Selasa, 27 Oktober 2020 | 3:00pm
Kisah cinta Kamal Adli dan Uqasha Senrose menjadi perhatian apabila didakwa sudah menghadiri kursus kahwin, baru-baru ini. - Foto IG Kamal Adli
Kisah cinta Kamal Adli dan Uqasha Senrose menjadi perhatian apabila didakwa sudah menghadiri kursus kahwin, baru-baru ini. - Foto IG Kamal Adli

Michael dedah kisah cinta Kamal, Uqasha

KUALA LUMPUR: Kecoh kisah pasangan sama cantik, sama padan yang sedang hangat di ulik cinta, Kamal Adli, 34, dan Uqasha Senrose, 28, sudah menghadiri kursus kahwin di sebuah negeri, baru-baru ini.

Pembongkaran dilakukan oleh pengarah, Michael Ang yang sedang melunaskan penggambaran drama Perempuan Tanpa Dosa membabitkan Kamal dan Uqasha menerusi entri Instagramnya.

Menerusi satu video yang dimuatkan, pengarah yang terkenal dengan sikap selamba itu mendapatkan kepastian dua bintang berkenaan. Kamal dilihat mengelak memberikan jawapan dan kepastian yang ingin diketahui Michael. Manakala, Uqasha pula selepas beberapa kali didesak terpacul perkataan berbunyi 'kursus je...', sekali gus mengiyakan kebenaran yang tersebar.

Ramai yang menganggap gosip cinta Kamal dan Uqasha sekadar gimik untuk menghangatkan siaran drama berkenaan yang kini bersiaran di Astro Ria.

Michael berkata, dia tiada niat langsung nak bikin gimik atau menghangatkan kisah cinta mereka.

"Ceritanya, saya ada terdengar Kamal dan Uqasha pergi kursus kahwin ketika di lokasi penggambaran drama. Jadi, saya tanya mereka sejauh mana kebenaran cerita. Sikap saya memang selamba kalau rasa nak tanya apa sahaja.

"Jika dilihat dalam video yang dikongsi, Uqasha ada menyebut 'kursus jer...', rasanya betullah mereka sudah pergi kursus kahwin. Jika betul pun, apa salahnya. Ini untuk kebaikan mereka menambah ilmu pengetahuan, sebelum melangkah ke fasa perkahwinan. Andai betul jodoh mereka kuat dan merancang ke fasa seterusnya, doakan yang baik-baik. Percayalah, ada jodoh tak ke mana.

"Saya memerhatikan mereka ketika berlakon dalam drama arahan Setelah Terlafaznya Akad dan Perempuan Tanpa Dosa. Mata dan mulut saya tidak akan menipu. Mereka memang menjalinkan cinta lokasi atau cinlok. Saya dengar mereka pernah putus, sambung balik. Biasalah, adat bercinta," katanya kepada BH Online.

Michael Ang secara tidak sengaja mendedahkan kisah cinta Kamal Adli dan Uqasha Senrose menerusi video yang dimuat naik dalam laman sosial. - Foto Michael Ang
Michael Ang secara tidak sengaja mendedahkan kisah cinta Kamal Adli dan Uqasha Senrose menerusi video yang dimuat naik dalam laman sosial. - Foto Michael Ang

Katanya, dia tumpang gembira sekiranya sudah sampai seru Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga.

"Mereka berbakat dan jika serasi untuk hidup bersama, pilihan di tangan mereka. Usia pun bukan makin muda lagi. Soal cinta lokasi ini pun perkara yang tak pernah diduga.

"Memang tak mustahil boleh jatuh cinta jika sudah lama di lokasi penggambaran yang sama. Bukan perkara luar biasa. Cinta lokasi bukan tak baik, jika diatur dan direncana dengan baik, akan menjadi, insya-Allah," katanya.

Mengulas pencalonan drama Setelah Terlafaznya Akad menerusi kategori online, Gandingan Serasi Drama Popular, Anugerah Bintang Popular BH Edisi Ke-33 (ABPBH 33), Michael berkata, dia mempertaruhkan Kamal dan Uqasha dalam drama berkenaan lebih bersifat mencuba.

"Ada kalanya gandingan yang dicetuskan menjadi dan sebaliknya. Tak sangka pula gandingan mereka menjadi fenomena dan diminati. Lebih bersyukur, menembusi dalam pencalonan ABPBH 33.

"Kamal dan Uqasha pun sangkut dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon TV Wanita Popular. Kemudiannya, saya menggandingkan mereka sekali lagi menerusi Perempuan Tanpa Dosa. Rating drama ini cukup membanggakan. Saya mendoakan mereka beroleh kejayaan dalam ABPBH 33," katanya yang masih menyelesaikan baki penggambaran drama Perempuan Tanpa Dosa hingga hujung tahun ini.

Berita Harian X