Selasa, 22 September 2020 | 8:30am
Karakter dalam animasi terbaru, Mechamato terbitan Monsta yang bakal ditayangkan di rantau Asia Pasifik. - Foto Monsta
Karakter dalam animasi terbaru, Mechamato terbitan Monsta yang bakal ditayangkan di rantau Asia Pasifik. - Foto Monsta

Animasi Mechamato sasar Asia Pasifik

KUALA LUMPUR: Siri animasi terbaru terbitan Monsta, Mechamato bakal ditayangkan di rantau Asia Pasifik termasuk Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Ketua Pegawai Eksekutif Monsta, Nizam Razak berkata, pihaknya sudah menandatangani perjanjian dengan sebuah penyedia rangkaian untuk membawa siri animasi terbarunya ke rantau Asia. Pengumuman mengenainya akan dilakukan tidak lama lagi.

Katanya, filem Mechamato yang sepatutnya menemui penonton pada tahun ini pula terpaksa ditunda ke tahun depan berikutan keadaan pasaran filem yang terjejas berikutan COVID-19.

"Ia juga sekali gus menyebabkan penayangan filem BoboiBoy Movie 3 yang dijadualkan menemui peminat tahun hadapan sempena ulang tahun ke-10 francais BoBoiBoy terpaksa dianjakkan ke 2022.

"COVID-19 menyebabkan tarikh tayangan banyak produk Monsta terpaksa diubah. Kami sepatutnya melancarkan filem dan siri animasi Mechamato tahun ini, tetapi nampaknya ia perlu ditunda ke tahun depan, sekali gus menyebabkan filem BoboiBoy Movie 3 juga terpaksa ditangguhkan.

"Sambutan untuk ulang tahun ke-10 francais Boboiboy akan tetap diteruskan dengan penayangan animasi, BoBoiBoy Galaxy Special selama satu jam pada tahun depan," katanya kepada BH Online.

Siri animasi terbaru terbitan Monsta, Mechamato menampilkan keunikan budaya Malaysia seperti silat, budaya peranakan dan makanan tempatan, diselitkan elemen futuristik seperti robot serta kapal angkasa. - Foto Monsta
Siri animasi terbaru terbitan Monsta, Mechamato menampilkan keunikan budaya Malaysia seperti silat, budaya peranakan dan makanan tempatan, diselitkan elemen futuristik seperti robot serta kapal angkasa. - Foto Monsta

Dengan penangguhan itu, Nizam berkata, dapatlah Monsta menyambung kembali pembikinan filem dan siri animasi Mechamato.

"Siri animasi Mechamato mengambil latar belakang Kota Hilir daripada Bandaraya Melaka yang akan menampilkan keunikan budaya Malaysia seperti silat, budaya peranakan dan makanan tempatan, tetapi disulami elemen futuristik seperti robot dan kapal angkasa.

"Monsta turut memperkenalkan watak dalam siri animasi Mechamato iaitu Amato bersama rakannya, Pian, Mara, Deep serta watak sampingan, Bula dan Bili.

"Bagi filem Mechamoto, ia berkisar anak muda bernama Amato yang secara tidak sengaja menjadi tuan kepada robot bernama MechaBot. MechaBot adalah sebuah Power Sphera yang mempunyai kuasa untuk menjadi apa sahaja.

"Amato dan MechaBot perlu bekerjasama dan bergabung menjadi adiwira Mechamato untuk melindungi bandar mereka daripada musuh yang jahat," katanya ketika mengumumkan siri animasi Mechamato pada persidangan Maya Kreatif! 2020 yang berlangsung di Cyberjaya, baru-baru ini.

Pandemik COVID-19 menyebabkan tarikh tayangan filem BoboiBoy Movie 3 juga terpaksa ditangguhkan pada 2022. - Foto Monsta
Pandemik COVID-19 menyebabkan tarikh tayangan filem BoboiBoy Movie 3 juga terpaksa ditangguhkan pada 2022. - Foto Monsta

Pada majlis berkenaan, Nizam turut mengumumkan Monsta bakal menghasilkan sebuah mini siri berjudul Destinasi Terbaik khas untuk peminat BoBoiBoy yang bertujuan untuk mempromosikan destinasi pelancongan tempatan yang terkesan akibat COVID-19.

Siri animasi Destinasi Terbaik akan menggabungkan animasi 3D dengan latar belakang dunia nyata untuk membawa BoBoiBoy dan rakannya menikmati aktiviti menarik, pemandangan indah dan sajian enak dalam Malaysia.

Berita Harian X