Khamis, 17 September 2020 | 1:43pm

Sharnaaz, Nabila sepakat selesai tuntutan

KUALA LUMPUR: Pelakon, Sharnaaz Ahmad dan bekas isteri, Noor Nabila mencapai kata sepakat dan bersetuju dengan tuntutan yang dimeterai dalam perjanjian penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini.

Tuntutan yang dimeterai melalui surat ditandatangani kedua-dua pihak membabitkan nafkah edah, hadanah atau hak penjagaan dan nusyuz yang dibacakan di hadapan Hakim Syarie Mohamed Fauzi Mokhtar.

Sharnaaz dilihat keluar dari kamar persidangan mahkamah diikuti bekas isterinya, Nabila. Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Sharnaaz dilihat keluar dari kamar persidangan mahkamah diikuti bekas isterinya, Nabila. Foto NSTP/Asyraf Hamzah

Dalam prosiding itu, peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Nabila selaku plaintif, mengemukakan pihak defendan iaitu Sharnaaz bersetuju memberi nafkah edah sebanyak RM500 selama tiga bulan.

"Selain itu, defendan juga bersetuju untuk memberi nafkah anak sebanyak RM1,200 sebulan. Hak penjagaan anak turut diberikan kepada Nabila termasuk memberi kebenaran kepada Sharnaaz berjumpa anak mereka serta tuntutan nusyuz dibatalkan.

"Nabila juga bersetuju mengetepikan tuntutan mutaah kecuali sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail yang dipindah milik kepadanya," katanya kepada BH Online.

Peguam Ummi Kartini Abd Latif yang mewakili Sharnaaz turut mengesahkan dan bersetuju dengan terma dikemukakan.

Selepas terma dibacakan, Hakim Syarie Mohamed Fauzi bertanya kepada Sharnaaz dan Nabila apakah mereka bersetuju dengan perjanjian terbabit. Mereka bersetuju dan menerimanya sukarela termasuk tiada paksaan daripada mana-mana pihak.

Sharnaaz dan Nabila masing-masing setuju menyelesaikan tuntutan demi masa depan anak mereka, Jebat Jayden. Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Sharnaaz dan Nabila masing-masing setuju menyelesaikan tuntutan demi masa depan anak mereka, Jebat Jayden. Foto NSTP/Asyraf Hamzah

Sementara itu, Nabila atau Noor Nabila Mohd Noor ketika ditemui lega apabila proses berakhir dengan baik.

"Saya lega apabila proses perceraian dan hak penjagaan anak sudah selesai. Jadi, tidak perlu saya datang ke mahkamah lagi. Sebab perkara seperti ini mengambil tenaga kita dan memberi kesan kepada emosi.

"Jujurnya, saya terganggu, setiap kali hendak datang sini, saya berat hati. Insya-Allah, hari ini adalah kali terakhir saya datang ke sini.

"Alhamdulillah, semua sudah diselesaikan dengan baik. Saya dan Sharnaaz akan terus berbaik untuk anak kami," katanya.

Sharnaaz juga bersyukur kerana kes dengan bekas isteri akhirnya selesai selepas kedua-dua peguam berbincang dan bersepakat menyelesaikannya.

"Keutamaan kami sekarang adalah Jebat. Walaupun kami tidak boleh meneruskan hubungan sebagai suami-isteri, tapi kami masih berkawan.

"Dahulu pun kami asalnya berkawan. Saya hendak terus berkawan dengan dia. Kalau gaduh pun tidak guna kerana yang mendapat kerugian adalah Jebat," katanya.

Sharnaaz dan Nabila yang juga ahli perniagaan, bercerai pada 9 Julai lalu secara hakam di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Pasangan itu berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak lelaki, Jebat Jayden yang berusia dua tahun.

Sharnaaz dan Nabila ketika hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, pagi tadi. Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Sharnaaz dan Nabila ketika hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, pagi tadi. Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Berita Harian X