Isnin, 14 Disember 2020 | 9:32am
TGV Cinemas membuka lapan pawagam dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.
TGV Cinemas membuka lapan pawagam dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

TGV buka lapan pawagam

KUALA LUMPUR: TGV Cinemas bakal membuka semula lapan pawagam di beberapa negeri selepas pemansuhan Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB) bermula 16 Disember ini.

Lapan pawagam yang akan memulakan kembali operasi ialah TGV Gurney Paragon, TGV 1st Avenue, TGV AEON Bukit Mertajam, TGV AEON Taiping, TGV AEON Seri Manjung, TGV Mesra Mall, TGV Vivacity Megamall dan TGV Permaisuri Imperial Mall Miri.

Meskipun PKPB berakhir, TGV bagaimanapun tidak berkompromi soal keselamatan pelanggan.

Dalam kenyataan media, TGV memaklumkan pengunjung boleh membuat tempahan tiket bermula 11 Disember ini bagi menyaksikan filem Wonder Woman 1984 yang menjadi filem pertama ditayangkan selepas PKPB.

"Kami akan memastikan keselamatan pelanggan dititikberatkan, meskipun arahan PKPB sudah ditarik balik. Kami sentiasa mematuhi langkah keselamatan yang ditetapkan kerajaan demi kesihatan dan kesejahteraan pengunjung," katanya dalam kenyataan berkenaan.

Antara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ialah melarang pengunjung yang mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah memasuki pawagam. Pengunjung yang tidak memakai pelitup muka juga akan dihalang memasuki panggung wayang.

Pengunjung digalakkan mendaftar masuk menerusi aplikasi My Sejahtera bagi memudahkan pawagam mengenal pasti pelanggan. Hanya penonton berusia 12 hingga 60 tahun sahaja dibenarkan memasuki pawagam.

Pengunjung digalakkan mendaftar masuk menerusi aplikasi My Sejahtera bagi memudahkan pawagam mengenal pasti pelanggan. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Pengunjung digalakkan mendaftar masuk menerusi aplikasi My Sejahtera bagi memudahkan pawagam mengenal pasti pelanggan. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Penjarakan fizikal satu meter akan tetap dilaksanakan di tempat yang memerlukan pelanggan beratur. Kaunter juga dibuka secara selang seli demi keselamatan pelanggan. Selain itu, pelanggan juga digalakkan membuat transaksi secara atas talian.

Sanitasi juga dilakukan sebanyak tiga kali sehari khususnya di tempat yang sering disentuh pelanggan, malah alat sanitasi turut disediakan sekitar pawagam.

Tempoh pembersihan panggung wayang selepas sesebuah tayangan turut dilanjutkan, manakala kebersihan penyediaan makanan dititik beratkan.

TGV akan memantau kesihatan pekerja setiap hari dan memastikan mereka membasuh tangan dengan kerap.

Berita Harian X