Sabtu, 28 November 2020 | 3:32pm
Karyawan mendakwa Datuk Sheila Majid gagal menjalankan tugas sebagai Pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM). - Foto NSTP
Karyawan mendakwa Datuk Sheila Majid gagal menjalankan tugas sebagai Pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM). - Foto NSTP

Sidang akhbar desak Sheila letak jawatan

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez menggesa penyanyi, Sheila Majid meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM).

Freddie berkata, penyanyi itu tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik sebagai Pengerusi RPM, hingga menyebabkan isu pengagihan royalti tidak dapat diselesaikan hingga hari ini.

"Persatuan Karyawan Malaysia akan mengadakan satu sidang akhbar, Isnin ini. Artis terkenal seperti Datuk Khadijah Ibrahim, Ito, Rafi Suhu dan ramai lagi akan bersama saya untuk mendesak Sheila meletakkan jawatan sebagai Pengerusi RPM.

"Ia supaya orang lain diberi peluang menjalankan tugas berat ini dalam menentukan royalti berjumlah lebih RM20 juta dan bahagian artis daripada RM140 juta yang diagihkan kepada ahli mendaftar dengan RPM dan Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) Bhd. Malangnya, PRISM sudah menutup operasi, tahun lepas," katanya kepada BH Online.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez gesa Datuk Sheila Majid letak jawatan bagi memberi peluang kepada orang lain menjalankan tugas dengan baik. - Foto NSTP
Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez gesa Datuk Sheila Majid letak jawatan bagi memberi peluang kepada orang lain menjalankan tugas dengan baik. - Foto NSTP

Mengulas lebih lanjut, Freddie berkata, Sheila sudah dipilih menerajui RPM oleh syarikat rakaman dan bukannya artis yang juga ahli kepada badan itu.

"Kebanyakan artis bergantung kepada industri muzik untuk menampung perbelanjaan kehidupan harian dan ramai berada dalam keadaan kewangan yang kritikal.

"Sheila perlu tahu artis amat memerlukan wang meneruskan kelangsungan hidup. Atas kegagalan menjalankan tugas, beliau harus meletakkan jawatan sebagai Pengerusi RPM supaya orang yang lebih layak diberi peluang mengambil alih tanggungjawab ini.

"Jika tidak, beliau akan dilihat bukan sahaja sebagai pemimpin yang gagal menjalankan tugas dengan sempurna, malah seorang yang mementingkan diri tanpa memikirkan kebajikan ahli yang kebanyakannya berada dalam keadaan susah sekarang ini," katanya.

Sehubungan itu, Karyawan berharap, sidang media yang akan diadakan Isnin ini dapat membuatkan Sheila mengambil langkah yang sepatutnya.

Terdahulu, kekecohan tercetus dalam industri muzik selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menjalankan siasatan terhadap empat badan kutipan royalti iaitu Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) Berhad, Public Performance Malaysia (PPM) Sdn Bhd dan RPM dan PRISM.

Operasi dijalankan berdasarkan laporan dibuat oleh Freddie yang Ahli Panel Penasihat SPRM dalam perjumpaan bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, bulan lalu.

Kata Freddie, langkah membawa perkara itu kepada SPRM adalah pilihan terakhir Karyawan untuk menyelesaikan kemelut royalti artis yang berlarutan sejak lebih 20 tahun lalu.

Berita Harian X