Rabu, 16 Disember 2020 | 3:16pm
Muizz Nasruddin enggan menunjukkan bukti kecurangan yang ada di tangannya kerana sudah menyerahkan siasatan kepada polis. - Foto IG Muizz Nasruddin
Muizz Nasruddin enggan menunjukkan bukti kecurangan yang ada di tangannya kerana sudah menyerahkan siasatan kepada polis. - Foto IG Muizz Nasruddin

Enggan jadi suami dayus

KUALA LUMPUR: Suami Nadia Brian, Muizz Nasruddin mengesahkan memfailkan kes perceraian di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 2 Oktober lalu.

Bagaimanapun, Muizz berkata, tarikh sebutan perbicaraan yang ditetapkan pada 3 November lalu ditangguhkan kepada satu tarikh yang belum diketahui disebabkan fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Muizz mendakwa, apa yang dilakukan atas paksi berani kerana benar.

"Saya nekad dengan keputusan ini kerana kecurangan yang dilakukan Nadia amat sukar untuk dimaafkan.

"Jika tidak menceraikannya, saya boleh dianggap suami dayus. Semoga Allah melembutkan hati saya untuk memaafkan perbuatannya," dakwa Muizz.

Muizz berkata, ramai memintanya menunjukkan bukti kecurangan yang dilakukan isterinya itu.

"Ikutkan hati, saya memang nak tunjuk semua bukti yang ada. Bagaimanapun, kes ini masih dalam siasatan polis, jadi saya serahkan kepada pihak berkuasa.

"Saya membuat laporan polis di Balai Polis Cyberjaya dan Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang pada 6 Oktober lalu.

"Ini bukannya fitnah, saya sendiri melihat depan mata kecurangan isteri dengan seorang lelaki. Saya mempunyai bukti dan keterangan lain yang boleh mengesahkan kebenaran.

"Sekiranya siasatan selesai, apa yang dilakukan lelaki ini boleh dijadikan satu kesalahan jenayah dan dituduh di bawah seksyen 498 Kanun Keseksaan," dakwanya.

Muizz Nasruddin tekad memfailkan kes perceraian atas paksi berani kerana benar. - Foto IG Muizz Nasruddin
Muizz Nasruddin tekad memfailkan kes perceraian atas paksi berani kerana benar. - Foto IG Muizz Nasruddin

Muizz juga mempersoalkan 'fitnah' yang dimaksudkan isterinya, sedangkan kebenaran sudah dibuktikan pada Nadia dan keluarganya.

"Kenapa saya nak fitnah isteri sendiri? Kami baru berkahwin tak sampai setahun. Apa yang saya dapat jika buat fitnah? Saya ada bukti secukupnya. Tetapi, lebih utama, saya nampak dengan mata kepala sendiri.

"Saya juga sudah menunjukkan bukti kepada Nadia dan keluarganya. Nadia pernah mengaku kesilapannya kepada saya. Adakah masih bersifat fitnah? Kenapa tidak menafikan kenyataan saya memfitnah jika berada di tempat benar?

"Sudah-sudahlah bermain kononnya menjadi mangsa keadaan dan menampakkan saya jahat dalam laman sosial. Kenapa masih menegakkan benang yang basah?," soal Muizz.

Muizz menegaskan, dia tidak berhasrat untuk mengaibkan isterinya.

"Bagaimanapun, saya harus membersihkan nama dan maruah diri serta keluarga. Saya harap kisah saya ini dapat dijadikan pengajaran kepada mereka yang menjadi mangsa kecurangan pasangan kerana undang-undang boleh membantu.

"Saya ingin semua episod ini berakhir secepat mungkin supaya boleh meneruskan kehidupan dengan tenang," katanya.

Sementara itu, menerusi entri Instagram (IG), pelakon drama Lelakimu Yang Dulu itu berkata, tuduhan yang dilemparkan terhadapnya adalah fitnah.

"Jika tiada bukti, semua tuduhan terhadap saya adalah fitnah. Selama ini, saya hanya mendiamkan diri bukan kerana takut, tetapi tidak mahu mengeruhkan keadaan.

"Fitnah dan kata-kata tidak baik yang dilemparkan kepada saya serta keluarga selama ini tidak akan dimaafkan, kecuali datang minta maaf," katanya.

Terdahulu, pergolakan rumah tangga Nadia dan Muizz hangat diperkatakan sejak Oktober lalu. Lebih mencetuskan tanda tanya, Muizz mendedahkan Nadia curang terhadapnya bersama dua lelaki lain.

Nadia dan Muizz mendirikan rumah tangga pada 9 November 2019 dan belum dikurniakan cahaya mata.

Berita Harian X