Isnin, 11 Januari 2021 | 11:00am
Tiga artis veteran dari kiri, Alina Hassan, Ayati Tasrip dan Noralbaniah menjadi antara 25 penggiat seni yang menerima unit PPR melalui inisiatif FINAS bersama KPKT. Foto Ihsan FINAS
Tiga artis veteran dari kiri, Alina Hassan, Ayati Tasrip dan Noralbaniah menjadi antara 25 penggiat seni yang menerima unit PPR melalui inisiatif FINAS bersama KPKT. Foto Ihsan FINAS

10 inisiatif 'talian hayat'

KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 dan impak terhadap pembangunan industri kreatif memberi cabaran besar kepada ahli Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menggerakkan inisiatif kerajaan membantu penggiat seni, sebaik dilantik, tahun lalu.

Menyifatkan kejayaan melaksanakan 10 inisiatif utama merangsang semula industri kreatif sebagai pencapaian membanggakan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berpuas hati dengan manfaat diperoleh penggiat seni melalui langkah proaktif perbadanan itu.

"Saya bangga atas kejayaan ini terutama Ahli Jawatankuasa FINAS yang berjaya mengangkat semula kredibiliti organisasi ini dalam membela nasib anak seni yang terjejas sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan, Mac lalu.

"Semua kejayaan dicapai dalam tempoh lima bulan selepas pelantikan jawatankuasa baharu iaitu saya dan ahli lain.

Ahmad Idham menyifatkan kejayaan Ahli FINAS menggerakkan inisiatif merangsang semula industri kreatif dalam tempoh lima bulan selepas dilantik sebagai sesuatu yang membanggakan. Foto Ihsan FINAS
Ahmad Idham menyifatkan kejayaan Ahli FINAS menggerakkan inisiatif merangsang semula industri kreatif dalam tempoh lima bulan selepas dilantik sebagai sesuatu yang membanggakan. Foto Ihsan FINAS

"Ini bukan suatu kerja mudah, namun, FINAS berjaya melakukannya," katanya kepada BH Online di sini, hari ini.

Merenung kembali pencapaian FINAS sepanjang 2020, ketika suku pertama tahun lalu dunia mula berperang dengan penularan wabak COVID-19, organisasi berkenaan mengambil tindakan proaktif mengurangkan impak pandemik dalam kalangan pemain industri.

Paling diperkatakan, usaha mengimbangi aktiviti ekonomi industri kreatif dengan mendapatkan kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membenarkan aktiviti penggambaran dijalankan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Selain itu, pelancaran Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (PELAKSANA) pada 28 Julai lalu yang bertujuan memperkasa semula industri kreatif yang terjejas.

Salah satu inisiatif di bawah PELAKSANA adalah pemberian Dana Kandungan Digital (DKD) pada 24 November yang memberi manfaat kepada 39 syarikat produksi membabitkan peruntukan lebih RM13.3 juta.

Ahmad Idham berkata, pencapaian FINAS sepanjang tahun lalu didorong kerjasama utuh antara semua pihak.

"Bagai ada hikmah dan kekuatan yang kita serap saat industri seni bagai malap dan hambar apabila pandemik menerpa.

"Ini bukan kejayaan satu pihak atau individu tertentu, sebaliknya, kejayaan bersama demi kepentingan semua," katanya.

Ahmad Idham berkata, PELAKSANA menjadi antara tindakan bersepadu yang memberi impak besar kepada sektor kreatif terutama syarikat produksi.

"PELAKSANA berjaya membangun dan merangsang semula ekonomi industri sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak untuk penggiat seni.

"Pelan yang bertujuan memperkasa semula industri kreatif yang terjejas teruk dek COVID-19 memberi nyawa semula kepada warga seni," katanya.

Ahmad Idham berkata, DKD turut memberi manfaat kepada 230 projek termasuk di Sabah dan Sarawak dengan keseluruhan peruntukan bernilai lebih RM46 juta.

"Inisiatif ini juga mewujudkan kira-kira 5,000 peluang kerja selain memperbanyakkan pemilikan hak cipta kandungan dalam kalangan penerbit tempatan.

"Dalam konteks mudah, orang seni tidak lagi susah pada zaman pandemik COVID-19... Alhamdulillah," katanya.

Ahmad Idham juga berbangga penubuhan Jawatankuasa Pembanterasan Cetak Rompak membuktikan kesungguhan FINAS dalam memerangi masalah itu.

"Penubuhan jawatankuasa ini jelas menunjukkan misi membanteras aktiviti pengedaran filem tanpa lesen sah.

"Jawatankuasa ini berjaya mematahkan aktiviti cetak rompak dalam platform E-Dagang dan digital lain," katanya.

Ahmad Idham berkata, meneruskan misi pada 2021, FINAS akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan lebih agresif bagi mematahkan aktiviti lanun cetak rompak digital.

Antara langkah diambil FINAS bagi membantu industri penerbitan sepanjang 2020 termasuk menawarkan Insentif Saringan Prihatin dengan kadar maksimum RM5,000 bagi setiap syarikat produksi yang melakukan ujian saringan 'swab test' COVID-19 terhadap artis dan kru.

Kemudahan ini diberi kepada syarikat produksi yang menjalankan aktiviti penggambaran dalam tempoh PKPB bagi memastikan keselamatan dan kesihatan artis dan kru terjamin.

Selain itu, pelaksanaan program FINAS Prihatin meringankan beban penggiat industri kreatif terutama artis veteran yang mengalami masalah kesihatan, uzur dan terputus pendapatan.

Seramai 102 anak seni menerima bantuan membabitkan peruntukan RM102,000. FINAS juga menyalurkan bantuan kepada 15 persatuan perfileman bernilai RM125,000 ketika PKP.

Satu lagi inisiatif, pelancaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Komuniti Seni Prihatin hasil integrasi bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi manfaat kepada 25 penggiat industri kreatif yang memerlukan.

Program ini bertujuan untuk menawarkan rumah mampu milik kepada penggiat industri kreatif sekaligus berupaya mewujudkan pelan pembangunan komuniti filem di lokasi perumahan terpilih.

Ketika ini, FINAS meneruskan sesi libat urus bersama pemegang taruh industri dalam memperkasa serta menambahbaik Akta FINAS 1981 yang diilhamkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah pada 20 Ogos lalu.

Sehingga kini, lima sesi libat urus dikendalikan membabitkan penerbit, pekerja filem, pasca produksi, penaja tempatan dan pengendali media sosial.

Berita Harian X