Jumaat, 16 Oktober 2020 | 1:00pm
Kebanjiran bakat baharu memerlukan pihak terbabit melihat apakah mereka diberi penerangan secukupnya mengenai simpanan masa depan termasuk caruman PERKESO. Foto Hiasan Ihsan Asfan
Kebanjiran bakat baharu memerlukan pihak terbabit melihat apakah mereka diberi penerangan secukupnya mengenai simpanan masa depan termasuk caruman PERKESO. Foto Hiasan Ihsan Asfan

Artis BBNU wajar carum PERKESO

KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) gusar kesedaran anak seni terutama artis muda terhadap Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) diperkenalkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sejak Januari lalu, masih rendah.

Timbalan Presidennya, Zuraini Kassim, berkata masih ramai penggiat seni termasuk dalam kalangan digelar 'budak baru nak up' (BBNU) tidak mempedulikan manfaat yang bakal diperoleh melalui skim berkenaan.

Namun, Zuraini tidak menolak kemungkinan ramai selebriti memilih memiliki polisi perlindungan insurans peribadi, berbanding mencarum dengan PERKESO.

Sehubungan itu, tambah Zuraini, golongan selebriti tidak nampak kepentingan caruman diperkenalkan PERKESO mampu memberi manfaat jika berlaku kecelakaan ketika atau selepas mereka bekerja.

Zuraini berkata, antara lain, pencarum SKSPS bakal memperoleh manfaat bulanan berbentuk wang pencen.

"Setakat ini, penyertaan artis yang mencarum dengan PERKESO terutama mereka yang ada nama, masih rendah.

Zuraini menjelaskan SENIMAN mungkin mahu menganjurkan sekali lagi forum bagi memberi kesedaran kepada penggiat seni mengenai kepentingan caruman PERKESO. Foto Ihsan Zuraini Kassim
Zuraini menjelaskan SENIMAN mungkin mahu menganjurkan sekali lagi forum bagi memberi kesedaran kepada penggiat seni mengenai kepentingan caruman PERKESO. Foto Ihsan Zuraini Kassim

"Kebanyakan artis yang menyedari kepentingan caruman ini adalah dalam kalangan artis senior. Pernah ditimpa kejadian tidak diingini menjadi punca mereka sedar kepentingan SKSPS," katanya kepada BH Online.

Mengaku tidak berkuasa meminta artis mencarum SKSPS, Zuraini berkata, SENIMAN faham artis muda dan popular mampu memiliki polisi perlindungan insurans sendiri.

"Atau mereka mungkin melihat manfaatnya lebih besar kerana perlindungan insurans menjanjikan bayaran dalam jumlah besar jika berlaku kejadian tidak diingini kepada pemegang polisi.

"Ini berbeza dengan PERKESO yang membayar pencaruman dalam bentuk pencen bulanan.

"Ahli yang mencarum RM598.20 setahun akan mendapat manfaat hampir RM3,000 sebulan jika mereka tidak mampu lagi mencari rezeki akibat kemalangan di tempat kerja," katanya.

Zuraini berkata, wang pencen dibayar seumur hidup dan jika pencarum meninggal dunia, pasangan bakal menikmati manfaatnya

"Ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka," katanya.

Zuraini berkata, selain kemudahan pencen, PERKESO menyediakan pelbagai kemudahan lain seperti diperoleh pelawak Gbob.

Bekas peserta program Raja Lawak itu bukan saja menerima alat bantuan pemulihan, malah menikmati pencen ilat sebanyak RM475 sebulan.

Gbob juga bakal menjalani rawatan fisioterapi secara percuma di pusat pemulihan milik PERKESO di Melaka.

Zuraini berkata, SENIMAN bercadang menganjurkan forum mengenai kepentingan mencarum dengan PERKESO apabila pandemik COVID-19 berakhir.

"Kita mungkin menganjurkan semula forum seperti pernah dilaksanakan bersama PERKESO. Kalau boleh, kami mahu lebih ramai anak seni tidak melepaskan peluang yang sangat bermanfaat ini.

"Atau mungkin ketika artis datang memperbaharui keahlian mereka tahun depan, SENIMAN boleh ambil peluang menerangkan mengenai kepentingan dan manfaat SKSPS," katanya.

Ogos lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dilaporkan berkata, seramai 46,955 pekerja sendiri di seluruh negara mencarum SKSPS setakat ini.

Golongan itu termasuk pemandu teksi, perkhidmatan e-hailing, penghantar barangan dan makanan, pengayuh beca, pemandu pelancong, nelayan, penggiat seni, penjaja, peniaga termasuk dalam talian atau pekerja dalam ekonomi gig.

Mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, skim berkenaan akan melindungi mereka jika berlaku kemalangan atau musibah ketika menjalankan tugas.

Berita Harian X