Khamis, 2 Julai 2020 | 1:00pm
Ahmad Idham mahu melihat keberkesanan SOP yang dilaksanakan di semua pawagam dalam tempoh 14 hari selepas kebenaran menyambung aktiviti diberikan semalam.
Ahmad Idham mahu melihat keberkesanan SOP yang dilaksanakan di semua pawagam dalam tempoh 14 hari selepas kebenaran menyambung aktiviti diberikan semalam.

Pantau dua minggu

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan pemilik pawagam akan menilai semula SOP yang digunakan selepas 14 hari pawagam beroperasi pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, sepanjang tempoh dua minggu ini, pemantauan dibuat bertujuan bagi menambah baik SOP digunakan.

"Setakat ini, FINAS dan pengendali pawagam berpuas hati dengan SOP dan garis panduan yang dikenakan kerajaan untuk memastikan keselamatan penonton dan kesihatan terjaga.

"Namun, sepanjang dua minggu ini, pemantauan dibuat untuk melihat keberkesanannya.

"Selepas tempoh itu, kami akan bertemu Kementerian Kesihatan dan MKN untuk membentangkan data terkumpul dan mengkaji apakah SOP yang dikenakan sesuai," katanya kepada BH Online.

Semalam, operasi pawagam disambung semula selepas hampir empat bulan ditutup akibat penularan COVID-19.

SOP ketat dipraktikkan di semua pawagam sejak kebenaran menyambung semula operasi diberi semalam. Foto NSTP/Eizairi Samsudin
SOP ketat dipraktikkan di semua pawagam sejak kebenaran menyambung semula operasi diberi semalam. Foto NSTP/Eizairi Samsudin

Ahmad Idham berkata, tempoh dua minggu akan datang amat penting dalam menentukan survival pawagam di Malaysia.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Idham berkata, perkara paling membimbangkan pengendali pawagam adalah bekalan filem.

"Cabaran utama adalah filem yang mahu ditayangkan. Bukan sahaja filem Hollywood, malah judul tempatan juga tidak berani mengambil risiko.

"Ini kerana mereka bimbang tidak mendapat sambutan disebabkan penonton masih takut untuk pergi ke pawagam," katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Idham berkata, FINAS akan membantu pengendali pawagam melakukan kempen khidmat masyarakat bagi meyakinkan penonton untuk datang ke pawagam.

"Dengan cara itu industri sinema dapat menjana ekonomi mereka," katanya.

Berita Harian X