar dengan mereka, saya lebih banyak memerhati bagaimana mereka melayan kerenah anak-anak.

"Dari situ, saya belajar bagaimana mahu mengemudi rumah tangga," kata Harris yang juga pengacara program Generasi Z di TV3.

Mengulas hari bahagia, Harris berkata, ada empat majlis yang dibuat secara berasingan.

"Kami buat majlis berinai, sehari sebelum akad nikah. Selepas acara akad nikah yang bakal berlangsung di sebuah masjid di ibu kota, sebelah malamnya pula kami akan mengadakan resepsi. Majlis bertandang pula akan diadakan pada 13 Mac depan," katanya.

Ditanya apakah majlis perkahwinan bakal disiarkan di stesen televisyen (TV), Harris atau nama sebenarnya, Nor Harris Alif Nor Rashidi berkata, perkara itu masih dalam perbincangan.

"Mengikut pihak pengurusan, perkara ini masih dalam perbincangan dan apa yang boleh saya katakan, masih lagi 50-50. Jika sudah ada kata sepakat, kami akan umumkan nanti," katanya.

Intan dan Harris mula rapat selepas berkenalan dalam laman Instagram (IG), Mei lalu. Harris secara terbuka mengakui, bahagia menjalin hubungan cinta bersama Intan, biarpun jarak usia berbeza.

Sempena majlis perkahwinan, Intan dan Harris mendapat tajaan barangan kemas bernilai RM13.5 juta dan pelbagai kelengkapan perkahwinan lain.

Lebih istimewa, Harris turut menjadikan single terbaharu berjudul Anugerah yang dilancarkan, bulan lalu sebagai lagu tema perkahwinan.

Berita Harian X