Khamis, 16 Julai 2020 | 1:00pm
Ekin dan Yazer berniaga kecil-kecilan bersyukur ada peminat sudi membeli hasil jualan, malah pernah meminati mereka. - Foto IG Yazer
Ekin dan Yazer berniaga kecil-kecilan bersyukur ada peminat sudi membeli hasil jualan, malah pernah meminati mereka. - Foto IG Yazer

'Lantaklah nak cakap penyanyi sendu'

KUALA LUMPUR: Tiada rezeki dalam dunia nyanyian bukan bermakna tersekat punca pendapatan. Rezeki Allah sangat luas.

Seperti penyanyi kelahiran Akademi Fantasia musim ketiga, Ekin atau nama sebenarnya, Norashikin Abdul Rahman, apa sahaja kerja termasuk berniaga kini menjadi sumber rezekinya.

"Hidup tetap kena diteruskan, jadi saya tak kisah nak kena buat kerja apa sekali pun termasuk berniaga secara kecil-kecilan.

"Saya tak malu mengakui berniaga macam-macam sejak beberapa tahun lalu demi meneruskan kelangsungan hidup.

"Ada hikmah berniaga sendiri kerana banyak masa boleh bersama suami dan anak, selain berniaga," katanya kepada BH Online.

Pasangan suami isteri, Ekin dan Yazer yang menjalinkan hubungan cinta sejak menyertai Akademi Fantasia musim ketiga itu masih aktif menyanyi biarpun tidak keluar televisyen. - Foto IG Ekin
Pasangan suami isteri, Ekin dan Yazer yang menjalinkan hubungan cinta sejak menyertai Akademi Fantasia musim ketiga itu masih aktif menyanyi biarpun tidak keluar televisyen. - Foto IG Ekin

Ekin berniaga soto Banjar, baru-baru ini. Sebelum ini, dia menjadi agen penapis air Coway di samping mengukuhkan perniagaan minyak wangi, Ekradon diusahakan bersama suami, Yazer.

"Kerja menyanyi masih berjalan seperti biasa. Jika ada undangan, pasti saya tidak akan menolak. Suami masih aktif menyanyi, sesekali Yazer melepas rindu menyanyi sebagai penyanyi jalanan dan kelab. Pada masa sama, dia bekerja tetap sebagai kontraktor di sebuah syarikat.

"Tiada apa yang nak dimalukan buat kerja berniaga ini. Lagipun, saya mencari rezeki yang halal.

"Saya tak suka meminta atau meminjam dengan orang lain. Lepas itu, tak mampu nak bayar balik. Biar penat, asalkan usaha sendiri, nikmat juga terasa lain. Artis ke orang biasa, kita sama sahaja," kata ibu kepada seorang cahaya mata lelaki, Noah berusia lima tahun.

Ekin berkata, pada saat ini, sudah lumrah apabila ramai artis berniaga.

"Alhamdulillah, rezeki berniaga inilah yang membuatkan saya dan keluarga terus menikmati hidup. Tiada ada apa yang perlu dikesali. Lantaklah jika ada yang nak cakap kami penyanyi sendu. Apa yang penting, kami berusaha.

"Bukan nak cakap dunia nyanyian tak bagus. Cuma, soal rezeki dan tuah menyanyi seperti putaran hidup. Akhirnya, saya dan suami akur dan sentiasa sedar ruang diri.

"Minat menyanyi tetap ada, tak pernah terhakis. Jika ada tawaran menyanyi pun di majlis tertutup, persembahan kecil dan tidak keluar televisyen. Tak mengapalah, kami mengemas kini perkembangan nyanyian di laman Instagram atau Facebook sudah memadai," katanya.

Sekalipun sudah dilihat bagai menyepi tanpa publisiti, Ekin bersyukur perniagaan diusahakan mendapat sambutan.

"Saya bersyukur ada peminat sudi membeli hasil jualan, malah mereka siap cakap, pernah meminati saya dan suami. Terharu sangat kerana masih ada yang ingat," katanya.

Ekin dan Yazer menjalinkan hubungan cinta menyertai AF3 dan jodoh mereka hingga ke jenjang pelamin pada 26 Disember 2014.

Berita Harian X