Jumaat, 18 September 2020 | 7:42pm
Datin Niena Baharun memilih untuk bersalin secara pembedahan, hujung bulan depan. - Foto IG Niena Baharun
Datin Niena Baharun memilih untuk bersalin secara pembedahan, hujung bulan depan. - Foto IG Niena Baharun

Niena bakal timang anak perempuan

KUALA LUMPUR: Jika tiada aral melintang, pelakon Datin Niena Baharun dijangka melahirkan cahaya mata perempuan, hujung bulan depan.

Mula mencipta nama menerusi drama Sayangku Kapten Mukhriz, Niena mahu melahirkan anak keduanya secara pembedahan.

Sebelum ini, anak pertamanya, Adiel Mikael berusia setahun juga dilahirkan secara pembedahan.

"Insya-Allah, saya ada sepasang cahaya mata sekiranya anak kedua dilahirkan. Bolehlah saya berehat sekejap dan fokus membesarkan anak dahulu, sebelum merancang menambah cahaya mata.

"Lagipun, saya bersalin secara pembedahan, jadi doktor menggalakkan untuk saya berehat supaya luka pembedahan dapat sembuh sepenuhnya," katanya kepada BH Online.

Datin Niena Baharun bersama suami dan anak. - Foto IG Niena Baharun
Datin Niena Baharun bersama suami dan anak. - Foto IG Niena Baharun

Mengulas soal kerjaya, Niena berkata, dia masih mendapat tawaran lakonan, namun terpaksa menolak atas beberapa kekangan.

"Saya belum sempat berlakon selepas bersalin anak pertama. Tawaran sentiasa ada, malah saya merancang untuk kembali aktif awal tahun ini. Bagaimanapun, Allah mengurniakan saya rezeki hamil lagi.

"Jadi, niat kembali aktif terpaksa ditunda dahulu. Saya tak mahu dalam keadaan hamil akan menyusahkan pihak lain pula.

"Lagipun, saya terima beberapa tawaran yang memerlukan berada di luar kawasan, jadi saya tak berani mahu memberikan komitmen. Suami tak pernah halang saya aktif berlakon, tetapi saya masih tidak mampu berenggang dengan anak yang masih kecil," katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Datuk Aliff Firdaus Abdul Hadi pada 1 Februari 2018.

Berita Harian X