Sabtu, 27 Jun 2020 | 8:30am
Pekerja Enco Karaoke di Ipoh, Perak melakukan kerja pembersihan dan sanitasi sebagai persediaan pembukaan premis jika cadangan SOP diterima kerajaan. Foto Ihsan Enco Karaoke
Pekerja Enco Karaoke di Ipoh, Perak melakukan kerja pembersihan dan sanitasi sebagai persediaan pembukaan premis jika cadangan SOP diterima kerajaan. Foto Ihsan Enco Karaoke

Tauke karaoke serah SOP

KUALA LUMPUR: Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, operasi pusat karaoke yang menjadi antara aktiviti hiburan popular bagi semua peringkat umur termasuk keluarga, terhenti.

Biarpun kerajaan mengumumkan pembukaan semula perniagaan di bawah PKP Pemulihan (PKPP), namun karaoke yang dikategorikan sebagai pusat hiburan, tidak termasuk dalam senarai kelulusan untuk beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Tiga bulan berlalu, pengusaha pusat karaoke mula resah menanti kebenaran beroperasi. Pada masa sama, ramai pening kepala memikirkan kos penyelenggaraan premis, sewa bangunan dan gaji pekerja yang masih perlu dibayar.

Penutupan pusat hiburan karaoke bukan saja memberi kesan kepada pengusaha dan pekerja, malah menjejaskan kutipan royalti yang sepatutnya menjadi milik karyawan dan pemegang hak cipta karya.

Melihat pengusaha pawagam, premis perniagaan dan gedung beli-belah membuka pintu kepada pelanggan, pemilik pusat karaoke juga mula bertanya apakah mereka dibenarkan beroperasi asalkan langkah keselamatan diambil bagi mengelak penularan COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Music Box Karaoke, Michael Yong berkata, semua pengusaha pusat hiburan karaoke akur dengan arahan kerajaan menutup premis sejak PKP.

Yong berharap kerajaan dapat menimbang pembukaan semula pusat hiburan karaoke selepas tiga bulan tidak beroperasi akibat penularan COVID-19. Foto Ihsan Michael Yong
Yong berharap kerajaan dapat menimbang pembukaan semula pusat hiburan karaoke selepas tiga bulan tidak beroperasi akibat penularan COVID-19. Foto Ihsan Michael Yong

"Kita tiada urus niaga sejak PKP diperkenalkan. Kita akur dengan arahan kerajaan, namun hakikatnya, gaji kakitangan dan sewa premis perlu dibayar seperti biasa," katanya kepada BH Online.

Yong yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam perniagaan pusat hiburan karaoke berkata, semua pengusaha premis terbabit sepakat merangka SOP untuk dikemukakan kepada kerajaan supaya aktiviti dapat diteruskan.

"Kami tidak duduk diam. Kami menghantar cadangan SOP kepada pihak berkuasa supaya perniagaan dapat diteruskan seperti biasa dalam waktu terdekat," katanya.

Yong berkata, syarikat mempunyai hubungan baik dengan pengusaha pusat hiburan karaoke lain termasuk cawangan di seluruh negara.

"Jadi, suara kami diharap didengar kerajaan," katanya.

Yong berkata, 70 premis pusat hiburan karaoke dan cawangan di seluruh Malaysia sepakat menyerahkan cadangan SOP kepada kerajaan.

Selain Music Box, antara pusat karaoke yang mengusulkan permohonan itu adalah LoudSpeaker, Neway, Kbox, Manekineko dan beberapa syarikat lain.

"Kami hantar cadangan SOP untuk membolehkan pusat hiburan karaoke beroperasi sejak minggu lalu.

"Kami menanti maklum balas kerajaan melalui Kementerian Kesihatan untuk bertemu dan membentangkan lebih lanjut SOP yang kami dicadangkan.

"Kami harap cadangan SOP itu mendapat perhatian kerajaan. Besar harapan kami jika pusat karaoke dapat beroperasi bulan depan, atau selewat-lewatnya pertengahan Julai," katanya.

Yong berkata, SOP yang dicadangkan membabitkan kakitangan dan pelanggan.

"Secara asasnya, bilik karaoke saiz besar tidak boleh memuatkan 100 orang. Bagi bilik kecil, hanya tiga hingga lima pelanggan boleh menggunakannya.

"Kita juga mencadangkan pelanggan yang masuk ke bilik tidak boleh ada hubungan rapat atau kontak di luar. Malah, makanan dihidangkan terus di bilik dan pelanggan tidak perlu keluar," katanya.

Yong berharap, pembukaan pusat hiburan karaoke dapat memberi peluang pelanggan berhibur dan meredakan tekanan melalui nyanyian.

"Jika hingga Ogos pusat karaoke tidak beroperasi lagi, bermakna masuk lima bulan kami kehilangan sumber pendapatan.

"Selama tiga bulan syarikat cuba bertahan dengan membayar gaji pekerja. Wang keluar tetapi pendapatan satu sen pun tidak masuk.

"Jika keadaan ini berterusan, makin sukar bagi syarikat hendak membayar gaji pekerja dan sewa bangunan. Mujur kerajaan ada memberi subsidi kepada rakyat yang terkesan dengan COVID-19," katanya.

Sementara itu, pengusaha pusat hiburan keluarga, Enco Karaoke di Ipoh, Perak memohon kerajaan menimbang memberi kebenaran beroperasi mengikut SOP.

Pengurusnya, Chan Yat Fong berkata, langkah itu perlu bagi mengelak syarikat menanggung kerugian lebih besar sepanjang PKPP.

"Lebih 20 pusat hiburan karaoke di Perak terjejas teruk dan mengalami kerugian antara RM20,000 hingga RM40,000 sebulan sepanjang PKP.

Yat Fong mendakwa lebih 20 pusat karaoke di Perak terjejas teruk selepas tidak dapat beroperasi sejak tiga bulan lalu. Foto Ihsan Chan Yat Fong
Yat Fong mendakwa lebih 20 pusat karaoke di Perak terjejas teruk selepas tidak dapat beroperasi sejak tiga bulan lalu. Foto Ihsan Chan Yat Fong

"Dalam tempoh tiga bulan ini, pekerja kontrak terpaksa diberhentikan. Jika terus tidak beroperasi, kita bimbang terpaksa membuang pekerja tetap," katanya.

Yat Fong berkata, syarikat terpaksa menanggung rugi dalam pelbagai aspek selepas lebih tiga bulan tidak beroperasi.

"Selain gaji pekerja tetap, kita membayar sewa premis, menyelenggara peralatan termasuk penghawa dingin, bilik dan kemudahan lain yang tidak digunakan sejak tiga bulan lalu.

"Semua stok makanan segar seperti daging dan sayur-sayuran sudah diberi kepada pekerja. Bahan mentah yang sudah tidak elok, terpaksa dibuang," katanya.

Yat Fong berkata, memorandum berhubung SOP sektor pusat hiburan keluarga sudah dihantar kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Kesihatan.

"Kita juga menghantar surat permohonan kepada MKN dan sedang menunggu maklum balas," katanya.

Yat Fong berkata, antara SOP dicadangkan adalah saringan di pintu masuk premis dan proses nyah kuman di tempat umum sebanyak tiga kali sehari.

"Kita juga hanya membenarkan empat pelanggan dalam sebuah bilik pada setiap masa.

"Jika kerajaan membenarkan operasi, semua pengusaha pasti mematuhi SOP dan keselamatan pengunjung diberi keutamaan," katanya.

Berita Harian X