Jumaat, 30 Oktober 2020 | 6:00pm
Filem Mael Totey The Movie mencatat kejayaan apabila meraih kutipan RM2.5 juta dalam tempoh empat hari ditayangkan menerusi Astro First.
Filem Mael Totey The Movie mencatat kejayaan apabila meraih kutipan RM2.5 juta dalam tempoh empat hari ditayangkan menerusi Astro First.

Mael Totey The Movie dirompak

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memandang serius aduan penerbit filem, Mael Totey The Movie, Syahmi Sazli mengenai kegiatan pengedaran filem melalui platform media sosial dan laman sesawang tanpa lesen.

Tindakan pengedaran filem secara haram dianggap melanggar Akta Hak Cipta 1987 dan syarat lesen yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, FINAS melalui Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan bertindak proaktif dalam menangani isu cetak rompak digital itu.

Siasatan awal yang dijalankan mendapati beberapa platform digunakan untuk menjalankan kegiatan pengedaran filem tanpa kebenaran pemilik menerusi Akta Hak Cipta 1987.

"Kami ingin mengingatkan kepada pihak yang terbabit dalam kegiatan pengedaran filem melalui platform media sosial, e-dagang dan laman sesawang dalam urusan edaran, jual beli dan sewaan dalam talian tanpa lesen yang sah dan melakukan pelanggaran Akta Hak Cipta 1987 serta syarat lesen yang ditetapkan untuk menghentikan kegiatan ini serta merta.

"Tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit dalam kegiatan pengedaran yang menyalahi undang-undang berdasarkan Seksyen 22 (1) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244) akan diambil.

"Sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda di bawah Seksyen 25 (1) akta yang sama yang memperuntukkan denda tidak lebih daripada RM 50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya menerusi kenyataan yang dihantar, petang ini.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri. - Foto FINAS
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri. - Foto FINAS

Idham menasihatkan orang awam agar tidak menyokong dan bersubahat dengan melanggan, membeli mahupun memuat turun sebarang kegiatan filem yang disyaki tidak memiliki lesen pengedaran sah, sama ada melalui platform media sosial, e-dagang dan laman sesawang.

Idham berkata, FINAS bersikap terbuka dan menyambut baik untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi berkaitan demi membanteras kegiatan aktiviti pengedaran filem tanpa lesen sah daripada FINAS.

"Kami bersedia bekerjasama dengan mana-mana agensi demi mengekang penularan pengedaran filem secara haram. Sekiranya mempunyai maklumat dan ingin membuat aduan tindakan salah laku boleh dilakukan menerusi melalui e-mel pembanteras@finas.my," katanya.

Syahmi Sazli (tengah) bekerjasama dengan Asif dan Yoe menerusi filem Mael Totey The Movie.
Syahmi Sazli (tengah) bekerjasama dengan Asif dan Yoe menerusi filem Mael Totey The Movie.

Filem Mael Totey The Movie yang ditayangkan sejak 22 Oktober lalu berjaya meraih kutipan sebanyak RM2.5 juta dalam tempoh empat hari tayangan menerusi Astro First.

Mael Totey The Movie yang menelan belanja RM400,00 adalah filem sulung arahan YouTuber terkenal, Syahmi Sazli.

Ia dihasilkan menggunakan wang simpanan Syahmi yang turut bertindak selaku pengarah filem itu.

Filem bergenre komedi yang mengisahkan pemuda lurus bendul bernama Mael yang berusaha mempelajari bahasa Inggeris demi memenuhi syarat gadis idamannya. Ia dibintangi selebriti YouTube, Yoe, Asif, Emaleen Minhad dan Aween Ismail.

Turut membintangi filem berkenaan, penyampai radio Gegar FM, Ewan, Hushairi Hussain, Daler Yusof, Aznah Hamid, Kamarool Yusoff serta ramai lagi.

Berita Harian X