Selasa, 4 Ogos 2020 | 8:30am
Syamel dilihat lebih bergaya apabila melakukan potongan rambut dan berubah gaya pemakaian selepas menurunkan berat badan. - Foto IG Syamel
Syamel dilihat lebih bergaya apabila melakukan potongan rambut dan berubah gaya pemakaian selepas menurunkan berat badan. - Foto IG Syamel

Ubah imej K-pop demi Ernie?

KUALA LUMPUR: Muzik K-pop begitu asing buat penyanyi, Syamel, 27, suatu ketika dahulu. Kini, bukan sahaja meminati muzik yang mencetuskan fenomena seluruh dunia, malah sanggup berubah imej, sejak beberapa bulan lalu.

Tranformasi dapat dilihat menerusi potongan rambut dan gaya pemakaian, apatah lagi bekas naib juara, Akademi Fantasia 2015 itu berusaha menurunkan berat badan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Ada yang mendakwa, perubahan disebabkan pengaruh Ernie memandangkan buah hatinya itu adalah pengikut setia muzik dari Korea Selatan itu.

Mengulas perkara itu, penyanyi yang popular menerusi lagu Hidup Dalam Mati dan Lebih Sempurna itu tidak menafikan Ernie banyak membuka matanya mengenai dunia K-pop yang berjaya mencetuskan fenomena di seluruh dunia.

Penyanyi lagu Hidup Dalam Mati dan Lebih Sempurna, Syamel kini mula mendapat perhatian peminat K-pop apabila muat naik video nyanyian kumpulan popular, BTS dalam YouTube. - Foto IG Syamel
Penyanyi lagu Hidup Dalam Mati dan Lebih Sempurna, Syamel kini mula mendapat perhatian peminat K-pop apabila muat naik video nyanyian kumpulan popular, BTS dalam YouTube. - Foto IG Syamel

"Bukanlah nak kata tak ikut langsung perkembangan muzik K-pop. Cuma, saya tahu serba sedikit kumpulan mana yang mempunyai peminat paling ramai ketika ini.

"Dan saya akui, Ernie banyak mendedahkan saya kepada muzik K-pop yang disifatkan sangat hebat terutama dari segi penampilan dan persembahan seperti kumpulan BTS yang popular seantero dunia itu.

"Selain Ernie, saya belajar mengenali dunia K-pop menerusi adik beradik saya yang juga peminat setia muzik berkenaan. Sebagai selebriti, kita kenalah ikut peredaran semasa dan saya selesa dengan imej ini kerana menampakkan sisi berbeza saya," katanya kepada BH Online.

Syamel berkata, seperkara yang membuatnya terkejut apabila mendekati muzik K-pop ialah mula mendapat kelompok peminat baharu.

"Puncanya saya ada memetik lirik lagu kumpulan BTS dan saya muat naik di laman Twitter. Dari situ, ramai peminat kumpulan berkenaan mula mengikuti laman sosial saya. Apa yang menyeronokkan, mereka sering berkongsi maklumat mengenai selebriti kesayangan mereka dengan saya.

"Mereka mengajar saya terma ataupun bahasa slanga yang sering digunakan peminat K-pop untuk mereka berkomunikasi sesama sendiri. Itu adalah pengalaman baharu buat saya dan sangat menghargainya," ujar anak jati Kuala Lumpur ini.

Tranformasi Syamel berubah imej K-pop disebabkan pengaruh Ernie Zakri yang juga pengikut setia muzik dari Korea Selatan itu. - Foto IG Syamel
Tranformasi Syamel berubah imej K-pop disebabkan pengaruh Ernie Zakri yang juga pengikut setia muzik dari Korea Selatan itu. - Foto IG Syamel

Mengulas gosip mendakwa membuat persiapan mendirikan rumah tangga dengan Ernie pada Ogos ini, Syamel menafikan dakwaan itu, sambil menyifatkan ia hanyalah khabar angin.

"Daripada mana dapat berita ini? Mana saya dan Ernie nak kahwin, siapalah yang pandai buat cerita. Setakat ini, tiada perancangan langsung untuk saya berkahwin bulan depan seperti yang diperkatakan.

"Bagaimanapun, setiap insan mengimpikan untuk mendirikan rumah tangga dan mempunyai keluarga sendiri, saya pun tidak terkecuali. Cuma, soal jodoh, biarlah saya serahkan kepada Tuhan untuk menentukannya. Doakan sahaja yang baik-baik," ujar Syamel.

Sebagai selebriti, pemilik nama lengkap Syameel Aqmal Mohd Fodzly itu akur, dia adalah milik masyarakat dan pastinya akan berkongsi kegembiraan dengan pengikutnya.

"Insya-Allah, jika bertemu jodoh dan berkahwin, saya tidak akan merahsiakan daripada pengetahuan rakan media dan peminat. Perkara baik buat apa nak sorok?

"Cuma, selagi tiada sebarang pengesahan atau belum terjadi, lebih baik untuk saya tidak berkongsi apa-apa," katanya yang mula menjalinkan hubungan cinta dengan Ernie ketika menjayakan program realiti, Duo Star dan seterusnya diangkat sebagai juara.

Berita Harian X