Selasa, 24 November 2020 | 6:00pm
Catriona Ross tidak mengenali Alif secara peribadi, namun simpati terhadap nasibnya yang disahkan positif COVID-19. - Foto IG Catriona Ross
Catriona Ross tidak mengenali Alif secara peribadi, namun simpati terhadap nasibnya yang disahkan positif COVID-19. - Foto IG Catriona Ross

Kak Kek 'panas' dengan netizen

KUALA LUMPUR: Pelakon, Catriona Ross 'panas' hati dengan sesetengah pihak termasuklah netizen apabila mengecam golongan selebriti tanpa ada perasaan.

Rasa terkilan dan kecewa diluahkan pelakon drama Pujaan Hati Kanda dan Jangan Benci Cintaku itu menerusi laman Instagram (IG) ekoran ujian yang menimpa artis serba boleh, Alif Satar yang disahkan positif COVID-19, Ahad lalu.

Lebih keterlaluan, ramai netizen maki hamun dan menyalahkan Alif hingga menggelarkan kluster Alif Satar.

"Saya tak nafikan, berita Alif amat mengejutkan. Saya hormat pendirian Alif yang berani berkongsi mengenai keputusan ujian saringan COVID-19.

"Apa yang berlaku bukan kehendak dan salah Alif. Kita tak nampak dan tidak tahu COVID-19, ia boleh dijangkiti sesiapa serta bila-bila masa.

"Malah, bukan tak tahu banyak kes membabitkan petugas barisan hadapan yang memakai peralatan perlindungan diri

(PPE), tetapi nasib tak baik, tetap dijangkiti," katanya kepada BH Online.

Pelakon yang terkenal dengan karakter Kak Kek itu berharap netizen lebih bersikap sensitif dan ada perasaan.

"Mungkin tak terkena pada batang hidung sendiri, jadi sesedap mulut mahu mengecam dan mengutuk.

"Cuba letakkan diri pada mereka yang menjadi mangsa COVID-19. Saya percaya tiada siapapun dalam dunia ini minta mahu terkena jangkitan virus ini.

"Apa yang sepatutnya dilakukan saling mendoakan. Bukan rasa kebal virus, takkan kena kepada diri sendiri lantas menyalahkan Alif. Saya lihat ramai yang sebut wujud kluster Alif Satar dan macam-macam lagi," katanya.

Catriona Ross meluahkan kekecewaan terhadap sikap netizen yang menghentam Alif Satar tanpa ada perasaan. - Foto IG Catriona Ross
Catriona Ross meluahkan kekecewaan terhadap sikap netizen yang menghentam Alif Satar tanpa ada perasaan. - Foto IG Catriona Ross

Katanya, ini membuktikan rendahnya sikap simpati dalam diri mereka.

"Bayangkan, jika yang dijangkiti COVID-19 adalah ibu bapa, isteri, suami, anak atau adik beradik? Sanggup ke dengar orang luar mengata dan mengecam keluarga?

"Saya lihat netizen sekarang saling berlumba memaki hamun Alif.

"Lebih menyedihkan, saya melihat netizen lantang bersuara dan maki hamun dalam gambar profil berperibadi baik. Memang tak senada langsung wajah dan keperibadian. Saya sangat kecewa melihat wanita dan lelaki yang berimej baik, tetapi lancang tutur kata," katanya.

Katanya, secara peribadi, dia tidak mengenali Alif.

"Saya juga tak pernah bergandingan dengan Alif dalam drama. Sebagai rakan sesama Islam, saya mendoakan Alif dan keluarga tabah dengan ujian yang dihadapi ini. Semoga cepat sembuh. Syukur isteri dan anak-anak yang masih kecil tidak dijangkiti pandemik COVID-19," katanya.

Berita Harian X