Rabu, 13 Januari 2021 | 6:00pm
Amar Asyraf diuji dengan masalah silih berganti hingga membuatkannya rasa kehilangan, marah dan geram dalam berjuang melawan ujian dunia seorang diri pada 2020. - Foto IG Amar Asyraf
Amar Asyraf diuji dengan masalah silih berganti hingga membuatkannya rasa kehilangan, marah dan geram dalam berjuang melawan ujian dunia seorang diri pada 2020. - Foto IG Amar Asyraf

2020 malang buat Amar

KUALA LUMPUR: Setiap manusia menempuh ujian yang berbeza. Begitu juga pelakon, Amar Asyraf, 34, menyifatkan 2020 adalah tahun malang buatnya.

Pelakon drama Setia Hujung Nyawa dan Syurga Nur itu diuji dengan masalah silih berganti hingga membuatkannya rasa kehilangan, marah dan geram dalam berjuang melawan ujian dunia seorang diri.

Bukan hanya diuji dengan masalah kewangan dan berdepan dengan kes Mahkamah Syariah, rezeki seolah-olah tersekat apabila namanya pula ditolak stesen televisyen (TV). Akibat tekanan, dia mula boros berbelanja.

Namun, paling dikesali apabila menyakiti hati ibu bapa, isteri dan anak-anaknya dengan tingkah laku tidak baik serta membiarkan ego mahu menang.

Luahan hati kehidupan berliku Amar dikongsi menerusi laman Instagram (IG) pada hujung tahun lalu, sekali gus mengundang perhatian ramai.

Menerusi entri dalam IG, Amar mempersoalkan kenapa ujiannya yang diterima sehebat itu. Malah, Amar menyerah kalah untuk menjadi lelaki baik hingga mengabaikan kesihatan berikutan terlalu meratapi nasib.

"Saya hanya meluahkan perasaan marah dan kecewa pada diri sendiri. Saya sudah tidak boleh bertenang dengan ujian yang menimpa hidup, sepanjang tahun lalu. Bayangkan, saya hanya bekerja pada awal dan hujung tahun sahaja sepanjang 2020.

"Saya sangka tawaran berlakon akan datang seperti biasa selepas fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Malangnya, tidak seperti yang diduga. Saya kecewa dan tidak mampu menyimpan perasaan. Namun, sekarang, Alhamdulillah, segala-galanya kembali okay," katanya kepada BH Online.

Mengulas dakwaan stesen TV menolak namanya mungkin berkaitan dengan kontroversi sebelum ini, Amar berkata, ia tiada kaitan dengan kisah peribadinya.

"Saya akui agak terkilan apabila nama saya ditolak apabila penerbit menghantar ke stesen TV. Saya tak rasa ia ada kaitan dengan kisah peribadi.

"Saya tak marah, anggap sebagai dugaan. Saya tak suka mengamuk disebabkan tak puas hati. Sebab itulah, saya tulis baik-baik. Stesen mana yang bersikap memilih, biarlah ia menjadi rahsia. Saya tak mahu nama saya akan ditolak sampai bila-bila," katanya.

Amar Asyraf bersama isterinya, Arna Salleh pernah berdepan dengan kemelut rumah tangga, namun dapat menyelesaikannya. - Foto IG Amar Asyraf
Amar Asyraf bersama isterinya, Arna Salleh pernah berdepan dengan kemelut rumah tangga, namun dapat menyelesaikannya. - Foto IG Amar Asyraf

Anak kelahiran Masjid Tanah, Melaka itu berkata, bukan tiada tawaran lakonan langsung yang diterima, sebaliknya tidak banyak seperti sebelum ini.

"Nak kata tiada tawaran langsung, tidak juga. Tawaran masih ada, cuma tidak banyak. Ada masanya hampir sebulan saya duduk termenung di rumah. Ada juga dua minggu saya tidak bekerja selepas selesai projek drama 13 episod. Selepas itupun hanya satu hari komitmen yang diperlukan.

"Pernah berlaku saya sudah bersedia menunggu tarikh untuk penggambaran, tiba-tiba nama ditukar dengan pelakon lain pada saat akhir. Terbit juga perasaan bosan, tetapi apabila difikir semula, saya perlu bersyukur kerana masih ada bumbung untuk berteduh. Orang lain mungkin berdepan dengan dugaan lebih dahsyat lagi.

"Alhamdulillah, saya memiliki sedikit simpanan. Jadi, wang simpanan digunakan untuk melangsaikan komitmen. Bagaimanapun, lama kelamaan duit simpanan pun sudah habis dikorek.

"Saya pula jenis tidak boleh duduk diam. Saya tetap berusaha untuk memastikan semuanya cukup buat keluarga. Saya bersyukur, isteri sangat memahami keadaan saya," katanya.

Amar berkata, dia tidak melihat kehadiran pelakon baharu memberikan cabaran hingga menyebabkan tawaran semakin berkurangan.

"Persaingan dengan pelakon baharu bukan cabaran. Saya tak perlu bersaing dengan mereka kerana kesesuaian setiap watak berbeza.

"Saya juga kini sedang menerokai dunia perniagaan dengan menjual minuman coklat, Lavasse. Mungkin inilah jalan jalan terbaik buat saya, ketika ini. Tetapi, saya masih menerima tawaran lakonan.

"Buat masa ini, saya belum dapat bayangan perjalanan kerjaya lakonan. Setakat ini, tawaran sangat perlahan. Disebabkan itulah, saya mahu fokus pada perniagaan.

"Sebelum ini, saya juga aktif mengarah teater, tetapi pentas tidak dibuka disebabkan pandemik COVID-19. Orang ramai juga tidak berani menonton teater, apatah lagi, harga tiket agak mahal," katanya.

Berita Harian X