Ahad, 9 Ogos 2020 | 1:00pm
Eyra dijangka melahirkan anak sulung, kira-kira seminggu lagi berdasarkan kiraan doktor. Foto Ihsan Eyra Hazali
Eyra dijangka melahirkan anak sulung, kira-kira seminggu lagi berdasarkan kiraan doktor. Foto Ihsan Eyra Hazali

Eyra gementar tunggu detik jadi ibu

KUALA LUMPUR: Sarat hamil dan menunggu detik melahirkan cahaya mata sulung pada bila-bila masa, pelakon, Eyra Hazali mahu bersalin secara normal.

Isteri kepada penjaga gawang Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Haziq Nadzli, ini memberitahu, doktor memberi bayangan keinginan untuk bersalin secara normal boleh menjadi nyata.

"Melihat pelbagai aspek dan sudut, saya tidak masalah bersalin normal. Lagipun, bersalin cara normal lebih rendah risikonya berbanding pembedahan.

"Tetapi apa-apa kemungkinan boleh terjadi.... Sama bersalin normal atau sebaliknya, saya reda.

Eyra dan suami, Muhammad Haziq membuat persiapan menyambut putera sulung yang bakal dilahirkan, tidak lama lagi. Foto Ihsan Eyra Hazali
Eyra dan suami, Muhammad Haziq membuat persiapan menyambut putera sulung yang bakal dilahirkan, tidak lama lagi. Foto Ihsan Eyra Hazali

"Kalau boleh, diharapkan impian bersalin secara normal menjadi nyata," katanya kepada BH Online.

Eyra berkata, mengikut perkiraan, anak sulung mereka yang sudah disahkan lelaki, dijangka dilahirkan, kira-kira seminggu lagi.

"Sekarang, saya 'standby' sahaja pada bila-bila masa hendak bersalin," katanya.

Pelakon drama Mr Grey ini mengaku semakin menghampiri detik bersalin, dirinya gementar.

"Ini pula pengalaman sulung hendak melahirkan anak. Saya tidak dapat menjangka apa yang akan terjadi.

"Kebelakangan ini, saya amal senaman dan pergerakan tertentu supaya proses bersalin secara normal jadi mudah," katanya.

Eyra atau nama sebenar, Hazirah Qasalina Hazali memberitahu, dia akan bersalin di sebuah pusat perubahan di ibu negara.

"Mujur keluarga dan mentua menjaga saya. Suami pula ada komitmen di Johor Bahru dan tidak dapat bersama sepanjang masa," katanya.

Eyra dan Haziq diijabkabulkan pada 1 November 2019.

Berita Harian X