Khamis, 24 September 2020 | 11:00am
Ashira berkongsi kesedihan diusir keluar selepas enam bulan tidak mampu membayar sewa rumah. - Foto Ezairi Shamsuddin
Ashira berkongsi kesedihan diusir keluar selepas enam bulan tidak mampu membayar sewa rumah. - Foto Ezairi Shamsuddin

Ashira hilang kerja, diusir tuan rumah

KUALA LUMPUR: Kegembiraan penyanyi Di Ombak Resah, Ashira, 35, apabila dipilih menjadi salah seorang peserta program realiti, Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) bertukar menjadi sayu apabila diusir keluar selepas gagal membayarkan sewa rumah selama enam bulan.

Berkongsi kisah sedihnya, Ashira atau nama sebenarnya, Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz berkata, dia tidak mampu membayar sewa rumah selepas kehilangan kerja sebagai penyanyi kelab berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.

"Sebelum ini, saya menyanyi di kelab malam di Dubai, Bahrain dan Abu Dhabi. Bagaimanapun, saya pulang ke Malaysia, tahun lalu. Fokus saya hanya membuat persembahan gig memandangkan saya tidak ada kontrak untuk menyanyi bersama band di kelab.

"Sepatutnya, saya terbang ke China untuk menyanyi di sana, namun hasrat terpaksa dilupakan dalam masa sekarang.

"Saya tiada pendapatan apabila hilang punca pekerjaan. Mulanya, tuan rumah minta saya menjelaskan bayaran mengikut kemampuan. Walaupun tak banyak, saya usahakan juga.

"Tak sangka pula, tuan rumah bertindak memberikan untuk saya keluar rumah dalam masa yang singkat. Ketika itu, saya baru saja mendapat berita diterima untuk menyertai GV7. Lebih menyedihkan, hari ini (semalam) adalah hari terakhir saya perlu serahkan kunci kepada tuan rumah," katanya kepada BH Online.

Walaupun kehilangan berpendapatan tetap, namun Ashira tidak berputus asa untuk terus mencari rezeki demi menampung kehidupannya.

"Saya menjual laksa pada bulan puasa lalu. Sambutannya sangat menggalakkan memandangkan tiada bazar Ramadan dibenarkan beroperasi. Bagaimanapun, keadaan jadi sebaliknya apabila kedai makan mula beroperasi.

"Hasil jualan langsung tak balik modal, sekali gus menyukarkan saya membuat pusingan modal. Duit simpanan pula semakin menyusut membuatkan saya tak mampu nak menjelaskan sewa rumah," kata ibu tunggal kepada seorang cahaya mata lelaki itu.

Ashira pernah menyanyi di kelab malam di Dubai, Bahrin dan Abu Dhabi sebelum kembali ke Malaysia, tahun lalu. - Foto Ezairi Shamsuddin
Ashira pernah menyanyi di kelab malam di Dubai, Bahrin dan Abu Dhabi sebelum kembali ke Malaysia, tahun lalu. - Foto Ezairi Shamsuddin

Sambil menyeka air mata yang mengalir, Ashira berkata, apa yang membuatkannya sedih apabila mengenangkan kesusahannya memberikan impak pada anak yang berusia 14 tahun itu.

"Saya pernah dihubungi guru sekolah menyatakan anak seperti berada dalam tekanan. Jujurnya, saya tak tahu mengenainya kerana dia tidak pernah meluahkan kepada saya. Mungkin itu sifat remaja lelaki yang agak keberatan untuk berkongsi perasaan dengan ibu.

"Anak hanya bercerita dengan guru dan menyatakan kebimbangannya mahu meneruskan kehidupan dan persekolahan selepas kami diusir daripada rumah. Perkara inilah yang membuatkan hati bertambah sayu.

"Buat masa ini, kami tinggal berasingan. Anak tinggal di rumah kakak dan saya pula menumpang rumah seorang lagi kakak," katanya Ashira yang sudah lima tahun bergelar ibu tunggal.

Mengulas penyertaannya dalam program GV7, Ashira berkata, tidak pernah merancang kembali mewarnai dunia seni arus perdana selepas kecewa dengan apa yang berlaku.

Ashira berkata, dia serik untuk kembali kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali.

"Saya kecewa apabila tenggelam timbul berikutan masalah dalaman yang berlaku pada syarikat rakaman. Saya ambil keputusan untuk keluar daripada industri dan menyanyi di kelab selepas muncul dengan album kedua pada 2003.

"Bagaimanapun, terdetik hati mahu kembali apabila ramai mencari saya selepas membaca komen dalam laman sosial.

"Apabila dihubungi Astro bertanyakan apakah saya berminat untuk menyertai program GV7, saya terus bersetuju," katanya.

Katanya, dia berdepan dengan masalah untuk menyanyikan lagu terkini terutama dendangan penyanyi generasi baharu.

"Saya kena banyak buat kajian dan saya bersyukur kerana pihak pengurusan banyak membantu," katanya.

Selain Ashira, GV7 turut disertai Mus, Yantzen, Noraniza Idris, Cliff Umar, Aju, Oja, Nomad, Rozita Izlyn, Ayu Damit, Linda Nanuwil, Haslinda serta dua kumpulan iaitu Eva dan Indigo.

Program itu akan bersiaran selama lapan minggu bermula 11 Oktober depan dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), setiap Ahad jam 9 malam.

Berita Harian X