Isnin, 28 September 2020 | 6:26pm
Aktres Terbaik, Anugerah Akademi Jepun selama tiga tahun berturut-turut ditemui tidak sedarkan diri di kediamannya di Shibuya, Tokyo. - Foto AGENSI
Aktres Terbaik, Anugerah Akademi Jepun selama tiga tahun berturut-turut ditemui tidak sedarkan diri di kediamannya di Shibuya, Tokyo. - Foto AGENSI

Aktres Yuko Takeuchi dipercayai bunuh diri

KUALA LUMPUR: Bintang 'Miss Sherlock', Yuko Takeuchi, 40, ditemui mati dipercayai membunuh diri di kediamannya di Shibuya, Tokyo, semalam.

Mengikut portal The Japan Times, mayat ditemui suaminya yang juga pelakon, Taiki Nakabayashi, 35, di bilik tidur di apartmen sekitar jam 2 pagi. Bagaimanapun, tiada nota bunuh diri ditemui.

Takeuchi dihantar ke sebuah hospital dan kemudiannya disahkan meninggal dunia. Jabatan Polis Metropolitan Tokyo melancarkan siasatan dan mengesyaki Takeuchi meragut nyawanya sendiri, lapor portal berkenaan.

"Secara tiba-tiba, kami terkejut dan sedih dengan berita kematiannya. Pihak berkuasa sedang memeriksa perincian kejadian," kata agensi bakatnya, Stardust Promotion Inc.

Yuko Takeuchi bersama suami, Taiki Nakabayashi dan anak kedua yang dilahirkan pada Januari lalu. - Foto AGENSI
Yuko Takeuchi bersama suami, Taiki Nakabayashi dan anak kedua yang dilahirkan pada Januari lalu. - Foto AGENSI

Takeuchi, bintang terkenal di Jepun dengan filem klasik seram Jepun, Ringu pada 1998 yang diadaptasi oleh filem Hollywood sebagai The Ring.

Ibu kepada dua cahaya mata yang berasal dari Prefektur Saitama itu muncul dalam sejumlah drama dan filem televisyen (TV), termasuk drama bersiri, Asuka yang disiarkan oleh NHK pada 1999 dan Sanada Maru, drama bersejarah yang disiarkan pada 2016.

Takeuchi juga membawakan watak Sherlock Holmes versi wanita menerusi drama bersiri HBO, Miss Sherlock yang ditayangkan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat pada 2018.

Beliau pernah diangkat Aktres Terbaik, Anugerah Akademi Jepun selama tiga tahun berturut-turut pada 2004.

Takeuchi baru sahaja melahirkan anak kedua pada Januari lalu, hasil perkahwinannya bersama Nakabayashi, tahun lalu. Beliau memiliki seorang anak lelaki berusia 14 tahun dengan perkahwinan pertama bersama pelakon, Shido Nakamura II.

Kematian aktres sememangnya mengejutkan, malah dianggarkan ramai selebriti Jepun memilih meragut nyawa hingga berlaku peningkatan kes bunuh diri.

Sebelum ini, bintang program TV realiti, Terrace House, Hana Kimura, 22, ditemui mati selepas menjadi mangsa buli siber, Mei lalu, diikuti Haruma Miura dan Sei Ashina pada Julai dan September.

Jepun dikatakan mencatatkan kes bunuh diri tertinggi di dunia, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pada Ogos lalu, Jepun mencatatkan hampir 1,900 kes bunuh diri iaitu peningkatan 15.3 peratus dari tahun sebelumnya. - AGENSI

Berita Harian X