Rabu, 25 November 2020 | 6:27pm
Aniq Suhair tidak terfikir menumpang populariti Cik B mahupun ibunya, Datuk Seri Vida, sebaliknya berkawan baik selepas bergandingan dalam drama Lelaki Lingkungan Cinta. - Foto IG Aniq Suhair
Aniq Suhair tidak terfikir menumpang populariti Cik B mahupun ibunya, Datuk Seri Vida, sebaliknya berkawan baik selepas bergandingan dalam drama Lelaki Lingkungan Cinta. - Foto IG Aniq Suhair

Tiada niat terselindung rapat dengan Cik B

KUALA LUMPUR: Pelakon baharu, Aniq Suhair, 20, tiada niat terselindung berkawan baik dengan anak jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida iaitu Cik B selepas bergandingan dalam drama bersiri, Lelaki Lingkungan Cinta yang sedang bersiaran menerusi slot Lestary di TV3.

Jauh sekali menumpang populariti Cik B dan ibunya, finalis Hero Remaja 2020 menafikan, mereka serius bercinta seperti yang didakwa.

"Saya tidak terlintas punya niat terselindung berbaik dengan Cik B.

"Secara kebetulan, saya dan Cik B bergandingan dan menjadi pasangan kekasih dalam drama Lelaki Lingkungan Cinta terbitan Zeel Production itu.

"Kami cuba memanjangkan kemesraan dan jadi 'sweet' antara satu sama lain dalam media sosial. Ia sekadar suka-suka dan bergurau," katanya kepada BH Online.

Selain Aniq dan Cik B, drama Lelaki Lingkungan Cinta arahan Emi Suffian turut dibintangi Naim Daniel, Shasha Abedul, Ismail Izzani, Shalma Eliana, Aisar Khaled dan ramai lagi.

Aniq atau nama sebenarnya, Muhammad Aniq Suhair Mohd Salleh berkata, dia selesa bergandingan dengan gadis berusia 15 tahun itu.

"Nak kata bercinta, tidaklah. Kami hanya kawan baik. Mungkin disebabkan kami menjadi pasangan bercinta dalam drama ini, lalu ramai yang menganggap wujudnya cinta lokasi.

"Cik B muda dan masih bersekolah, takkan saya nak bercinta dengan budak bawah umur. Saya pula akan menyambung peringkat ijazah sarjana dalam perniagaan tidak lama lagi. Pada masa sama, saya masih hijau dalam dunia lakonan. Ibaratnya seperti bertatih.

"Soal cinta belum menjadi keutamaan. Saya mahu mencari rezeki dan menamatkan pengajian terlebih dahulu. Saya juga tak mahu serabut kepala dengan cinta yang belum pasti hujung pangkalnya," katanya.

Aniq Suhair mahu mencari rezeki dan menamatkan pengajian terlebih dahulu sebelum memikirkan soal cinta. - Foto IG Aniq Suhair
Aniq Suhair mahu mencari rezeki dan menamatkan pengajian terlebih dahulu sebelum memikirkan soal cinta. - Foto IG Aniq Suhair

Aniq berkata, secara peribadi, Cik B sangat merendah diri dan ringkas ketika menjalani penggambaran bersama.

"Saya dan Cik B kali pertama bertemu ketika bergandingan dalam drama Lelaki Lingkungan Cinta. Kiranya kami baru sahaja kenal.

"Tidak sukar mahu mendekatinya kerana Cik B sangat baik, merendah diri dan kelakar orangnya," katanya.

Mengulas kerjaya seni, Aniq berkata, dia baru sahaja melangkah dalam dunia lakonan, tahun ini.

"Mulanya, saya diberi watak pembantu dalam drama Kebaya Kasut Kanvas. Kemudian, saya beroleh rezeki dalam Lelaki Lingkungan Cinta, Budak Intern dan terbaharu, Tak Sempurna Mencintaimu.

"Setakat ini, saya baru membintangi empat drama. Saya bersyukur sudah dilantik menjadi duta beberapa jenama produk.

"Kini, saya sedang melunaskan penggambaran drama Tak Sempurna Mencintaimu untuk slot Akasia TV3 terbitan Zeel Production di Perlis. Saya diberi peluang bergandingan dengan pelakon berpengalaman seperti Redza Rosli, Intan Najuwa, Fendy Bakry, Wan Maimunah, Mak Jah, Datuk Tarmimi Siregar dan ramai lagi," katanya.

Berita Harian X