Rabu, 23 Disember 2020 | 1:00pm
Nadia Brian enggan menipu diri apabila sudah tidak bahagia hidup bersama, perceraian dilihat jalan penyelesaian. - Foto IG Nadia Brian
Nadia Brian enggan menipu diri apabila sudah tidak bahagia hidup bersama, perceraian dilihat jalan penyelesaian. - Foto IG Nadia Brian

'Apabila hati tak bahagia'

KUALA LUMPUR: Jauh di sudut hati, pelakon kontroversi, Nadia Brian mendambakan kebahagiaan apabila memilih membina mahligai rumah tangga bersama insan dicintai. Tidak terdetik di hatinya, berkahwin untuk bercerai.

Namun, takdir menentukan segala-galanya. Umumnya mengetahui, pergolakan hubungan berlaku antara Nadia dan suaminya, Muizz Nasruddin sejak Oktober lalu. Tidak sampai setahun hidup bersama, mahligai rumah tangganya bagaikan retak menanti belah.

Lebih panas, suami mendakwa Nadia berlaku curang bersama dua lelaki lain. Jalan terakhir tentunya perpisahan apabila masing-masing tidak mencari penyelesaian.

Nadia atau nama sebenarnya, Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 29, mengesahkan suaminya sudah memfailkan kes perceraian di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 2 Oktober lalu.

Bagaimanapun, sebutan perbicaraan yang ditetapkan pada 3 November lalu ditangguhkan kepada satu tarikh yang belum diketahui disebabkan fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Jika hubungan lebih membawa kemudaratan, perceraian dilihat jalan penyelesaian terakhir yang dibenarkan jika sesama pasangan tidak lagi boleh meneruskan apa yang dimulakan.

"Buat apa mahu menipu diri apabila sudah tidak bahagia hidup bersama? Gelaran janda ini bukan satu status yang boleh dibanggakan, apatah lagi, dimalukan.

"Suratan ini adalah ketentuan Allah. Apa yang berlaku boleh menjadi pembakar semangat untuk saya menjadi manusia lebih baik," katanya kepada BH Online.

Pelakon yang mula diperkenalkan menerusi drama Akulah Balqis itu berkata, dia mahu belajar daripada kesilapan.

"Apa yang berlaku dijadikan pengajaran. Malah, saya bersedia berdepan apa juga dugaan. Saya sedar soal kebahagiaan kita tentukan, bukan orang lain.

"Buat apa nak teruskan perhubungan sekiranya tidak bahagia. Saya percaya pasti ada jalan untuk saya memperbaiki kehidupan pada masa akan datang," katanya.

Nadia Brian tidak sabar menyelesaikan kemelut rumah tangganya dengan suami, Muizz Nasruddin dan menanti tarikh sebutan perbicaraan. - Foto IG Muizz Nasruddin
Nadia Brian tidak sabar menyelesaikan kemelut rumah tangganya dengan suami, Muizz Nasruddin dan menanti tarikh sebutan perbicaraan. - Foto IG Muizz Nasruddin

Nadia berkata, dia tidak sabar untuk menyelesaikan kemelut rumah tangganya dengan segera.

"Jika boleh, saya sudah tak mahu mengingati lagi kisah duka yang berlaku. Malah, saya harap rakan media dan blogger tidak lagi menggunakan gambar saya dan suami, selepas ini.

"Saya tak mahu memburukkan sesiapa. Manusia tiada yang sempurna dan itu juga bukan alasan untuk menghukum manusia lain. Kita sendiri pun belum tentu 100 peratus baik.

"Kalau rasa diri sempurna, mungkin dia tak sesuai dengan saya. Saya harap kami boleh 'move on' dan belajar dari kesilapan," katanya.

Wanita kelahiran Kangar, Perlis itu berkata, dia mahu untuk mencari kebahagiaan dan hidup tenang, selepas ini.

"Saya rela hidup sendirian jika belum bertemu pengganti yang sesuai. Buat apa saya terusan berdepan dengan situasi yang sama jika terus melukakan hati.

"Saya tak nak pisang berbuah dua kali dalam hidup. Bagaimanapun, siapa kita mahu takdir hidup. Kita hanya mampu merancang, Allah juga menentukan. Bagaimanapun, saya tetap berusaha mencari jalan atau ruang yang lebih baik untuk dalam kehidupan.

"Cuma, sebagai manusia, jangan takut memilih jalan hidup yang baik," katanya.

Berita Harian X