Selasa, 15 September 2020 | 3:00pm
Usop ‘hanyut’ dalam emosi ketika tampil membuat persembahan pada konsert mengenang Allahyarham Sandra. Foto Ihsan Big Stage 2020
Usop ‘hanyut’ dalam emosi ketika tampil membuat persembahan pada konsert mengenang Allahyarham Sandra. Foto Ihsan Big Stage 2020

Sandra dalam kenangan

PUTRAJAYA: Aksi pembukaan penuh syahdu penyanyi, Dayang Nurfaizah yang mendendangkan lagu 'berhantu', Di Pintu Syurga, cukup memberi gambaran setiap minit untuk dua jam berikutnya, Konsert Tribute Sandra Dalam Kenangan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad lalu, sarat emosi.

Dayang yang pernah menjadi mentor Allahyarham Sandra, membuka tirai dengan persembahan sarat emosi. Foto Ihsan Big Stage 2020
Dayang yang pernah menjadi mentor Allahyarham Sandra, membuka tirai dengan persembahan sarat emosi. Foto Ihsan Big Stage 2020

Diperkuatkan lagi dengan sedutan montaj momen Allahyarham Sandra dalam program realiti, Big Stage 2020 sambil diiringi persembahan Qody Rani menyampaikan lagu Kemarin, menjadikan suasana lebih sayu.

Wani Kayrie tidak ketinggalan memberi penghargaan kepada temannya, Allahyarham Sandra pada konsert tribute, Ahad lalu. Foto Ihsan Big Stage 2020
Wani Kayrie tidak ketinggalan memberi penghargaan kepada temannya, Allahyarham Sandra pada konsert tribute, Ahad lalu. Foto Ihsan Big Stage 2020

Seorang demi seorang rakan baik arwah iaitu Wani Kayrie; Sufie Rashid; Hafiz Zainal; Usop; Fadh Majid; Farisha Iris; Yamani Abdillah dan Azzam Shah, menyampaikan lagu dengan penuh penghayatan.

Antara didendangkan adalah lagu Allahyarham Datuk Sudirman Arshad iaitu Pelangi Petang dan Salam Terakhir, Suatu Masa yang dipopularkan Datuk M Nasir dan Cinta Sejati (Bunga Citra Lestari).

Paling menyentuh hati adalah persembahan rakan baik Sandra, Neeta Manis yang dikenali sejak usia 19 tahun, menyanyikan lagu terbaru arwah berjudul Tulus.

Bait liriknya terbukti indah apabila pengacara, Alif Satar dan Sherry Alhadad yang sudah berjanji tidak akan menangis sepanjang konsert, tewas hingga menitiskan air mata.

Pemergian Sandra atau nama sebenarnya Alessadra Dianne Ampuria, 26, Jumaat lalu, meninggalkan ruang kosong dalam program realiti itu.

Seperti dikongsi Dayang yang juga mentor arwah ketika bersaing dalam Mentor Legend 2014, Sandra berbakat besar dan mampu pergi jauh dalam arena seni suara.

"Saya masih ingat lagi, arwah datang ke sesi uji bakat Mentor Legend dengan membawa gitar.

"Apabila saya tengok arwah, saya tahu dia ada bakat yang boleh digilap. Sebaik mendapat tahu arwah menyertai Big Stage 2020, saya gembira kerana program ini boleh dijadikan platform untuk dia pergi jauh.

"Bagaimanapun, perjalanannya hanya setakat ini. Saya sangat menghargai pengalaman bersama arwah sejak 2014. Arwah ikut saya ke tempat persembahan dan saya bawa Sandra menonton konsert saya," katanya.

Dayang berkata, biarpun pendiam dan tampak 'kasar', arwah insan berjiwa lembut.

Juri tetap Big Stage 2020, Faizal Tahir pula berkata, arwah disenangi ramai dengan sikapnya yang tidak banyak bercakap, tetapi sentiasa ceria dan positif.

"Dari awal program sampai sekarang, orang hanya bercakap baik mengenai arwah. Jadi, kita yang berada di sini perlu mengambil perkara yang baik daripada arwah. Semua peserta perlu mengambil semangat ini untuk terus berjuang.

"Saya yakin Sandra tidak mahu kita terlalu menangisi pemergiannya kerana dia sudah berada di tempat yang lebih baik," katanya.

Faizal juga memohon orang ramai berhenti melayangkan kata-kata negatif berhubung pemergian Sandra dan menghormati perasaan keluarganya.

Berita Harian X