Sabtu, 8 Ogos 2020 | 11:00am
Dayang Nurfaizah melalui transformasi imej dan penampilan diri sejak 24 tahun bergelar penyanyi, reda jika foto lama tersebar. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Dayang Nurfaizah melalui transformasi imej dan penampilan diri sejak 24 tahun bergelar penyanyi, reda jika foto lama tersebar. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Cerewet pilih jodoh

KUALA LUMPUR: Penyanyi bersuara lunak merdu, Dayang Nurfaizah, 39, bersifat cerewet termasuk dalam soal memilih pasangan hidup.

Akibat terlalu sibuk dengan kerjaya seni demi meneruskan kelangsungan hidup, wanita kelahiran Bumi Kenyalang itu dilihat belum berpunya.

Sebelum ini, bertebaran gosip mengaitkan penyanyi lagu Seandainya Masih Ada Cinta itu dengan rakan duetnya, Hael Husaini. Namun, paduan cinta mereka berlalu begitu sahaja.

Dayang atau nama sebenarnya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty berkata, dia tiada tekanan dalam soal jodoh biarpun usianya mencecah 40 tahun.

"Saya masih solo dan belum ada teman istimewa. Doakan saya. Apa yang pasti, saya mencari lelaki bujang, lebih tepat bukan kepunyaan sesiapa.

"Saya cerewet bukan sahaja soal kerja, malah mencari pasangan hidup pun sama. Setiap wanita harus fikir begitu dalam memilih teman hidup. Ini bukan perkara main-main kerana jika boleh, kahwin hanya sekali dan dijauhkan perpisahan.

"Kita harus pilih pasangan yang betul dan serasi. Nak bina masjid dan hidup semati semestinya kena fikir sedalam-dalamnya, bukan main rembat sahaja," katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman sebagai duta produk kosmetik, Bungaa, baru-baru ini.

Dayang Nurfaizah belum ada teman istimewa, fikir secara mendalam untuk mendirikan rumah tangga. NSTP/Eizairi Shamsudin
Dayang Nurfaizah belum ada teman istimewa, fikir secara mendalam untuk mendirikan rumah tangga. NSTP/Eizairi Shamsudin

Dalam pada itu, penyanyi lagu X Missing You itu tidak pernah menganggap dirinya eksklusif dalam membawa diri sebagai figura ternama.

"Saya tak rasa diri saya eksklusif. Jika menyanyi di atas pentas, saya akan berdiri menghiburkan peminat. Jadi, kena fikir banyak perkara termasuk soal penampilan diri.

"Untuk undangan memeriahkan acara, saya pasti tidak menolak sekiranya ada kelapangan dan tujuan baik.

"Lebih utama, saya menjadi diri sendiri. Tak rasa pun ada kelas tertentu dan saya hanya jujur. Bohonglah jika saya tak penat bergelar anak seni, tetapi ini adalah pilihan hidup saya," katanya yang kali pertama menerima lamaran produk tempatan selepas lebih dua dekad bergelar penyanyi.

Penyanyi yang pernah diangkat juara Anugerah Juara Lagu (AJL) menerusi Seandainya Masih Ada Cinta pada 2001 itu berkata, dia melalui transformasi imej dan penampilan diri sejak 24 tahun lalu.

"Saya terdedah dengan solekan tebal, sejak dahulu. Ikutkan saya tidak berjerawat ketika remaja. Apabila meningkat usia, jerawat dan masalah kulit mula timbul. Saya pernah sedih tengok muka sendiri depan cermin.

"Soal imej pula, saya gembira melihat semula gaya zaman dahulu. Semua jenis fesyen saya pernah mencuba. Ada kala tersenyum sendiri melihat gambar lama. Saya melalui proses perubahan.

"Saya reda jika keluar semula gambar lama. Dalam hati ada berseloroh sendiri, janganlah keluarkan gambar lama," katanya.

Berita Harian X