Isnin, 28 September 2020 | 9:55pm
Zara Zya memutus menolak beberapa tawaran drama berikutan tidak sesuai dengan imej bertudung. - Foto IG Zara Zya
Zara Zya memutus menolak beberapa tawaran drama berikutan tidak sesuai dengan imej bertudung. - Foto IG Zara Zya

Zara Zya bertudung

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zara Zya, 35, sekian lama memendam hasrat berhijrah akhirnya membulatkan tekad bertudung sejak beberapa hari lalu.

Sebelum ini, bintang drama Seadanya Aku dan Korban Kasih itu dilihat memuat naik gambar bertudung hingga menarik perhatian pengikut, baru-baru ini. Kebanyakan peminat menyukai imej bertudung yang digayakan.

Menerusi kapsyen gambar yang dimuat naik, Zara menyentuh soal doa yang cepat atau lambat dimakbulkan Allah. Ia seperti memberi satu bayangan wanita kelahiran Lenggong, Perak itu sudah mula berhijrah.

Mengukuhkan tanda tanya apabila Zara dilihat menjual pakaian lama menerusi laman Instagram (IG) Story, Rabu lalu.

"Secara jujur, saya masih dalam proses membiasakan diri dalam penghijrahan ini.

Saya mengharapkan doa yang baik-baik.

"Semuanya berlaku atas gerakan hati. Keputusan ini tidak perlu dilengahkan. Saya juga tak mahu hati berbolak-balik dalam melakukan tuntutan wajib ini.

"Saya sempat menghabiskan penggambaran drama Beri Sedikit Waktu pada Jumaat lalu, sebelum bertekad mengenakan tudung sepenuhnya," katanya kepada BH Online.

Zara Zya sudah mula memuat naik gambar bertudung sejak beberapa hari lalu. - Foto IG Zara Zya
Zara Zya sudah mula memuat naik gambar bertudung sejak beberapa hari lalu. - Foto IG Zara Zya

Zara atau Zainurul Razia Mohd Zainuddin berkata, dia memutuskan untuk menolak beberapa tawaran drama yang kurang sesuai dengan imej bertudung.

Baginya, hatinya kuat mahu berubah termasuk menutup aurat.

"Saya selalu dengar soal istiqamah ini bukan mudah. Saya harap Allah tetapkan hati dan jiwa saya. Insya-Allah, saya mahu masa depan menjadi lebih baik daripada semalam yang ditinggalkan.

"Tiada langsung rasa sayang menjual pakaian lama. Saya akui, sudah tidak sabar mahu menutup aurat selama ini. Moga ia menjadi permulaan yang baik," katanya.

Katanya, dia tidak gentar sekiranya keputusan menutup aurat mungkin menjejaskan tawaran lakonan.

"Saya tak terfikir soal ada tawaran kerja atau sebaliknya. Saya percaya pada rezeki yang tertulis.

"Saya banyak membeli tudung dan pakaian baru," katanya.

Berita Harian X