Jumaat, 8 Januari 2021 | 11:01am
Penyampai radio Suria FM, Sharifah Shahirah membantu penduduk kampung di Ulu Dong, Raub, Pahang yang memerlukan bekalan air dan pakaian. - Foto IG Sharifah Shahirah
Penyampai radio Suria FM, Sharifah Shahirah membantu penduduk kampung di Ulu Dong, Raub, Pahang yang memerlukan bekalan air dan pakaian. - Foto IG Sharifah Shahirah

Shiera hantar air bersih

KUALA LUMPUR: Keluhan penduduk kampung di Ulu Dong, Raub, Pahang yang terputus bekalan air bersih sejak banjir melanda daerah itu hujung minggu lalu, mendorong penyampai radio dan pengacara, Sharifah Shahirah mengambil inisiatif menghulurkan bantuan.

Penyampai radio Suria FM itu memberitahu, ibu saudara yang menetap di kampung berkenaan memberitahu ketiadaan sumber air menyebabkan aktiviti seperti memasak dan membersihkan diri, terjejas. Selain bekalan air, penduduk kampung berkenaan juga memerlukan pakaian bersih.

Tanpa bertangguh, sejak kelmarin, Sharifah Shahirah atau mesra disapa Shiera memuat naik hantaran di akaun Instagram (IG) meminta bantuan pengikut menghulurkan sumbangan membekalkan air bersih dan pakaian.

"Saya menelefon penduduk kampung dan bertanya apa yang mereka perlukan. Rasanya lebih mudah begitu supaya kita tidak hantar barangan yang mereka tidak mahu.

"Kebetulan, ibu saudara saya memasak untuk mangsa banjir di sana. Beliau mengadu mereka kekurangan air bersih. Itu yang penting buat mereka setakat ini.

"Selain bekalan air, mereka juga perlukan pakaian bersih. Akibat bekalan air yang terputus, mereka tidak boleh mencuci pakaian. Jadi, mereka amat memerlukan pakaian bersih untuk dipakai.

"Daripada maklumat yang disalurkan penduduk, saya terpanggil mengambil inisiatif mendapatkan bekalan air dan pakaian bersih untuk penduduk kampung," katanya kepada BH Online.

Sharifah Shahirah membeli pakaian untuk dihulurkan kepada mangsa banjir di kampungnya di Ulu Dong, Raub, Pahang. - Foto IG Sharifah Shahirah
Sharifah Shahirah membeli pakaian untuk dihulurkan kepada mangsa banjir di kampungnya di Ulu Dong, Raub, Pahang. - Foto IG Sharifah Shahirah

Shiera berkata, mereka sudah menghantar kira-kira satu tan bekalan air bersih kepada penduduk di Raub.

Tambahnya, mangsa banjir di sekitar daerah itu juga mendapatkan bekalan air berkenaan.

"Saya akan melihat dari masa ke semasa jika masih diperlukan, saya akan usahakan lagi pembekalan air.

"Cuma dalam keadaan sekarang, apa yang dibimbangkan pemandu lori enggan masuk ke kawasan berkenaan berikutan takut terperangkap dalam banjir," katanya.

Shiera yang sedang mengumpulkan pakaian bersih untuk diedarkan kepada mangsa banjir, mengalu-alukan sumbangan orang ramai.

Bagaimanapun, Shiera meminta orang ramai yang ingin mendermakan pakaian agar memastikan persalinan bersih dan sedia dipakai.

"Mereka yang ingin memberi pakaian amat digalakkan berikutan mangsa banjir tidak mempunyai pakaian bersih untuk dipakai.

"Jadi saya minta kepada mereka yang membantu, pastikan pakaian dalam keadaan elok dan bersih supaya mangsa boleh menyarung terus pakaian berkenaan.

"Mereka tidak mempunyai bekalan air bersih, jadi mereka tiada masa untuk membasuh pakaian yang didermakan terlebih dulu.

"Jadi, pastikan pakaian yang hendak diserahkan dalam keadaan elok," katanya.

Sharifah Shahirah menerima bantuan Malaysian Relief Agency untuk menghantar bekalan air bersih dan pakaian kepada penduduk kampung, Ulu Dong, Raub, Pahang. - Foto IG Sharifah Shahirah
Sharifah Shahirah menerima bantuan Malaysian Relief Agency untuk menghantar bekalan air bersih dan pakaian kepada penduduk kampung, Ulu Dong, Raub, Pahang. - Foto IG Sharifah Shahirah

Menurut Shiera, penduduk di daerah itu tidak mempunyai masalah bekalan makanan yang banyak disumbangkan.

Namun, disebabkan ketiadaan air bersih, aktiviti memasak terjejas.

"Bahan untuk memasak memang banyak, mi segera dan beras sangat banyak disumbangkan.

"Dua sahaja masalah mereka iaitu bekalan air bersih dan pakaian," katanya.

Shiera berkongsi maklumat dan keperluan mangsa banjir di Pahang melalui IG iaitu Shieraijoy sejak beberapa hari lalu. Artis serba boleh ini memiliki lebih 1.3 juta pengikut di IG.

Berita Harian X