Rabu, 24 Jun 2020 | 3:00pm
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri sedia menimbang memberi insentif kepada pengendali pawagam bagi menghidupkan kembali industri sinematik yang terjejas teruk.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri sedia menimbang memberi insentif kepada pengendali pawagam bagi menghidupkan kembali industri sinematik yang terjejas teruk.

FINAS sedia bantu pengusaha rangkaian pawagam

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sedia menimbang memberi insentif kepada pengendali pawagam yang bernaung di bawah Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) bagi menghidupkan kembali industri sinematik yang terjejas teruk akibat COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, kerajaan memahami situasi yang dihadapi MAFE dan sedia membantu pengusaha rangkaian pawagam terbabit.

"Melalui mesyuarat bersama wakil MAFE, persatuan meminta kerajaan membantu mereka dengan memberi insentif seperti dilakukan Kerajaan Hong Kong.

"Bantuan ini membolehkan MAFE menggerakkan kembali pawagam selepas tiga bulan tidak beroperasi.

"Persatuan itu juga menjelaskan, walaupun perniagaan mereka terjejas teruk, namun tidak seorang pun pekerja dibuang. Justeru, mereka meminta permohonan itu dipertimbangkan.

"Saya akan buat kertas kerja dan membentangkannya dalam mesyuarat dalaman FINAS akan datang," katanya kepada BH Online.

Ahmad Idham berkata, MAFE meminta FINAS menerbitkan video pendek sebagai kempen kesedaran menarik penonton datang ke pawagam mulai 1 Julai ini.

Beliau berkata, MAFE mengaku bimbang dengan sambutan yang bakal diberi penonton biarpun pawagam dibenarkan beroperasi semula.

"Walaupun kerajaan sudah menetapkan prosedur operasi standad (SOP) sebagai langkah keselamatan, namun MAFE bimbang dengan sambutan yang bakal diterima.

"Ini kerana wabak COVID-19 masih belum pulih sepenuhnya," katanya.

Ahmad Idham berkata, video pendek yang disarankan persatuan terbabit antara lain menekankan aspek kebersihan dan keselamatan yang dilaksanakan pengendali pawagam bagi memastikan penonton mendapat perlindungan total.

"Pengisian video itu antara lain merangkumi tatacara membeli tiket dan makanan serta bagaimana penjarakan sosial diamalkan.

"Ini penting untuk mengembalikan keyakinan pelanggan untuk menonton wayang," katanya.

Topik lain yang turut menjadi perhatian dalam mesyuarat itu adalah daripada segi amalan penjarakan sosial yang dilihat perlu diberi lebih kelonggaran.

"MAFE tidak mempunyai masalah daripada segi bilangan penonton yang terhad kepada 250 sahaja. Tetapi, apa yang menarik perhatian mereka, adalah daripada segi amalan penjarakan sosial.

"Persatuan meminta FINAS berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar memberi sedikit kelonggaran terutama untuk pawagam yang mempunyai kerusi khas untuk pasangan.

"Mereka berpendapat adalah tidak adil untuk memisahkan pasangan di pawagam sedangkan mereka datang berdua.

"Jika penumpang kapal terbang dibenarkan duduk berdua dalam pesawat, mengapa tidak penonton di pawagam mendapat kelonggaran sama," katanya.

Sebelum ini, Ahmad Idham berkata, MAFE sudah menghantar dua kertas cadangan mengenai kedudukan kerusi yang sesuai dengan amalan penjarakan sosial.

"Satu kertas cadangan dihantar ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) manakala satu lagi diusulkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Justeru, kami perlu menunggu SOP dikeluarkan secara rasmi sebelum membuat keputusan," katanya.

Tambah Ahmad Idham, isu bekalan filem juga menjadi antara topik perbincangan dalam mesyuarat itu.

Bagi memastikan bekalan filem mencukupi, katanya, MAFE meminta FINAS menyusun semula jadual tayangan filem dengan menyemak Syarat Wajib Tayang.

"Persatuan mencadangkan FINAS menyemak mungkin ada filem yang boleh dipercepatkan tayangan untuk mengisi slot. Selain itu, mereka juga mencadangkan menayangkan semula filem yang sebelum ini terjejas akibat pandemik.

"Setakat ini, dua filem luar negara yang dijanjikan boleh menarik penonton adalah Train To Busan dan Mulan. Mengenai filem dari Amerika Syarikat (AS), mereka tidak mampu memberi jaminan berikutan industri sinema Hollywood masih belum aktif," jelasnya.

Berita Harian X