Sabtu, 17 Oktober 2020 | 1:00pm
Pengarah, Shahrulezad Mohameddin mengambil kira pendapat satu pasukan sebelum membuat keputusan menunda penggambaran drama. - Foto IG Shahrulezad Mohameddin
Pengarah, Shahrulezad Mohameddin mengambil kira pendapat satu pasukan sebelum membuat keputusan menunda penggambaran drama. - Foto IG Shahrulezad Mohameddin

Shahrulezad tunda penggambaran drama

KUALA LUMPUR: Pengarah, Shahrulezad Mohameddin membuat keputusan menangguhkan penggambaran drama terbaharu, Takdir Yang Tertulis biarpun Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) membenarkan aktiviti penggambaran dijalankan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuat kuasa.

Pengarah yang popular menerusi drama rantaian Nur itu berkata, keputusan dibuat selepas mengadakan perbincangan bersama penerbit, pelakon dan kru yang terbabit.

"Keputusan ini mengambil kira pendapat satu pasukan. Walaupun kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak dihalang aktiviti penggambaran dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, ia tetap memberikan kesukaran.

"Saya tidak bermaksud SOP menyusahkan, ia bagus untuk keselamatan diri, tetapi mengganggu kelancaran penggambaran berikutan beberapa halangan.

"Contohnya, MKN tidak membenarkan penggambaran dijalankan di masjid, sekolah, universiti, taman dan sebagainya. Jadi, penggunaan lokasi amat terhad. Jika penggambaran di rumah, itu pula bergantung pada budi bicara pemilik rumah, kerana ramai yang risau keadaan bersesak dengan 25 pelakon dan kru produksi dalam satu masa," katanya kepada BH Online.

Disebabkan bimbang keadaan keselamatan pasukan produksi, Shahrulezad berkata, dia mengambil langkah awal untuk mengelak wujudnya kluster produksi.

"Kebanyakan pelakon dan kru sudah berkahwin dan mempunyai anak seperti Nad Zainal dan Elvina Mohamed. Keadaan ini membuatkan saya lebih takut. Saya tak mahu mereka mengambil risiko disebabkan kita berhadapan dengan musuh yang tidak nampak dengan mata kasar.

"Jalan penyelesaian pada penularan COVID-19 adalah kuarantin, lebih baik kami mematuhinya demi kebaikan. Kita juga tahu Kuala Lumpur adalah pusat ekonomi, jadi saya tidak mahu ekonomi negara lumpuh disebabkan wujudnya banyak kluster," katanya.

Dua pelakon utama drama Takdir Yang Tertulis, Nad Zainal dan Elvina Mohamed memiliki anak kecil, lantas menerbitkan kebimbangan di hati pengarah, Shahrulezad Mohameddin. - Foto IG Nad Zainal
Dua pelakon utama drama Takdir Yang Tertulis, Nad Zainal dan Elvina Mohamed memiliki anak kecil, lantas menerbitkan kebimbangan di hati pengarah, Shahrulezad Mohameddin. - Foto IG Nad Zainal

Shahrulezad berkata, dia mengambil inisiatif menghentikan seketika penggambaran kerana bimbang kegagalan pasukan produksi untuk mematuhi SOP yang ketat.

"Sejauh mana kami menjaga penjarakan fizikal dan SOP, ia tetap berisiko, apatah lagi jika membabitkan lokasi di ruang yang sempit.

"Awal penggambaran, SOP boleh dijaga, tetapi jika penggambaran berjalan sepanjang hari, kru pun penat nak bertahan mematuhi SOP seperti memakai pelitup muka. Penghujungnya semua tak peduli pasal SOP kerana sudah penat. Keadaan inilah yang menerbitkan kebimbangan.

"Saya lebih risau apabila seorang rakan serumah seorang pelatih di Radius One positif COVID-19," katanya.

Bagaimanapun, Shahrulezad berkata, dia mahu melihat kes COVID-19 dalam tempoh seminggu, sebelum memutuskan untuk terus menunda penggambaran atau sebaliknya.

Shahrulezad berkata, dia tetap berharap proses penggambaran dramanya yang sudah berlangsung selama dua minggu itu dapat disambung dengan segera.

Terdahulu, FINAS memaklumkan penggambaran boleh dijalankan di kawasan pelaksanaan PKPB dengan syarat mengikuti SOP yang ditetapkan.

Berita Harian X