Isnin, 10 Ogos 2020 | 11:00am
Penampilan terbaru Fimie yang sudah menginjak usia 22 tahun. Foto NSTP/Rohanis Shukri
Penampilan terbaru Fimie yang sudah menginjak usia 22 tahun. Foto NSTP/Rohanis Shukri

'Putera Shazlan' tak malu

KUALA LUMPUR: Ketika tawaran berlakon tidak diterima, bakat remaja, Fimie Don mengaku pernah bekerja di salah sebuah taman tema air di Petaling Jaya, demi kelangsungan hidup.

Berkongsi detik sukar bergelar pelakon, Fimie, 22, yang mencipta populariti selepas muncul dalam drama bersiri Hikayat Putera Shazlan pada 2006, sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan untuk menampung hidup.

Fimie mengerti perubahan semasa mendesak stesen TV mengenakan pelbagai syarat dalam mencari pelakon termasuk jumlah pengikut di laman sosial. Foto NSTP/Rohanis Shukri
Fimie mengerti perubahan semasa mendesak stesen TV mengenakan pelbagai syarat dalam mencari pelakon termasuk jumlah pengikut di laman sosial. Foto NSTP/Rohanis Shukri

"Saya pernah bekerja di taman tema air awal tahun lalu sebab tiada tawaran berlakon. Sebagai artis, kita tidak boleh ada ego, Jadi, apa sahaja pekerjaan halal yang boleh dibuat, saya sanggup lakukan," katanya kepada BH Online.

Apabila diri bukan lagi pilihan penerbit, Fimie atau nama sebenar, Shafimie Don tidak menafikan merajuk, lebih-lebih lagi melihat kecenderungan penerbit dan stesen televisyen (TV) memilih pelakon berdasarkan jumlah pengikut di laman sosial.

"Selepas menjayakan filem Butak pada Oktober 2018, saya berehat beberapa bulan. Ketika itu, saya agak merajuk dengan industri. Pada masa itu, pengikut Instagram (IG) saya tidak ramai, kira-kira 100,000 orang sahaja.

"Disebabkan itu, antara empat hingga enam bulan saya tidak mendapat tawaran. Apabila ada wakil produksi menghubungi, soalan pertama diajukan adalah mengenai 'followers' laman sosial. Kecil hati saya apabila diajukan soalan itu.

"Saya pernah suarakan perkara ini di IG dengan menempelak pengarah dan penerbit yang cenderung melihat jumlah pengikut artis sebagai faktor pemilihan pelakon.

"Saya pernah ditolak sebuah produksi kerana kurang 'followers'. Saya hubungi semula dan menegur sikap mereka yang saya anggap kurang ajar," katanya.

Fimie kesal biarpun sudah bertahun-tahun menjadi anak seni, dirinya dilayan seumpama itu.

"Saya tidak pernah buat perangai di set, kurang ajar dengan pengarah atau 'demand' meminta harga tinggi. Saya juga tidak pernah datang lambat ke set dan menjaga disiplin.

"Jadi, kenapa saya dilayan begitu?" katanya yang mula berlakon sejak berusia lima tahun.

Fimie berkata, dia selalu memikirkan andai industri seni di Malaysia adalah agama, bermakna semua penganutnya sesat.

"Ini kerana industri seni tidak sepatutnya menilai jumlah 'followers' artis, sebaliknya bakat.

"Maksudnya, jika pengikut hanya 1,000 orang, artis dianggap tidak pandai berlakon. Namun, apabila 'followers' berjuta orang, baru artis dikatakan pandai berlakon.

"Lebih mengecewakan apabila ada sesetengah pihak meminta saya membuat sesuatu perkara yang boleh viral untuk menaikkan 'followers'," katanya.

Namun, Fimie yang pernah meraih trofi pelakon kanak-kanak terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-23 mengaku apa yang berlaku berpunca keadaan semasa.

"Semua orang cari makan, apatah lagi ketika ekonomi tidak baik. Apabila penerbit hendak menghasilkan produk, dia kena ikut apa yang ditetapkan stesen TV.

"Penerbit kena ikut kerana mereka perlukan dana daripada stesen TV untuk menghasilkan drama," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fimie akan tampil dengan filem arahan Sabri Yunus, Butak. Fimie gembira dapat bekerjasama buat kali pertama bersama pengarah berpengalaman itu.

"Mula-mula, saya tidak tahu watak yang ditawarkan. Namun, apabila saya dapat tahu pengarahnya adalah abang Sabri, saya terus beritahu ibu, saya terima tawaran itu.

"Saya sangat meminati abang Sabri. Apabila bekerja dengannya, saya dapati, beliau sangat peka dalam banyak aspek," katanya.

Fimie menganggap Sabri menghasilkan karya yang bukan bersifat 'syok sendiri', sebaliknya, produk yang memuaskan hati semua pelakon dan kru.

"Seronok bekerja dengan abang Sabri. Ini pengalaman yang saya simpan, kenang dan hargai. Apabila berada di set penggambaran, saya teruja hendak bekerja," katanya.

Selain Fimie, pelakon yang membintangi filem diterbitkan Syarikat Two Tones Sdn Bhd itu adalah Izuan Fitri, Melly Amalin, Khatijah Tan, Kazar Saisi dan ramai lagi.

Filem ini berkisar Butak, seorang kanak-kanak yang nakal tetapi cerdik. Namun, tayangan filem ini yang dijadualkan akhir bulan ini, terpaksa ditangguhkan ekoran pandemik COVID-19.

Berita Harian X