Sabtu, 17 Oktober 2020 | 11:01am
Pencalonan lagu Anta Permana menerusi kategori online, Lagu Paling Boom menerusi ABPBH 33 satu penghormatan besar buat Datuk Seri Siti Nurhaliza. - Foto IG Siti Nurhaliza
Pencalonan lagu Anta Permana menerusi kategori online, Lagu Paling Boom menerusi ABPBH 33 satu penghormatan besar buat Datuk Seri Siti Nurhaliza. - Foto IG Siti Nurhaliza

Siti Nurhaliza bawa watak perisik

KUALA LUMPUR: Tiga bintang bersatu dalam video muzik lagu Siapa Tak Mahu terbitan Zeel Production dengan kerjasama Ghz Studio. Video muzik itu dilancarkan secara rasmi dalam laman YouTube, semalam.

Secara kebetulan, tiga bintang dimaksudkan turut mengungguli pencalonan Anugerah Bintang Popular BH Edisi Ke-33 (ABPBP 33).

Video muzik arahan Ghazi Maslan itu meletakkan teraju utama, penyanyi lagu Siapa Tak Mahu, Datuk Seri Siti Nurhaliza. Di pentas ABPBH, wanita kental itu pernah memenangi gelaran Bintang Paling Popular sebanyak tujuh kali dan menggenggam trofi khas, Anugerah Seri Perak sempena ulang tahun ke-25 acara berkenaan.

Menyerikan video muzik itu adalah Bintang Paling Popular, ABPBH 32 iaitu Mira Filzah yang turut merangkul trofi Pelakon TV Wanita Popular, Pelakon Filem Wanita Popular dan kategori online, Gandingan Serasi Drama Popular menerusi Pujaan Hati Kanda bersama Remy Ishak, tahun lalu.

Selain Mira, Hun Haqeem turut dilihat dalam video muzik berkenaan. Jejaka yang mula melakar kejayaan menerusi drama Kampung People umpama 'freshie' ABPBH kerana kali pertama dalam pencalonan Artis Baharu Lelaki Popular ABPBH 33.

Siti Nurhaliza membuat keputusan tidak bertanding dalam ABPBH sejak 2010, kali ini dicalonkan atas kapasiti lagu Anta Permana bagi kategori online, Lagu Paling Boom, ABPBH 33. Single Anta Permana dan Siapa Tak Mahu antara lagu yang dimuatkan dalam album ManifestaSITI2020.

Pengantin baharu, Mira Filzah yang mendirikan rumah tangga dengan Wan Emir Astar pada 2 September lalu pula mengungguli tujuh pencalonan menerusi ABPBH 33 iaitu empat dalam kategori utama, Artis Versatil Popular, Pengacara TV Popular, Pelakon TV Popular dan Pelakon Filem Popular, manakala kategori online pula, Mira mara dalam persaingan Gandingan Serasi Filem (Sangkar) dan Gandingan Serasi Drama untuk drama Sweet Dreams dan Adellea Sofea.

Tiga bintang popular, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Mira Filzah dan Hun Haqeem bersatu dalam video muzik lagu Siapa Tak Mahu terbitan Zeel Production. - Foto IG Siti Nurhaliza
Tiga bintang popular, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Mira Filzah dan Hun Haqeem bersatu dalam video muzik lagu Siapa Tak Mahu terbitan Zeel Production. - Foto IG Siti Nurhaliza

Bagi Siti Nurhaliza, pencalonan lagu Anta Permana satu penghormatan besar secara peribadi.

"Lagu Anta Permana mencipta fenomena tersendiri kepada kerjaya seni dan industri muzik apabila saya muncul semula selepas berehat melahirkan Siti Aafiyah.

"Anta Permana sendiri mendapat tempat ketiga dalam Anugerah Juara Lagu Ke-34 ketika didendangkan Bob Yusof, selain saya tampil membuat kejutan di pentas akhir acara itu.

"Album ManifestaSITI2020 yang dilancarkan sejak 3 Julai lalu turut berjaya mencatat jualan lebih 5,000 unit fizikal, sekali gus meraih Anugerah Emas daripada Universal Music," katanya kepada BH Online dengan penuh bersemangat.

Bercerita lanjut mengenai jalan cerita video muzik Siapa Tak Mahu, Siti Nurhaliza membawa watak perisik, selain tampil dengan penyamaran beberapa watak berbeza.

"Syarikat produksi memberikan konsep dan jalan cerita terlebih dulu untuk mendapatkan persetujuan saya. Bagaimanapun, saya turut memberikan pandangan untuk mengolah semula beberapa bahagian jalan cerita.

"Universal Music dan Siti Nurhaliza Productions memberi kepercayaan kepada Zeel Production dan Ghz Studio. Saya seronok dapat melakonkan beberapa watak dan perlu menukar beberapa persalinan dengan imej berbeza. Setiap imej disesuaikan dengan watak. Ini juga menjadi video muzik pertama saya menukar banyak persalinan," katanya yang melakonkan lima karakter dalam persalinan berbeza.

Datuk Seri Siti Nurhaliza membawa watak perisik, selain tampil dengan penyamaran beberapa watak berbeza dalam video muzik lagu nyanyiannya, Siapa Tak Mahu. - Foto IG Siti Nurhaliza
Datuk Seri Siti Nurhaliza membawa watak perisik, selain tampil dengan penyamaran beberapa watak berbeza dalam video muzik lagu nyanyiannya, Siapa Tak Mahu. - Foto IG Siti Nurhaliza

Mengenai Mira dan Hun, Siti Nurhaliza berkata, mereka antara pelakon popular yang sedang menyusuri gelombang populariti ketika ini.

"Mira dan Hun mempunyai kelebihan dan peminat pasti mengikuti setiap apa dilakukan. Kemunculan istimewa mereka memberi nilai dan satu penghormatan buat saya atas kesudian bekerjasama.

"Inilah kali pertama kami bergabung. Mereka juga penarik dalam video muzik ini," katanya.

Berita Harian X