Sabtu, 21 November 2020 | 10:51pm
Aishah mengaku memikul tanggungjawab besar mendendangkan lagu Aku Bidadari Syurgamu di pentas malam kedua SFMM35, malam tadi. Foto IG Muzik Muzik Official
Aishah mengaku memikul tanggungjawab besar mendendangkan lagu Aku Bidadari Syurgamu di pentas malam kedua SFMM35, malam tadi. Foto IG Muzik Muzik Official

SFMM35 : Aishah nyanyi lagu Siti

SHAH ALAM: Teka-teki penyanyi yang menggantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza mendendangkan lagu Aku Bidadari Syurgamu pada malam kedua Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-35 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini, terjawab apabila Aishah muncul di pentas, malam tadi.

Menggayakan busana berwarna merah jambu sedondon dengan penampilan lebih langsing, Aishah menyampaikan lagu ciptaan Ippo Hafiz itu dengan cara tersendiri.

Menghubungi Aishah, penyanyi Janji Manismu itu mengaku memikul tanggungjawab besar apabila bersetuju menggantikan Siti mendendangkan lagu balada berkenaan.

"Saya sedar, ramai yang menaruh harapan terhadap lagu ini termasuk Ippo. Tetapi saya tidak mahu terlalu memikirkannya kerana enggan mengganggu fokus.

Kemunculan Aishah di pentas SFMM35 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam tadi, menjawab teka-teki pengganti Siti mendendangkan lagu Aku Bidadari Syurgamu. Foto Muzik Muzik Official
Kemunculan Aishah di pentas SFMM35 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam tadi, menjawab teka-teki pengganti Siti mendendangkan lagu Aku Bidadari Syurgamu. Foto Muzik Muzik Official

"Saya ditawarkan menyanyikan lagu ini, Isnin lalu. Sejak itu, saya sering berlatih sehingga suami dan anak-anak sudah menghafal lagu ini," katanya kepada BH Online.

Aku Bidadari Syurgamu dicipta Ippo manakala lirik dihasilkan Siti Rosmizah.

Aishah menambah, antara faktor dia terbuka hati menerima tawaran itu adalah kerana lagu berkenaan mempunyai nilai sentimental buat dirinya.

"Ketika mula mendengar lagu Aku Bidadari Syurgamu, terdetik dalam hati, mengapa tidak ada orang yang menulis lagu seperti itu untuk saya.

"Lagu itu sangat menyentuh hati terutama bait lirik 'seandainya aku yang pergi dulu' kerana ayat itulah yang sering saya ungkap kepada suami.

"Tidak sangka Tuhan menjawab doa saya dan akhirnya memberi keizinan untuk saya menyanyikan lagu itu di pentas ini.

"Selain itu, saya buat semua ini demi Siti," katanya.

Lebih membuatkan penyanyi berusia 55 tahun ini bersemangat adalah apabila Siti memberi kata-kata perangsang.

"Rasa teruja apabila Siti bersama anaknya, Sti Aafiyah menghantar ucapan menerusi rakaman suara... Siap bagi kek lagi," katanya.

Sementara itu, Ippo berkata, pemilihan Aishah dibuat selepas mendapat persetujuan semua pihak termasuk syarikat rakaman, penulis lirik dan Siti.

"Ippo buntu mencari pengganti yang sesuai. Bagaimanapun, selepas menyaksikan Kak Aishah menyanyi di pentas Gegar Vaganza (GV), Ahad lalu dan cadangan pelbagai pihak, akhirnya memberi keyakinan kepada saya.

"Pada awalnya, Ippo bimbang hendak melamar Kak Aishah kerana statusnya sebagai penyanyi legenda.

"Ippo meminta pertolongan pihak pengurusan Siti untuk mendapatkan Kak Aishah. Alhamdulillah, Kak Aishah bersetuju dan memberikan komitmen yang cukup baik," katanya.

Melihat kesungguhan Aishah menyampaikan lagu itu, Ippo yang popular dengan single Seadanya Aku, yakin penyanyi tersohor itu mampu membawa karyanya ke peringkat lebih tinggi.

Selain Aku Bidadari Syurgamu, lagu lain yang bersaing adalah Sakit dendangan Zynakal dengan penampilan Yonnyboii di mana lagu ini dicipta mereka; Peluang Kedua (Nabila Razali ciptaan Hael Husaini & MfMf); Panggung (Apex Tajudin ciptaan Faizal Tahir, Mage, Mike Chan, Karim Karam & Romeo); Kau Sakiti (Amir Masdi ciptaan Faizal, Mike, Ezra Kong, Romeo & Mage) dan Tentang Rahsia (Judika & Shila Amzah ciptaan Farouk Roman lirik Amylea)

Lagu lain Sembah nyanyian Naim Daniel menampilkan Man Keedal ciptaan Naim Daniel & Iqie Hugh; Bicara Rasa (Ariff Bahran & Sarah Suhairi ciptaan Rudy Kasmaran & Sang Hitam); Takdir Tercipta (Hafiz Suip & Adira ciptaan Ikhwan Fatanna & Ayden Ali); 7 Nasihat (Datuk Seri Siti Nurhaliza, Kmy Kmo & Luca Sickta ciptaan Kmy Kmo & Luca Sickta) dan Hutang (Floor 88 ciptaan Zai Hamzah lirik Achoi Floor 88).

Berita Harian X