Sabtu, 1 Ogos 2020 | 1:00pm
Hetty Sarlene tidak mengalami alahan seperti kebanyakan bakal ibu, sebaliknya alahan ‘berpindah’ kepada suaminya. - Foto IG Hetty Sarlene
Hetty Sarlene tidak mengalami alahan seperti kebanyakan bakal ibu, sebaliknya alahan ‘berpindah’ kepada suaminya. - Foto IG Hetty Sarlene

Hetty Sarlene hamil tiga bulan

KUALA LUMPUR: Nada suara riang di hujung talian cukup menggambarkan kegirangan hati Hetty Sarlene ketika ini. Mana tidaknya, empat tahun menantikan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga, akhirnya penyanyi Sangsi Asmara itu disahkan berbadan dua.

Hetty dan suaminya, Dani Aaqil sangat terkejut menerima berita itu, malah menjalani pemeriksaan alat pengesan kehamilan dua kali, sebelum benar-benar yakin.

"Kejadian berlaku masa hari raya pertama. Waktu itu, saya berasa tidak sedap badan. Awalnya, saya sangkakan nak datang bulan. Bagaimanapun, apabila membuat pemeriksaan menerusi alat pengesan kehamilan, keputusannya adalah positif.

"Apabila beritahu suami, dia seperti tidak percaya dan menyuruh saya membuat pemeriksaan menggunakan kaedah yang sama sekali lagi. Selepas dua kali melakukan ujian, hasilnya tetap sama. Ketika itulah, saya baru percaya.

"Saya dan suami memutuskan untuk mengumumkannya pada 23 Julai, sempena ulang tahun perkahwinan yang keempat. Namun, perut semakin membesar dan usia kandungan sudah melebihi tiga bulan, jadi tidak perlulah ditunggu lagi, jadi kami umum menerusi entri di Instagram (IG).

"Sepanjang hamil, saya hanya duduk di rumah. Secara kebetulan, Singapura sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan, jadi ini adalah bayi 'lockdown'," katanya kepada BH Online.

Hetty Sarlene dan suami, Dani Aaqil sangat terkejut hingga dua kali menjalani pemeriksaan alat pengesan kehamilan, sebelum yakin. - Foto IG Hetty Sarlene
Hetty Sarlene dan suami, Dani Aaqil sangat terkejut hingga dua kali menjalani pemeriksaan alat pengesan kehamilan, sebelum yakin. - Foto IG Hetty Sarlene

Hetty berkata, dia tidak mengalami alahan seperti yang biasa dialami kebanyakan bakal ibu, sebaliknya alahan 'berpindah' kepada suaminya.

"Sehingga hari ini, saya tak alami sebarang alahan, muntah waktu pagi pun tiada. Cuma peliknya, suami yang mengalami situasi seperti ini. Pernah berlaku ketika kami pergi ke pasar raya, suami pula pening kepala dan mahu muntah.

"Dia tinggalkan saya di pasar raya untuk balik berehat di rumah. Disebabkan, tak sedap hati, saya cuba menghubunginya. Suami memberitahu terpaksa berhenti kereta di tepi jalan kerana mahu muntah. Dari situ, saya terfikir alahan terkena pada suami.

"Apabila saya beritahu, suami enggan mempercayainya. Keadaan ini berlanjutan agak lama. Apabila mengadu pening kepala dan nak muntah, saya suruh sapu minyak sahaja," katanya.

Walaupun tidak mengalami alahan, penyanyi kelahiran Singapura itu berkata, nafsu makannya semakin menjadi-jadi.

"Jika dulu saya tak gemar keju, tetapi saya jadi sukakannya sejak hamil. Selera makan semakin kuat dan ada sahaja makanan yang hendak dikunyah hingga berat badan bertambah beberapa kilogram. Jika melihat fizikal saya, memang nampak berisi.

"Ini bermakna, jika saya berhasrat untuk kembali menyanyi selepas bersalin, memang kena diet betul-betul supaya kembali langsing," katanya.

Pun begitu, penyanyi berusia 36 tahun itu berkata, perubahan paling ketara yang berlaku pada dirinya selain bentuk fizikal adalah begitu sensitif, sejak kebelakangan ini.

"Entah mengapa perasaan mudah tersentuh. Pernah berlaku suami pergi bekerja, tiba-tiba saya menangis. Waktu itu, saya berasakan hidup saya sunyi dan kosong. Bagaimanapun, saya enggan melayan perasaan negatif .

"Orang kata, wanita mengandung memang jiwanya mudah rapuh. Saya anggap apa yang berlaku disebabkan perubahan hormon sahaja. Jujurnya, suami risau dengan keadaan saya. Dia suruh saya banyak berehat dan tidak benarkan saya keluar berjalan seorang diri," ujar Hetty.

Menyifatkan kehamilannya sebagai rezeki daripada Allah, Hetty sempat berpesan kepada pasangan yang masih belum menimang cahaya mata supaya bersabar dan jangan jadikannya sebagai satu tekanan.

"Tak dinafikan, saya mula tertekan apabila ramai yang bertanyakan soal zuriat apabila masuk tahun kedua berkahwin. Namun, saya berazam tidak mahu memberi tekanan pada diri dan berserah pada Allah. Lambat atau cepat, biarlah Allah yang menentukan.

"Kami tak merancang apa-apa, tetapi ternyata aturan Tuhan cukup cantik. Dikurniakan rezeki anak dalam situasi saya tidak sibuk dengan kerjaya seni berikutan wabak COVID-19. Jadi, saya boleh berehat. Jika saya nak sambung balik kerjaya seni, mungkin tahun depan adalah masa yang sangat sesuai," jelasnya yang tidak kisah dengan jantina anak yang bakal lahir asalkan sempurna.

Berita Harian X