Rabu, 5 Ogos 2020 | 9:40am
Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri memandang serius isu cetak rompak digital yang dijual menerusi platform e-dagang. - NSTP/AZIAH AZMEE
Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri memandang serius isu cetak rompak digital yang dijual menerusi platform e-dagang. - NSTP/AZIAH AZMEE

Jual filem cetak rompak digital RM1

KUALA LUMPUR: Gejala cetak rompak membabitkan karya filem dan muzik bukan perkara baharu, sebaliknya sudah membelenggu industri seni, sejak tiga dekad lalu.

Hakikatnya, isu cetak rompak tidak pernah padam biarpun pelbagai kempen diadakan bagi membendung aktiviti pengedaran dan penjualan produk cetak rompak merangkumi kaset, cakera padat, cakera padat video (VCD) mahupun cakera padat digital (DVD) sejak era 1980-an lagi.

Jika dahulu, banyak lambakan produk cetak rompak dijual secara terbuka. Hari ini, ledakan teknologi membolehkan segala bentuk hiburan daripada muzik, filem, buku, majalah, akhbar hingga siaran televisyen (TV) secara digital ditonton secara percuma dalam talian.

Ia sekali gus membuka ruang 'penyamun' cetak rompak digital bertindak berani dengan menjual karya filem dan muzik tanpa kebenaran menerusi platform e-dagang.

Sebelum ini, banyak filem tempatan terpaksa menangguh tayangan filem berikutan pandemik COVID-19. Kebanyakan

penerbit terpaksa beralih arah pada platform digital untuk menayangkan karya mereka.

Malangnya, karya jadi mangsa penyamun cetak rompak dan dijual tanpa kebenaran di platform e-dagang dengan harga serendah RM1. Antara mangsa adalah filem Ada Apa Dengan Dosa, Keluarga Iskandar The Movie dan Town Mall dijual tanpa kebenaran.

Bertindak atas rungutan produser, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) menjalankan siasatan berhubung kegiatan penjualan filem yang dicetak rompak membabitkan satu platform e-dagang.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, pihaknya memandang serius isu cetak rompak digital yang sudah menunjukkan belang.

"Penguat kuasa FINAS sudah ke pejabat platform e-dagang berkenaan selepas menerima aduan beberapa penerbit, kelmarin. Bagaimanapun, pejabat ditutup.

"Pihak platform e-dagang minta FINAS menghantar e-mel. Kami sudah pun hantar e-mel, tetapi tidak mendapat sebarang respon.

"FINAS beri tempoh hingga petang semalam. Jika platform e-dagang berkenaan enggan memberi kerjasama, tindakan mohon waran mahkamah terpaksa diambil," katanya ketika dihubungi BH Online.

Ahmad Idham berkata, bukan penerbit sahaja berhak menyaman, malah FINAS juga boleh mengenakan tindakan undang-undang sekiranya platform e-dagang itu melanggar Akta Hakcipta 1987 dan mencabuli hak harta intelek.

"Siasatan kami menjurus kepada adakah platform e-dagang dan penjual memiliki lesen pengedaran, selain mendapat kebenaran penerbit menjual karya.

"Biarpun platform e-dagang hanya menyediakan ruang perniagaan, tetapi mereka harus bertanggungjawab terhadap penjual dan produk yang ditawarkan. Contohnya, bagaimana jika 'dadah' diletakkan dalam coklat dan dijual dalam platform itu?

"Saya percaya platform e-dagang ini mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan untuk produk yang dijual," katanya.

Ahmad Idham berkata, penerbit sudah pun menyerahkan bukti kepada FINAS.

"Saya diberitahu ada sesetengah pembeli mendapat 'link' mahupun cakera keras selepas membuat pembayaran.

"Kami sangat tercabar apabila penyamun cetak rompak digital menjual filem secara terbuka.

"FINAS juga akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membanteras isu cetak rompak ini," katanya.

Berita Harian X