Rabu, 12 Ogos 2020 | 6:00pm
Pelakon, Den Wahab turut menziarahi dan memberikan semangat kepada Abu Bakar Juah. - Foto Facebook Den Wahab
Pelakon, Den Wahab turut menziarahi dan memberikan semangat kepada Abu Bakar Juah. - Foto Facebook Den Wahab

Abu Bakar Juah tenat

KUALA LUMPUR: Keluarga pelakon veteran, Abu Bakar Juah, 72, yang kini berada dalam keadaan tenat akibat kanser hati reda dengan sebarang kemungkinan yang berlaku.

Anak ketiganya, Safinas Abu Bakar berkata, bapanya hanya terbaring dan lebih banyak tidur selepas dibenarkan keluar dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), dua minggu lalu.

Keadaan kesihatan pelakon yang pernah membintangi filem Matinya Seorang Patriot itu dilaporkan semakin merosot sejak awal tahun apabila penyakit kanser hati menyerang semula.

"Keadaan bapa agak tenat, ketika ini. Berikutan tiada apa lagi yang mampu dilakukan, pihak PPUKM menyarankan keluarga membawa bapa pulang ke rumah sahaja.

"Bapa masih boleh respon apabila rakan memanggil namanya, dia akan genggam tangan tanda tahu mereka datang. Tetapi, berikutan keadaannya sangat lemah, dia tidak larat bercakap, sebaliknya hanya mampu memegang tangan," katanya kepada BH Online.

Sahabat dan kenalan tidak putus menziarahi Abu Bakar Juah di rumah sejak dilaporkan tenat. - Foto Facebook Den Wahab
Sahabat dan kenalan tidak putus menziarahi Abu Bakar Juah di rumah sejak dilaporkan tenat. - Foto Facebook Den Wahab

Sejak dibenarkan pulang ke rumah, kata Safinas, ramai rakannya sama ada penggiat seni dan kenalan ketika bertugas di Jabatan Penjara turut mengambil kesempatan menziarahinya.

Abu Bakar disahkan menghidap kanser usus pada 2016. Selepas menjalani 12 pusingan kimoterapi, doktor mengesahkan pelakon veteran itu bebas daripada cengkaman kanser.

Selepas disahkan bebas kanser, bapa kepada empat cahaya mata itu mengamalkan cara hidup sihat dengan mengambil pemakanan berkhasiat dan bersenam.

Bagaimanapun, pada awal tahun ini, doktor mengesahkan penyakit yang dihadapi kembali menyerang, malah lebih agresif hingga sudah merebak ke hati.

Safinas berkata, bapanya enggan menjalani sekali rawatan kimoterapi, sebaliknya hanya mengambil ubat yang dibekalkan doktor.

"Sepanjang empat tahun keadaan bapa memang baik, tidak sangka kanser menyerang semula, awal tahun ini. Bapa tidak mahu menjalani rawatan kimoterapi, jadi kami perlu menghormati keputusannya.

"Selain kanser, bapa turut menghidap kencing manis. Ada masanya, ia memberi kesan kepada ingatan sekiranya dia mengalami hipoglisemia. Jika tidak, ingatannya masih okay.

"Keadaannya masih baik dan masih mampu duduk ketika Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah menziarahi pada Jun lalu," katanya.

Safinas berkata, dia sekeluarga berterima kasih kepada rakan bapa yang sudi meluangkan masa menziarah dan berdoa untuknya.

"Jika boleh, kami berharap bapa akan sembuh, tetapi apa pun takdirnya, kami sekeluarga reda," kata Safinas.

Abu Bakar yang juga bekas Pengarah Kanan Penjara Taiping itu berkahwin dengan Rusidah Mohd Yassin sejak 1980 dan dikurniakan empat cahaya mata.

Berita Harian X