Khamis, 22 Oktober 2020 | 8:30am
Ella kesal sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang mengambil mudah soal penjagaan alam sekitar.
Ella kesal sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang mengambil mudah soal penjagaan alam sekitar.

Awie, Ella jayakan konsert 'hijau' dalam talian

KUALA LUMPUR: Dalam aktif berkarya, nama-nama besar industri muzik tidak pernah gagal melahirkan sokongan terhadap perjuangan menjaga alam sekitar.

Terbaru, melalui Konsert Hijau Virtual IGEM, barisan artis terkenal menggunakan pengaruh masing-masing untuk menyampaikan mesej pentingnya semua pihak memastikan bumi terus hijau.

Konsert itu dijayakan sempena Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eco Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2020 yang diadakan di ibu negara, selama lima hari, mulai Isnin lalu.

Konsert yang dikendalikan hos Joey Daud dirakamkan di Petaling Jaya, Jumaat lalu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Bintang lagenda iaitu Datuk DJ Dave, Datuk M Nasir, Datuk Awie, Ella Aminuddin dan Siti Nordiana tampil bersuara menyeru masyarakat bersatu menyelamatkan alam sekitar daripada kemusnahan.

Tidak ketinggalan menghiburkan penonton adalah Asfan Shah dan Chubby Buskers

Apa yang menarik, Konsert Hijau Virtual IGEM boleh ditonton secara virtual di seluruh dunia dengan melayari laman web virtual.com.

Datuk DJ Dave puji usaha IGEM meningkatkan kesedaran ramai terhadap alam sekitar.
Datuk DJ Dave puji usaha IGEM meningkatkan kesedaran ramai terhadap alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif IGEM 2020, Shamsul Mohd Nor, berkata konsert 'dipentaskan' dianggap pemangkin bagi memperhebatkan kempen meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.

"Kita berharap konsert ini dapat meningkatkan kesedaran orang ramai yang juga peminat artis terbabit untuk menghayati mesej disampaikan IGEM.

"Saya percaya melalui program hiburan begini, matlamat penganjuran acara lebih mudah sampai dan diterima masyarakat," katanya.

Sementara itu, M Nasir berkongsi simbolik di sebalik lagu Rimba Tari Mustikal yang didendangkan pada konsert itu.

"Lagu ini sangat sesuai kerana ia bercerita mengenai alam, keindahannya dan noda yang diberi atas apa yang diistilahkan sebagai pembangunan.

"Segala-galanya adalah mengenai kemanusiaan jika digali dengan lebih mendalam maksud lagu itu," katanya.

Datuk M Nasir berkongsi simbolik di sebalik lagu Rimba Tari Mustikal yang didendangkan menerusi Konsert Hijau Virtual IGEM.
Datuk M Nasir berkongsi simbolik di sebalik lagu Rimba Tari Mustikal yang didendangkan menerusi Konsert Hijau Virtual IGEM.

Ella pula kesal sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang mengambil mudah soal penjagaan alam sekitar.

"Saya harap konsert ini dapat menjadikan pihak terbabit lebih cakna dan peka akan natijah akibat tindakan mereka sendiri terhadap alam," katanya.

DJ Dave yang mendendangkan lagu Di Desa Kasihku Tertumpah turut memuji usaha murni IGEM meningkatkan kesedaran ramai terhadap alam sekitar.

"Konsert ini menjentik semula hati sesetengah penonton yang mungkin sudah alpa mengenai alam yang kian terjejas ini. Kita perlu beri kesedaran secara berterusan agar bumi mampu dipelihara untuk tempoh masa yang lebih lama lagi," katanya.

Kali ke-11 dianjurkan, IGEM 2020 membabitkan penyertaan dari seluruh dunia bagi membincangkan masa depan sejagat.

Program berkenaan diadakan secara virtual dengan akses 24 jam dan boleh ditonton di seluruh dunia menerusi laman sesawang virtual.com.

Berita Harian X