X
Isnin, 3 Ogos 2020 | 6:36pm
Kesabaran Fikry Ibrahim tercabar dengan tindakan seorang pengarah yang didakwa mencalar reputasinya di laman sosial. - Foto IG Fikry Ibrahim
Kesabaran Fikry Ibrahim tercabar dengan tindakan seorang pengarah yang didakwa mencalar reputasinya di laman sosial. - Foto IG Fikry Ibrahim

'Buktikan jika saya bersalah' - Fikry

KUALA LUMPUR: Nama Fikry Ibrahim, 26, bersih tanpa palitan kontroversi membabitkan soal disiplin kerja. Ini berikutan pelakon dan pengacara popular itu cukup menjaga kredibiliti sepanjang empat tahun membina nama.

Sebaik mungkin pelakon yang diperkenalkan menerusi drama Hero Seorang Cinderella itu tidak mahu menimbulkan masalah dengan mana-mana pihak untuknya mencari rezeki. Namun, kesabaran Fikry atau nama sebenarnya, Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim tercabar, baru-baru ini.

Pemenang tempat ketiga program realiti, Lawak solo pada 2016 itu bengang terhadap tindakan seorang penerbit yang didakwa cuba mencalarkan reputasinya di laman sosial.

Menjelaskan punca tercetusnya insiden itu, Fikry mendakwa, ia berlaku berikutan sikap tidak profesional penerbit yang juga pengarah terkenal itu.

"Ada seorang pengarah menawarkan saya projek di bawah syarikat produksi dan bertanyakan jadual. Saya pula tidak berani berjanji memandangkan ada komitmen kerja lain yang sudah dipersetujui dari awal.

"Bagaimanapun, pengarah itu tidak kisah menunggu dan berjanji untuk menghubungi pengurus untuk membincangkan perkara ini. Saya terkejut mendapati nama saya termasuk dalam kumpulan Whatsapp untuk produksi itu, seolah-olah saya sudah bersetuju. Walhal, tiada sebarang persetujuan atau hitam putih daripada pihak pengurusan saya.

"Lebih membuatkan saya bengang apabila pengarah berkenaan memuat naik video di laman Instagram (IG) dan memburukkan nama saya. Walaupun tidak menyebut nama, tetapi dengan bayangan diberikan, saya tahu ia ditujukan kepada saya," dakwa pelakon yang berasal dari Jitra, Kedah itu.

Tidak mahu situasi berlanjutan dan dengan niat mahu mencari jalan penyelesaian, Fikry berkata, dia cuba menghubungi pengarah berkenaan, namun gagal.

"Setiap kali saya menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan, panggilan tidak pernah berjawab. Jika betul, saya bersalah, jawab panggilan saya dan tunjukkan bukti.

"Saya harap pengarah berkenaan hentikan segala 'drama' yang diciptanya. Saya tak pernah ada masalah dengan mana-mana pihak terutama membabitkan soal kerja. Jika dia teruskan perbuatannya, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan," katanya kepada BH Online.

Fikry Ibrahim menerima lamaran Siti Nordiana muncul dengan video muzik Angkara atas dasar persahabatan. - Foto IG Siti Nordiana
Fikry Ibrahim menerima lamaran Siti Nordiana muncul dengan video muzik Angkara atas dasar persahabatan. - Foto IG Siti Nordiana

Wajah Fikry dilihat menghiasi video muzik dua artis popular, Siti Nordiana dan Zulin Aziz. Cuma bezanya, menerusi video muzik Siti Nordiana berjudul Angkara, Fikry membawakan karakter serius, manakala dalam video muzik Zulin berjudul Followback, tampil dengan watak lucu.

Begitulah hebat penangan jejaka berkulit hitam manis itu hingga menjadi rebutan dua wanita yang berstatus solo untuk muncul dalam video muzik mereka.

Mengulas perkara itu, bekas graduan Komunikasi Massa itu berkata, dia menerima tawaran atas dasar persahabatan.

"Saya dengan Siti Nordiana dan Zulin sudah kenal lama, saya tak mahu mengecilkan hati sesiapa. Apabila mereka menawarkan saya untuk muncul dalam video muzik, kebetulan pula tak sibuk, jadi saya terima sahaja.

"Cuma, saya tak sangka dua video muzik ini keluar dalam waktu yang hampir sama. Saya ada memberi nasihat, tetapi mereka mempunyai sendiri. Tetapi, tak mengapa kerana watak saya dalam video muzik mereka berbeza perwatakan dan penampilan.

"Lagipun, apabila dua video muzik ini keluar pada waktu yang hampir sama, ia juga boleh membantu dari segi publisiti. Orang yang tak minat Zulin, mungkin akan tengok video muzik Siti Nordiana kerana ada wajah saya di dalamnya, begitulah sebaliknya," ujarnya.

Berita Harian X