Selasa, 24 November 2020 | 3:14pm
Uyaina Arshad berdepan dengan cabaran berat apabila memikul watak Usu Sakinah, namun ia berbaloi apabila mendapat perhatian. - Foto IG Uyaina Arshad
Uyaina Arshad berdepan dengan cabaran berat apabila memikul watak Usu Sakinah, namun ia berbaloi apabila mendapat perhatian. - Foto IG Uyaina Arshad

Usu Sakinah jadi bualan

KUALA LUMPUR: Jika dahulu, pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad, 28, menganggap lakonan hanya semudah memetik jari.

Namun, tanggapan pelakon yang mengecapi populariti menerusi drama Lelaki Kiriman Tuhan dan Curi-Curi Cinta itu meleset sama sekali apabila sering diberi tanggungjawab menggalas watak berat dan bermain emosi dalam drama yang dibintanginya.

Kali ini, Uyaina atau nama sebenarnya, Shaidatul Naseha Uyaina Arshad sekali lagi diberikan tanggungjawab berat apabila memegang watak Usu Sakinah menerusi drama Perempuan Tanpa Dosa arahan Michael Ang yang kini sedang disiarkan di saluran Astro.

Selain Uyaina, drama Perempuan Tanpa Dosa turut dibintangi Uqasha Senrose, Kamal Adli, Yusuf Bahrin dan Azza Elite.

Sekalipun memberikan 100 peratus komitmen, Uyaina berkata, dia gementar saat dimaklumkan bakal berlakon di bawah arahan Michael dan bergandingan dengan pelakon hebat, Uqasha dan Kamal.

"Saya rasa gementar semacam apabila mendapat tawaran berlakon drama ini. Saya rasa diri amat kerdil dengan nama besar seperti mereka. Tambahan pula kali pertama bekerja di bawah arahan Michael.

"Bagaimanapun, tak kenal maka tak cinta. Apabila bekerja dengan Michael, saya melihatnya sebagai pengarah yang cukup terbuka dan menegur perkara yang dirasakan tak okay.

"Saya akui, watak Usu Sakinah berat. Ia menambahkan tekanan saya. Jujurnya, emosi dan fizikal amat penat membawa watak berat. Namun, inilah cabaran yang harus dipikul. Suka atau tidak, saya harus mencabar diri supaya mengelak diri daripada zon selesa," katanya kepada BH Online.

Juara program Puteri Muslimah Asia 2018 di Jakarta, Indonesia itu berkata, ini juga cabaran keduanya dalam membawa watak berat selepas drama Jujurlah Nikahi Aku.

"Watak berat banyak menguji kemampuan diri. Tetapi, saya fikir nak terima watak santai atau lawak untuk kembali meringankan emosi," katanya.

Uyaina Arshad bersama barisan pelakon Perempuan Tanpa Dosa, Kamal Adli, Uqasha Senrose, Yusuf Bahrin dan Azza Elite. - Foto IG Uyaina Arshad
Uyaina Arshad bersama barisan pelakon Perempuan Tanpa Dosa, Kamal Adli, Uqasha Senrose, Yusuf Bahrin dan Azza Elite. - Foto IG Uyaina Arshad

Demi tuntutan watak Usu Sakinah, Uyaina berkata, dia perlu berkampung selama lebih dua bulan di Terengganu.

"Boleh dikatakan 70 peratus penggambaran membabitkan lokasi di Terengganu. Watak utama, Kamal dan Uqasha pula banyak babak membabitkan mereka di Kuala Lumpur," katanya.

Dalam perkembangan lain, Uyaina berkata, dia akan berlakon di sisi teman baiknya, Raja Syahiran dalam sebuah telefilem bergenre seram.

"Saya dan Yusuf akan sekali lagi bergandingan menerusi telefilem ini. Raja Syahiran pula membawa watak pembantu dan akan berlakon menjadi tunang saya," katanya yang mengacarakan program Ratu Hijabista bersama Fikry Ibrahim.

Berita Harian X