Rabu, 21 Oktober 2020 | 11:00am
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid. - NSTP/Rohanis Shukri
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid. - NSTP/Rohanis Shukri

Pengusaha pawagam rugi RM2 juta

KUALA LUMPUR: Kebimbangan pengusaha pawagam terhadap masa depan perniagaan yang kian merosot ketika COVID-19 mendapat perhatian Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Sebelum ini, pengusaha meluahkan kebimbangan apabila premis terpaksa ditutup sekali lagi menerusi tiga zon iaitu Wilayah Persekutuan, Selangor dan Putrajaya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB) akibat kes COVID-19 yang kian melonjak.

Akibatnya, perniagaan yang baru pulih selepas hampir empat bulan ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu kini kembali merosot sehingga ada antaranya terpaksa merangka pelbagai strategi lain untuk mengurangkan kerugian.

Daripada maklumat diterima, industri pawagam rugi sehingga RM2 juta sejak COVID-19 menyerang bermula awal Disember tahun lalu. Angka itu cukup membimbangkan, lebih lagi panggung wayang adalah komponen penting yang menjadi platform untuk membantu filem tempatan bergerak ke Anugerah Oscar.

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid, berkata pihaknya mengambil berat dan memahami keluhan pengusaha pawagam.

Justeru, katanya, FINAS menugaskan Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Timbalan Pengerusi, Datuk Norman Abd Halim untuk merangka kertas kerja bagi mencari mekanisme bersesuaian bagi membantu pengusaha.

"Kami memahami dilema dihadapi pengusaha pawagam. Mereka tentu bimbang apabila operasi premis terpaksa ditutup sekali lagi berikutan PKPB.

"Sebelum ini, panggung wayang ditutup hampir empat bulan, jadi sudah banyak kerugian yang ditanggung. Apabila kerajaan memberikan lampu hijau kepada pawagam beroperasi semula pada 1 Julai lalu, mereka berusaha sedaya upaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) demi menarik penonton ke panggung.

"Walaupun pelbagai usaha dilakukan, orang ramai masih bimbang ke panggung wayang meskipun kepuasan menonton filem di layar lebar tidak sama seperti kaca televisyen," katanya kepada BH Online.

Nyata, katanya, ramai yang tidak mahu menanggung risiko dijangkiti COVID-19 menyebabkan pendapatan pengusaha pawagam terjejas.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan, orang ramai masih bimbang ke pawagam meskipun kepuasan menonton filem di layar lebar tidak sama seperti kaca televisyen. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Walaupun pelbagai usaha dilakukan, orang ramai masih bimbang ke pawagam meskipun kepuasan menonton filem di layar lebar tidak sama seperti kaca televisyen. - NSTP/Eizairi Shamsudin

"Kita tahu ramai lebih gemar memilih platform penstriman ataupun Over The Top (OTT) sebagai pilihan untuk menonton filem kegemaran. Faktor ini juga menyebabkan pendapatan pengusaha pawagam menjunam dengan sangat teruk," kata Zakaria.

Katanya, FINAS turut menerima maklumat pengusaha pawagam mengalami kerugian sehingga RM2 juta akibat COVID-19.

"Jika panggung wayang gulung tikar, industri perfileman bakal berdepan masalah kritikal.

"FINAS sedang memikirkan cara terbaik untuk membantu pengusaha mendapatkan pinjaman mudah supaya boleh terus bertahan. Insya-Allah FINAS akan menyiapkan kertas kerja secepat mungkin untuk dihantar kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

"Saifuddin juga menyedari masalah dihadapi pengusaha dan sedang menunggu saranan solusi yang rasional untuk dilaksanakan," katanya.

Zakaria berkata, FINAS sebolehnya tidak mahu melihat industri pawagam terjejas kerana ia menjadi ekosistem penting dunia perfileman. Jadi, FINAS akan berusaha sedaya upaya mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Jika pawagam ditutup, industri perfileman kehilangan ekosistem. Langkah untuk ke Anugerah Oscar akan gagal. Pada masa sama, penerbit turut terjejas, di mana mereka mahu menayangkan filem?

"Kita tidak boleh bergantung kepada penstriman atau OTT. Jika untuk filem bajet rendah platform berkenaan memang sesuai. Tetapi, platform berkenaan tidak sesuai untuk filem bajet besar.

"Saya harap pengusaha pawagam dapat bersabar kerana FINAS akan mengeluarkan satu pakej yang dapat merangsang kembali industri pawagam," katanya.

Berita Harian X