Sabtu, 1 Ogos 2020 | 3:00pm
Rossa akhirnya membuat pengakuan lelaki yang berjaya mencuri hatinya adalah kenalan lama. - Foto IG Rossa
Rossa akhirnya membuat pengakuan lelaki yang berjaya mencuri hatinya adalah kenalan lama. - Foto IG Rossa

Rossa diulit cinta teman lama

KUALA LUMPUR: Virus cinta sering menyerang pelantun lagu Ayat-Ayat Cinta ini sejak menjalani hidup solo lebih sedekad lalu. Namun, hingga hari ini, masih belum ada satu pun yang menjangkitinya.

Jika ada pun kedengaran Datuk Seri Rossa, 42, menjalinkan hubungan dengan beberapa lelaki, namun akan segera dinafikan penyanyi terkenal Indonesia itu, sambil menyifatkan ia hanyalah gosip semata-mata.

Sebelum ini, Rossa pernah digosip bercinta dengan penyanyi Afgan, malah didakwa bakal mendirikan rumah tangga. Bagaimanapun, gosip berkenaan dinafikan mereka berdua, sambil menegaskan hubungan tidak lebih daripada rakan baik.

Namun, pengakuan pemilik nama Sri Rossa Roslaina Handiyani yang berkongsi rahsia hati dengan mendedahkan sudah menemui seseorang menerusi program Di Balik Pintu yang disiarkan pada saluran YouTube Boy William, baru-baru ini, cukup mengejutkan ramai.

Rossa berkongsi rahsia hati dengan mendedahkan sudah menemui seseorang menerusi program Di Balik Pintu yang disiarkan menerusi saluran YouTube Boy William. - Foto IG Rossa
Rossa berkongsi rahsia hati dengan mendedahkan sudah menemui seseorang menerusi program Di Balik Pintu yang disiarkan menerusi saluran YouTube Boy William. - Foto IG Rossa

Tentunya, kesediaan Rossa untuk berkongsi berita gembira memberi petanda dirinya kini sedang dilamun cinta.

Rossa berkata, lelaki yang berjaya mencuri hatinya adalah kenalan lama.

"Saya bukanlah seorang yang suka berkongsi kisah peribadi, lebih lagi membabitkan soal berpacaran. Tetapi, saya tidak akan berselindung sekiranya persoalan ini diajukan.

"Cuma, buat masa ini, saya tak bersedia mendedahkan identiti teman lelaki. Apa yang boleh dikatakan, kami sudah lama berkawan.

"Keluarga juga sudah saling mengenali. Selebihnya, biarlah ia menjadi rahsia. Saya hanya berkongsi dengan teman rapat sahaja," katanya ketika dihubungi BH Online untuk mendapatkan penjelasan.

Mengakui sedang bahagia dengan kehidupan hari ini, penyanyi yang popular menerusi lagu Tegar dan Hati Yang Kau Sakiti itu turut meluahkan rasa gembira apabila anak tunggalnya, Rizki Langit Ramadhan merestui hubungannya itu.

"Anak okay sahaja jika saya mahu berkahwin lagi. Malah, Rizki sudah lama menantikan saat ini.

"Sebelum ini, Rizki pernah menulis dalam ruangan komen foto saya berpakaian baju pengantin tradisional jawa bersama aktor Korea Selatan, Kim Sooh Hyun yang disunting seorang teman dengan menyatakan kegembiraannya kerana mendapat papa baharu.

"Bagi Rizki, tiada apa yang lebih penting, selain melihat saya gembira," luahnya. Rossa pernah mendirikan rumah tangga dengan Yoyo, anggota kumpulan Padi sebelum bercerai pada Julai 2009.

Berita Harian X